Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Membaca Pada Era AI

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Membaca Pada Era AI
Seorang pengguna mencari e-buku di sebuah perpustakaan di Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 01 Oct 2026 06:29PM Dikemas Kini : 01 Oct 2026 06:35PM
  • Singapura mencatat prestasi membaca tertinggi dalam PISA 2025, namun banyak kedai buku termasuk Thambi Magazine Store ditutup akibat peralihan digital dan kemerosotan bahan cetak.
  • NLB masih mendapati tabiat membaca tinggi kerana takrif bacaannya luas, meliputi berita, media sosial, artikel dalam talian dan buku tradisional.
  • Pengalaman Scandinavia, terutama Sweden, menunjukkan bacaan digital sahaja tidak memadai, lalu buku cetak kembali ditekankan untuk murid dan kanak-kanak.
  • Artikel mencadangkan keseimbangan bacaan fizikal dan digital melalui sokongan pemerintah, swasta, sekolah, NLB, toko buku, Pas Budaya SG dan kegiatan komuniti.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Tahun lalu, penilaian Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) menunjukkan Singapura berada di anak tangga teratas dari segi tabiat membaca.
Related article image
Menurut penilaian Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), Singapura berada di ranking teratas dari segi tabiat membaca. (Gambar: Mediacorp)
Anehnya, banyak kedai buku di sini ditutup mutakhir ini. Mengapa? Mohd Raman Daud meninjau.

Suatu waktu dahulu di Singapura, terucap ungkapan “Tak ada baca punya orang”.

Ia ungkapan harian (bahasa pasar) yang lazimnya bermaksud "tidak tahu membaca isi hati, keadaan, atau gerak-geri orang lain".

Meskipun ungkapan ini menurut nahu Melayu pasar yang santai (penggunaan kata "punya"), ia dalam maknanya dari segi sosiobudaya dalam konteks Singapura dan Alam Melayu.

Ungkapan itu menurut pengamatan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016), antara faktor yang memacu ramai warga Generasi Awal yang buta huruf di Singapura untuk belajar membaca bak filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ (1959):

“Dulu, jika nak tahu seseorang itu ‘terpelajar’, maka nilaikan hasil bacaannya. Ada pula yang bergaya dengan akhbar dikepit di ketiaknya,” ujarnya tersenyum.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS atau Cikgu Ariff, 1924 - 2016). (Gambar: Mediacorp)
Sejak 2009, prestasi membaca, matematik dan sains warga Singapura terus tinggi, bahkan mengatasi negara maju. Antara kayu ukur ialah penilaian PISA (Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa berusia 15 tahun anjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Pembangunan yang dianggap ‘kelab’ negara-negara maju). Berdasarkan tinjauan PISA tahun 2025, prestasi membaca SG berada di aras tertinggi, dan di tempat kedua pula, China.
Related article image
Seorang pelajar menggunakan peranti pembelajaran peribadinya semasa sesi pembelajaran Matematik di Sekolah Menengah Jurong West. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)
TREND BACA SEDUNIA

Kini dengan kehadiran zaman atau era Kecerdasan Buatan (AI), apakah akan berlaku perubahan besar pada amalan membaca?

Ramai yang mungkin tertanya-tanya: mengapa banyak kedai buku ditutup di Singapura? Misalnya, kios majalah, Thambi Magazine Store di Holland Village, akhirnya ditutup selepas bertahan 80 tahun, pada 2024. Fenomena ini bak memancarkan erti bahawa buku atau bacaan bercetak kian tidak dihargai.
Related article image
Periathambi Senthilmurugan, yang lebih dikenali sebagai Sam, mengendalikan Thambi Magazine Store, sebuah perniagaan keluarga yang mempunyai sejarah lebih 80 tahun, di Holland Village, sebelum ia ditutup pada Mei 2024. (Gambar: CNA/Joyce Yang)
Anehnya, tinjauan dari semasa ke semasa oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mendapati amalan membaca masih terus tinggi. Sebabnya: NLB menggunakan takrif atau definisi bahan bacaan yang cukup luas —meliputi berita, hantaran media sosial, dan artikel dalam talian serta buku tradisional.

Tidak syak, NLB terus gigih menyediakan bahan e-baca iaitu membaca dalam talian. Trend serupa berlaku pada akhbar cetak di Singapura (SG) yang merosot edaran zahirnya tetapi digantikan dengan pembaca digital walaupun jumlah ganti pembaca masih jauh.

Hakikatnya, niaga akhbar, majalah dan pelbagai bahan cetak berteraskan iklan terus merosot di seluruh dunia sejak Internet meluas. Dalam konteks Singapura, tanpa suntikan dana besar daripada pemerintah, mungkin tiada lagi syarikat media SPH yang memayungi akhbar-akhbar setempat.

Menyedari buku zahir kian menjadi lapuk, terdapat usaha gigih toko buku di seluruh dunia untuk bertahan dan berjuang. Di SG misalnya, Wardah dan Nurul Anwar telah dipaparkan dalam BERITA Mediacorp sebagai toko buku yang memperjuangkan buku zahir. Mereka bak pengganti kepada Toko Haji Hashim yang pernah lama ‘merajai’ kawasan Kampong Gelam (yang dahulunya pusat percetakan dan penerbitan terpenting Alam Melayu, antara 1850 – 1940).
Related article image
Wardah Books, sebuah kedai buku di Kampong Glam, kerap menganjurkan program buku secara bersemuka untuk para pembaca, penulis dan penerbit. (Gambar: Instagram/@maktaba_books)
KESAN TANPA BUKU ZAHIR

Membaca sudah lama dikenal pasti sebagai kemestian hidup untuk manusia yang berakal. Dari wahyu (ayat pertama Al-Quran) sehingga pesan pujangga Inggeris, Francis Bacon (1561 - 1626), menjulang membaca sebagai cara “membentuk” manusia.

Tapi apakah membaca perlukan ‘buku zahir’? Ketika muncul Zaman Ekonomi Berteraskan Ilmu pada akhir 1990-an, membaca buku teks sudah dianggap lapuk. Gantinya ialah membaca peranti seperti tablet dan komputer riba. Maka muncul ungkapan buku menjadi kuku (saiznya) iaitu cip komputer yang boleh menampung ribuan buku untuk dibaca secara elektronik di layar komputer, telefon dan sebagainya.
Related article image
Peranti digital seperti tablet dan komputer riba ada kalanya menggantikan 'buku zahir' sebagai bahan bacaan. (Gambar hiasan: Canva)
Kalangan negara Scandinavia (Denmark, Finland, Norway dan Sweden) yang amat kemaruk (obses) memburu kemajuan telah melancarkan program baca digital lebih dua dekad lalu. Di Sweden misalnya, berlangsung kempen "från skärm till pärm" (daripada skrin kepada pengikat buku). Ternyata usaha ini gagal meningkatkan amalan membaca.

Akibatnya, Kerajaan Sweden berpatah balik, iaitu melabur ratusan juta kronor untuk membeli buku cetak bagi memastikan setiap murid membaca buku teks zahir. Mereka turut membatalkan mandat penggunaan peranti digital bagi kanak-kanak prasekolah.

Memanglah terdapat bahas tentang kebaikan buku digital berbanding buku zahir. Buku digital didapati jauh lebih murah untuk dihasilkan — daya cipta pengarang dan pengatur susun letak iaitu tiada kos cetak, pengedaran dan penyimpanan sebagaimana dengan buku cetak. Lagipun dengan kempen kesedaran memelihara alam, tanpa percetakan bermakna banyak pokok terpelihara.
Related article image
Zon pembelajaran digital menampilkan beberapa skrin interaktif di mana pengunjung boleh meminjam e-buku dan e-majalah. (Gambar: CNA/Rachelle Lee)
BUKU MASIH PERLU

Pengalaman Scandinavia membuktikan tamadun manusia masih memerlukan buku zahir atau, cakap mudahnya, kertas. Kajian saintifik menunjukkan tumpuan akal manusia pada kertas tidak sama dengan skrin komputer atau tablet. Ini suatu ‘fitrah’ atau kelumrahan pada pembangunan akal (kognitif) dan jiwa (psikologi) manusia.
Related article image
Kajian saintifik menunjukkan tumpuan akal manusia pada kertas tidak sama dengan skrin komputer atau tablet. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Related article image
Bahan-bahan pembelajaran Bahasa Melayu buat para pelajar sekolah rendah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurfazirah Azman)
Namun peranti elektronik untuk membaca juga masih diperlukan demi menghemat masa. Oleh itu, perlu ada keseimbangan antara bacaan zahir dengan bacaan digital.

Bagi SG, pengalaman Scandinavia dapat dimanfaatkan untuk mengatur strategi jangka panjang serentak AI yang terus meluas dimanfaatkan dalam pembelajaran, pekerjaan, pengurusan dan sebagainya.

Oleh itu, peranan toko buku seperti Wardah-Nurul Anwar masih diperlukan. Namun penakatan toko buku sedemikian juga memerlukan naungan atau rangsangan pemerintah, swasta dan orang ramai.

Usaha pemerintah memperkenalkan Pas Budaya SG untuk membolehkan warga SG membeli tiket acara seni dan buku sastera atau persuratan karya penulis setempat perlulah diteruskan. Ia juga membantu para penulis setempat mendapat sokongan berterusan untuk terus berkarya.

Tujuan membaca memang pelbagai tetapi terasnya ialah meraih maklumat atau ilmu bermanfaat. Ia menjadi sebahagian daripada falsafah nusa iaitu pembelajaran sepanjang hayat.

Pelajar kita memang sibuk dalam sistem pendidikan yang berdaya saing tinggi. Namun, wajar diwujudkan semacam daya galak seperti markah tambahan jika mereka dapat membaca sejumlah buku saranan sekolah.

Bagi golongan dewasa pula, hal serupa boleh dilakukan oleh toko buku sehingga NLB agar membaca menjadi tabiat sebati.
Related article image
Kedai buku yang masih bertahan, berkembang dan terus berkhidmat kepada masyarakat harus diraikan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Semoga dengan rangsangan tadi, kian ramai warga atau penduduk SG lebih cenderung membuka lembaran buku dalam MRT atau bas, daripada terpaku pada telefon bimbit sahaja. Bahkan suntikan ini berpotensi menyerlahkan pembentukan kelab bincang buku di kolong flat HDB sehingga pemasaran gigih buku terbitan SG dari kios terminal bas dan MRT ke bandara Changi.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita