Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Membaca Memperkaya Cakerawala Minda

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Membaca Memperkaya Cakerawala Minda
Negara dan masyarakat yang maju dapat dilihat dari tahap literasinya. (Gambar: BERITAMediacorp/Hazimah Anuar)
Diterbitkan : 09 Aug 2026 11:13PM Dikemas Kini : 09 Aug 2026 11:24PM
SINGAPURA: Manusia adalah satu-satunya makhluk yang boleh membaca dan menulis. Membaca aksara, angka, simbol serta gerak manusia dan alam adalah anugerah besar sehingga tercipta peradaban.

Dalam semua peradaban dunia, golongan yang boleh membaca dan menulis adalah mereka yang diberikan keistimewaan sebagai penguasa, pemikir dan pujangga.

Dalam tradisi agama dunia, golongan yang boleh membaca dan menafsir kitab-kitab suci adalah golongan kependetaan yang sangat dimuliakan.

Dalam tradisi Islam, tokoh yang alim ulama itu adalah ilmuan yang menguasai bidangnya, sama ada ilmu perihal keagamaan, mahupun hal urusan keduniaan.

Dalam masyarakat moden, peluasan pendidikan kepada rakyat terbanyak telah membasmi buta huruf. Yang paling menonjol dalam gerakan moden ini adalah kaum perempuan yang diberikan pendidikan untuk membaca dan menulis.
Related article image
Peluasan pendidikan meningkatkan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, memperkukuh komunikasi serta melahirkan lebih banyak pengetahuan dan kemahiran. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Peluasan pendidikan pula menghasilkan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, memperkukuhkan komunikasi dan terus menjana produksi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi.

Semua proses memerlukan transmisi. Transmisi ini adalah dari bahan bacaan dan usaha membaca.

Pendek kata, pemodenan masyarakat tidak dapat tercapai sekiranya ilmu dan kepandaian tidak dibangunkan terlebih dahulu.

Semua gerakan pemodenan dan pembaharuan bertolak dari pemerolehan dan penguasaan ilmu. Ini hanya boleh berlangsung sekiranya kesungguhan membaca dan memahami semakin gigih dan canggih.

Membaca Dibudaya, Kemajuan Bangsa

Negara dan masyarakat yang maju dapat dilihat dari tahap literasinya. Sistem pendidikan yang moden digerakkan dengan pembangunan ilmu secara besar-besaran, dari anak kecil sampailah ke peringkat pengajian dan penyelidikan tinggi.

Ini semua tercapai kerana wujudnya budaya ilmu dan membaca, teguh dan menyeluruh.

Ternyata semua negara maju memiliki kadar pembacaan yang tinggi oleh warganya.

Kemudahan membaca seperti perpustakaan atau sudut membaca tersedia dengan baik.

Dengan pendapatan isi rumah yang mantap, setiap keluarga memiliki sumber untuk pendidikan dan pemerolehan bahan bacaan untuk anak-anak mereka.
Related article image
Pesta buku boleh dijadikan sebagai satu wadah untuk mendapatkan bahan bacaan untuk anak-anak. (Gambar: Mediacorp)
Dengan dunia pendidikan terbangun baik, ranah awam diisikan dengan wacana intelektual dan budaya yang sering bergerak.

Ini semua membangunkan sebuah ekologi membaca, dan setiap ranah saling mendukung satu sama lain sehingga budaya membaca menjadi luas dan organik.

Membaca Memberdaya, Manusia Bersusila

Dengan kemampuan membaca dan menulis, manusia hadir dalam sejarah, dan boleh menebak masa hadapan. Membaca memperkenalkan dan memperkayakan ilmu pengetahuan, selain menyebarkan maklumat.

Dengan ilmu, ia menurunkan sikap bertanggungjawab dan kesedaran kepada anak didik. Ilmu dalam hal ini dapat membentuk keperibadian atau watak yang ampuh, berdaya, telus dan tulus.

Pendapat Mohammad Hatta, negarawan Indonesia yang terkenal, menarik dicermati:

“Bahwa ilmu terutama maju di tangan sarjana yang berkarakter tidak dapat disangsikan lagi. Orang yang berkarakter tahu menghargai pendapat orang lain yang berlainan dengan pendapatnya. Ia berani membela kebenaran yang telah menjadi keyakinannya terhadap sesiapa pun juga. Ia tak segan mempertahankan pendapatnya, sekalipun bertentangan dengan pendapat umum. Tetapi ia juga berani melepaskan sesuatu keyakinan ilmiah, apabila pada suatu waktu logika yang lebih kuat dan kenyataan yang lebih lengkap, membuktikan salahnya. Hanya dengan pendirian yang kritis inti ilmu dapat dimajukan. Dalam memelihara dan memajukan ilmu, karakterlah yang terutama, bukan kecerdasan. Kurang kecerdasan dapat diisi, kurang karakter sukar memenuhinya…. Kecerdasan dapat dicapai dengan jalan studi oleh orang yang mempunyai karakter. Karena karakter itu pula ilmu dapat berjalan terus.”
Related article image
Mantan Naib Presiden Indonesia, Mohammad Hatta. (Gambar: Facebook/D Batak)
Membaca Beradab, Masyarakat Bertanggungjawab

Manusia yang membaca menjadikan dirinya manusia yang beradab. Yang dimaksudkan itu adalah manusia yang tahu tempat dan peranan, memahami pentingnya kemuliaan adil dan akal, dan mesti berdiri atas kebenaran.

Manusia yang beradab itu juga mesti bebas, berfikir dan bertindak. Dia tidak dibelenggu oleh ideologi yang memperkecilkan martabat dan menguras daya usaha serta mencengkam cara berfikir dan bertindak.

Sekadar mempunyai literasi membaca tidak akan sempurna sekiranya ia tidak digandingkan dengan kesedaran dan keprihatinan. Ertinya membaca kata, dan membaca dunia, mesti segandingan membaca hati dan perasaan.

Pada kesedaran itu terangkum cara berfikir yang kritis, peka dengan sejarah dan keadaan semasa, dan mampu melihat sesuatu perkara dalam dimensi yang berbagai.

Kesedaran tidak akan dapat terbentuk sekiranya pembacaan lemah dan bacaan yang ada pun, tidak dapat menerawang ke idea yang lebih rumit dan mencabar.

Keprihatinan pula datang daripada nilai dan pandangan dunia yang disuguhkan dengan sikap empati, ihsan dan bersedia untuk menyuarakan atau berbuat sesuatu kepada mereka yang lebih memerlukan.

Dalam bahasa hari ini, masyarakat yang membaca akan melahirkan sikap sivik yang tinggi, yakin dengan kedaulatan undang-undang yang menjamin hak untuk semua, serta berani mengemban tanggungjawab menyuarakan sesuatu secara demokratik dan adil.
Related article image
Tabiat membaca boleh membentuk golongan yang berani menyuarakan pendapat secara demokratik dan adil. (Gambar: AMP Singapore)
Membaca Tekun, Keilmuan Tersusun

Membaca pasti ada tahap intensitinya. Membaca dengan kerap pastinya akan menambahkan mutu pemahaman dan penerimaan.

Namun harus difikirkan juga jenis bahan bacaan yang dibaca. Sekiranya bahan bacaan itu jenis picisan dan lambakan, maka tiada yang produktif yang dapat lahir darinya. Ini berbeza dengan bahan bacaan yang ampuh isinya, kukuh hujahnya dan menyeluruh pemaparannya.

Membaca ilmu pengetahuan yang sebegini pastinya akan melahirkan usaha penulisan atau wacana selanjutnya.

Inilah yang disebut sebagai produksi pengetahuan yang penting diwujudkan dalam masyarakat.

Ilmu pengetahuan yang terhasil dibaca lagi dan prosesnya berulang terus. Lebih luas pembacaan yang ada, semakin meluas pencerapan idea dari luar dan dalam.
Kondisi produktif seperti ini hanya akan tertampung sekiranya wujud pula bahan bacaan yang bagus di semua peringkat umur.

Paling jelas, pembacaan produktif seperti ini tidak boleh bersifat pasif. Ia mesti aktif dengan sikap ingin tahu, bertanya dan mempersoalkan apa yang telah ditulis, makna dan konteksnya serta matlamat sesebuah karya itu. Dengan pembacaan yang berbentuk 'engaging', ia akan menjana produksi keilmuan yang cergas.
Related article image
Wardah Books, sebuah kedai buku di Kampong Glam, menganjurkan program buku bagi pembaca, penulis, dan penerbit. (Gambar: Instagram/@maktaba_books)
Membaca Madah, Bersilat Lidah

Ilmu yang dijana dalam masyarakat terbangun dalam pelbagai ranah. Antara bahan bacaan yang penting dan wajar didedahkan adalah karya sastera.

Ia terungkap dalam bahasa puitis dengan perlambangan serta makna sosial yang mahu disampaikan kepada khalayak ramai.

Membaca karya sastera akan memperkukuhkan penguasaan bahasa dan menjadi celik terhadap keadaan semasa. Ia melatih kita membaca metafora dan menilai makna yang mahu disampaikan.
Related article image
Karya sastera dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa. (Gambar hiasan: Facebook/Gadis Buku)
Akrab membaca karya sastera akan menjurus pula kepada kepetahan bahasa, kefahaman pada madah dan kiasan, dan menjadikan kita mampu bersilat lidah. Ini bererti kemampuan untuk memberi pendapat, kritikan dan usulan.

Itulah yang diperlukan dalam masyarakat. Ini hanya akan wujud sekiranya literasi membaca yang dinamik dibangunkan dalam masyarakat.

Membaca Tersirat, Memahami Niat

Membaca dengan tekun dan mendalam pastinya memerlukan kaedah cara membaca yang dapat menyelongkar apa yang ditulis, serta kaitannya dengan kehidupan yang lebih besar.

Karya besar daripada penulis mapan, sering kali kaya dengan makna, pesanan, dan harapan. Ini memerlukan bacaan yang cermat.

Pembacaan bandingan dan pembacaan merentas ilmu, akan membolehkan kita memahami makna yang tersirat, meneka niat dan membutirkan matlamat dalam sesebuah karya.

Hanya dengan tekun membaca, bersama metode yang sesuai, barulah kepandaian membaca akan mengembang.

Membaca Tajam, Fikiran Mendalam

Ketajaman berfikir datang daripada pengalaman hidup, kematangan sikap, keteguhan nilai dan pastinya pembacaan yang meluas dan mendalam.

Membaca tajam bererti dapat membaca dengan kritis, dapat menimbangkan idea dengan saksama, dapat menilai dengan berhemah, berserta keberanian untuk mengatakan mana yang salah, mana yang munasabah.

Dengan ketajaman fikiran, ia boleh menyalurkan sisi kreativiti yang bercambah, dan ini amat diperlukan dalam ranah seni.

Sedangkan satu lagi ketajaman fikiran adalah yang memicu innovasi, yang sangat penting dalam dunia sains dan teknologi.

Pembacaan yang tajam hanya boleh tercapai daripada pendedahan kepada karya-karya yang bagus dan halus.

Namun ia mesti ditampung oleh pendekataan yang dapat merungkai konsep, andaian dan kesimpulan yang terdapat dalam sesebuah karya.

Ketajaman fikiran adalah hasil daripada pembacaan yang bernas dan bebas. Tidak mungkin ada fikiran yang cerdas dan bebas, kalau pembacaan lemah dan picisan pula.

Membaca Berkhayal, Imaginasi Berpukal

Haidar Bagir dalam bukunya 'Memulihkan Sekolah Memulihkan Manusia' (2019) menyebut tentang pentingnya kemampuan berkhayal, yang bermakna, memahami dunia fantasi dan perlambangan, sehingga imaginasi manusia terbangun. Khayal ini bukan fikiran yang main-main tanpa tujuan atau suatu kesasaran. Ia pola pemikiran yang kaya dan berani menjelajah ke ranah yang belum terfikir atau sukar ditanggapi.
Related article image
Buku 'Memulihkan Sekolah Memulihkan Manusia' (2019). (Gambar: Facebook/Muh Taufik Al Jogjawi)
Related article image
Dr Haidar Bagir. (Gambar: Facebook/Haidar Bagir)
Haidar menukil Albert Einstein yang mengatakan “Imagination is more important than knowledge,” (“Imaginasi lebih penting daripada ilmu pengetahuan.")

Pemikir dan penulis hebat dianugerahi dengan daya imaginasi yang luar biasa, menjadi pemimpi-pemimpi yang berani keluar daripada pola idea dan perilaku yang biasa, malah menjadi “daya dorong” untuk mereka menyempurnakan sesuatu kerja dan menyerukan sesuatu gagasan.

Di Singapura, kita beruntung kerana mempunyai rangkaian perpustakaan di setiap daerah utama negara ini di bawah kelolaan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Program menggalakkan tabiat membaca di peringkat nasional telah dilancarkan oleh NLB baru-baru ini.

Gerakan ReadSG akan bermula September ini. Inisiatif ini wajar disambut oleh masyarakat kita khasnya. Wajar sekiranya pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam setempat menggerakkan inisiatif di peringkat pertubuhan masing-masing.
Related article image
Kempen ReadSG akan dilancarkan pada September 2026. (Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)
Kepimpinan masyarakat kita juga harus terus memberi galakan dan teladan dalam usaha menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Kepimpinan yang membaca pastinya menginspirasi masyarakat terbanyak untuk meneladaninya.

Sama pentingnya adalah peranan setiap keluarga Melayu untuk menggalakkan ahli keluarga mereka untuk membaca. Bagi yang berkemampuan, pelaburan pendidikan anak-anak harus juga terangkum biaya untuk membeli buku dan penyediaan rak-rak buku dan ruang membaca.
Related article image
Para relawan menemani kanak-kanak membaca. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
Bagi yang kurang mampu, mereka boleh memanfaatkan program atau bengkel bacaan untuk anak-anak yang kerap diadakan di perpustakaan awam kita. Menggalakkan budaya membaca yang kuat khususnya kepada anak-anak dalam keluarga sebegini harus menjadi keutamaan dalam program kemasyarakatan kita.

Badan-badan Melayu setempat juga perlu memikirkan ikhtiar yang kreatif untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Melayu, khusunya yang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Masyarakat yang membaca akan melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan berbudaya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura. Dr Azhar juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita