ALAM MELAYU: Melayuku Pada SG60
(Dari kiri) Bekas Pelajar Madrasah Aljunied Tasneem Jamaludeen, Komander Perbarisan NDP 2025, Leftenan Kolonel Firdaus Ghazali, Penerima Biasiswa Presiden Muhammad Dhafer Muhammad Faishal. (Gambar: BERITA Mediacorp, Facebook/MINDEF)
Semasa satu seminar patriotisme di Melaka pada awal 1990-an, tercetus soalan yang amat mencabar.
Selepas bentangkan makalah dan menjawab beberapa pertanyaan mudah, muncul soalan terakhir menggugat hati: Mengapa Melayu Singapura terpinggir?
Datangnya daripada seorang wanita yang fasih Bahasa Inggeris. Mukadimahnya agak panjang.
Tinggal baki 5 minit bagi saya selaku pemakalah terakhir dan tunggal dari Seberang Tambak. Dewan yang tadinya riuh tiba-tiba menyepi menanti tingkah saya.
Turut menemani saya ialah budayawan Hj Abdul Ghani Abdul Hamid (1933-2014) dan Encik Abdul Rahman Mohd Said (1953 -), ‘penghulu’ (pengelola) laman maya, Kampungnet.
Pesan orang tua-tua: bila ada soalan sukar, carilah kias sejarah dan jawab sebernas terdaya. Maka jawab saya:
“Seorang lagi pula merupakan Perdana Menteri yang demi menenangkan gelora politik, maka dicoretkan pena pada secarik kertas. Dilepaskannya Singapura agar merdeka. Akibatnya, masyarakat Melayu yang pernah dua tahun sebagai majoriti kembali menjadi kerdil, dirantai sindrom minoriti. Mujurlah nama saya Muhammad Raman. Dan saya sayangkan Singapura.”
Gemuruh dewan campur deru tawa termasuk teriakan kuat “marvellous” (hebat) yang datang dari seorang tokoh Melaka yang kemudian menjulang kerjayanya.
Tidak pasti apakah jawapan saya memuaskan ramai pihak, termasuk penanya yang tampak tersipu-sipu.
JATI DIRI
Bercakap tentang nilai jati diri pada detik kelahiran, saya teringat akan sajak protes Mohamed Latiff Mohamed (MLM, 1950-2022) yang diterbitkan pada 1985:
Mereka berkumpul lagi
cerita fasal harga membukit tinggi
beca rosak karat menanti
perut isteri buncit lagi
Inilah bangsaku
Mereka berkumpul lagi
bicara bakal kerja apa patut dicari
sekolah sudah berhenti
sijil angka enam di hujung kaki
Inilah bangsaku
Mereka berkumpul lagi
di flat-flat mencakar langit
di hotel-hotel tegak membukit
di kasino-kasino berderet
anak-anakku mengangguk menunduk
minta kerja tukang sapu puntung rokok
Inilah bangsaku
Di kilauan sains dan teknologi
di puncak politik dunia sepi
di kederasan ekonomi
ummiku punya mimpi sendiri
punya nasib sendiri
punya takdir sendiri
di kiri duri di kanan api.
Saya difahamkan soalan seumpama tadi bukanlah ‘baharu’ bagi kalangan warga Melayu Singapura ketika berziarah ke negara-negara rumpun Melayu untuk temu bincang dan seumpamanya.
"Biar apa pun orang lain kata, pokoknya kita Melayu adalah peribumi negara ini. Jadilah contoh terbaik. Jiwai dan perjuangkan persetiaan negara ini iaitu Perlembagaan," demikian pesan Dr Hj Ya’acob Mohamed, ketika diwawancara ketua pemberita Berita Harian, Saadon Ismail (1945-1987) dan saya pada 1985.
Beliau gigih merujuk kepada ramai bijak pandai serumpun ketika itu, termasuk Peguam Negara Ahmad Mohamed Ibrahim (1916-1999) sehingga Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Prof Diraja Dr Ungku Aziz, 1922-2020). Dapatannya turut mewarnai Fasal 152 Perlembagaan Singapura.
Konsep jati diri orang Melayu di Singapura telah lama dibincangkan. Namun hujah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), teras jati diri Melayu berlandaskan peribahasa – Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. “Orang Melayu sejak zaman pembentukan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada 1926 oleh Mohd Eunos Abdullah dan rakan-rakannya, telah ditanamkan dengan azam setia pada perjanjian, berani kerana benar dan ihsan atau ambil berat.”
Ujian ‘jati diri’ Melayu Singapura terpapar pada Ogos 1965 apabila nusa ini merdeka secara mengejut sesudah sekitar dua tahun (1963-1965) dalam Persekutuan Malaysia.
PASCA MERDEKA
Dalam sidang akhbar ketika mengumumkan perpisahan sambil menyeka air mata, Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew (1923-2015) berikrar, antara lain, untuk menolong orang Melayu menjadi masyarakat berjaya. Setakat mana tahap ‘kejayaan’ itu?
Menurut sarjana dan wartawan, Ismail Kassim (1943-2019) dalam buku terkenalnya berdasarkan tesis sarjana politiknya, ‘Ethnic Cohesion’ (1977), sejak merdeka Melayu Singapura menghadapi sindrom minoriti – lemah dari segi politik dan sosioekonomi.
Maka terbina gambaran bahawa Melayu itu masyarakat bermasalah (problematic community) seperti tertera dalam buku Dr Hussin Mutalib, ‘Singapore Malays: Being Ethnic Minority and Muslim in a Global City-State’ (2012), monograf Dr Suriani Suratman (2004), tinjauan Institut Pengajian Dasar (IPS) sehingga perangkaan Statista.
Memang terasa aib mendengar semua ini. Namun konsep ‘masih ada malu’ diangkat oleh Dr Tham Seong Chee (1932-) dalam eseinya (monograf, 1993), sebagai antara faktor jiwa yang dapat mendorong Melayu Singapura bangkit tangkas memajukan diri.
AZAM BANTU DIRI
Sejak 1880-an, kalangan cendekia atau pemimpin Melayu Singapura telah melancarkan usaha bantu diri secara gotong-royong atau berpersatuan.
Demi membangkitkan ‘imej Melayu’ yang berjaya, tercetus semboyan juang “Ke Arah Masyarakat Cemerlang” sebagai rekayasa sosial oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam (MBEM), Dr Yaacob Ibrahim. Ini diikuti dengan “Ke Arah Masyarakat Gemilang” oleh penggantinya, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun ini, Pemangku MBEM, Dr Muhammad Faishal Ibrahim masih belum menyatakan semboyannya.
Dua dekad sesudah penubuhan MENDAKI, kejayaan anak Melayu mula kian ketara dengan pecahnya tembok jiwa hasil pencapaian Matematik (tamat sekolah rendah) yang diumumkan MBEM Abdullah Tarmugi pada tahun 2000. Selanjutnya, bilangan anak Melayu dengan kelulusan kepujian sarjana muda kelas pertama juga kian menonjol.
BANGGA SEBAGAI MELAYU
Antara 1965 hingga tahun 2000, Singapura melalui perubahan pesat dari Negara Dunia Ketiga menjadi Pertama. Saya pernah mendengar tanggapan seorang pemuda tentang jati dirinya sebagai ‘anak Melayu’ yang berdepan dengan diskriminasi atau diragui kesetiaannya dan imej masyarakatnya yang masih terbelakang dengan pelbagai isu sosioekonomi dan sebagainya.
Jawabnya: “Tetap sayang. Manalah tahu saya boleh berjaya di luar sana sebagai bukti anak Melayu Singapura memang unggul. Dan saya boleh bantu hulur wang, dan jadi pembimbing jika diminta. Bila dekat Hari Raya, saya baliklah ke sini.”
Dan bagaimana pada SG100 kelak? Apakah akan terbit sebuah puisi yakin yang berbeza dengan nada MLM (sekadar contoh):
di puncak politik dunia berapi
di kederasan ekonomi
bangsaku sudah bangkit berdiri, berlari
setanding kemanusiaan hakiki
bangga menabur budi
tidak meminta lagi
kerana kita ada harga diri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.