Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Mandilah Semua!

Tular di media sosial, usikan ‘Mandilah Singapura’ kerana segelintir warga republik ini dikatakan berpagi-pagi tanpa mandi. Walaupun tampak suatu yang remeh, amalan ini serius bagi orang Melayu. Mohd Raman Daud menyingkapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Mandilah Semua!

(Gambar hiasan: iStock)

SINGAPURA: Tular di media sosial, usikan ‘Mandilah Singapura’ kerana segelintir warga republik ini dikatakan berpagi-pagi tanpa mandi. Walaupun tampak suatu yang remeh, amalan ini serius bagi orang Melayu. Mohd Raman Daud menyingkapnya.

Masih ingat adegan mandi (مندي) sekadar ‘celup jari’ dalam filem satira P Ramlee, Bujang Lapok (Shaw Brothers. 1961).
Related article image
Sedutan adegan ‘mandi’ filem Seniman Bujang Lapok (1961) lakonan Aziz Sattar, S. Shamsuddin dan P. Ramlee. (Gambar ihsan: Shaw Brothers).
Tampaknya ‘tabiat’ semacam ini menjadi sembang tular di media sosial baru-baru ini sehingga timbul teriakan “Mandilah Singapura!”.

Hakikatnya, ‘mandi’ merupakan suatu amalan serius bagi orang Melayu sejak zaman dahulu. Kecuali ada aral kerana tidak boleh terkena air, setiap orang Melayu – dari bayi hingga tua renta perlu mandi. Bahkan ‘upacara’ (ritual) mandi dijadikan adat penting dari tahap bayi, cukup usia (dapat haid atau pertama kali keluar air mani), menjadi pengantin sehingga menghadap Ilahi (mandi mayat).

ERTI MANDI

Hampir seluruh tamadun manusia menetapkan ‘mandi’ sebagai amalan harian sehingga meraih kemuliaan. Misalnya, antara peninggalan tamadun Rumawi ialah rumah mandian (bath houses) seperti di kota Bath di England. Jepun juga berbangga dengan mandi air panas di kolah atau ‘onsen’ .

Dari segi takrif, ‘mandi’ (kata asal Melayu) ialah tindakan membersihkan badan dengan air seperti bersiram atau menjiruskan air (bergayung) sehingga berendam. Bezanya manusia yang lebih berakal dengan haiwan ketika mandi ialah insan membersihkan tubuhnya – menggosok kulit untuk menanggalkan daki (sel mati/dead cells) dan sebagainya. Kemudian, ia teruskan dengan berlangir atau bersintuk dengan limau purut, belerang (sulfur) sehingga bunga.
Related article image
(Gambar: iStock/VladK213)
SURUHAN AGAMA

Menurut sejarah, ramai rumpun Melayu pernah beragama Hindu dan Buddha. Oleh itu, ada amalan dari dua agama ini yang menyuruh berendam lama dalam kolam atau air sungai. Ini dikatakan amalan untuk pertapaan (bersendirian untuk mencari ketenangan).

Namun sejak abad ke-8 Masihi, Islam telah memperkenalkan rumpun Melayu kepada cara mandi yang mudah menurut hukum. Bagaimanapun, ada adat ‘mandi’ rumpun Melayu yang silam masih terbawa-bawa sehingga ke hari ini.

Sekadar contoh, pada tahap bayi baru lahir, ada adat turun mandi seperti di Minangkabau (Sumatra Utara). Tradisi ini dilakukan dengan memandikan bayi di sungai atau batang air. Dikatakan tradisi ini sarat falsafahnya, antara lain pernyataan rasa syukur atas kelahiran bayi, memperkenalkan bayi dengan lingkungan alam serta berdoa agar bayi sihat dan tumbuh besar dengan baik.
Related article image
Upacara Turun Mandi Bayi Tradisi Minangkabau. (Gambar: Jurnalpost)
Mandi haid/datang bulan pertama atau datang dilakukan oleh anak perempuan yang memasuki alam wanita. Sementara, anak lelaki yang bermimpi sehingga keluar air mani, juga disuruh mandi. Dengan adanya Islam, amalan ini ditertibkan dengan membuang kepercayaan yang tidak berasas. Tetapi dijelaskan bahawa anak memasuki tahap ini perlulah mandi ‘hadas besar’ dengan niat dan aturannya.

Mandi pengantin masih lagi dilakukan dalam sesetengah adat Melayu, termasuk pihak istana. Ia dilakukan untuk pengantin yang bersiram bersama disaksikan orang-orang tertentu sahaja.

MANDI SEBENAR

Islam mengajarkan ‘mandi sebenar’ yang perlu dilakukan oleh setiap penganutnya, termasuk orang Melayu, menurut keperluan harian atau khusus. Ia diajarkan Nabi Muhammad (s.a.w.), insan contoh yang amat pembersih tetapi juga praktikal.

Di tanah Arab yang gersang, air sukar didapati dan tentulah amat ‘mahal’. Menurut alim besar, Prof Haji Abdul Malik Karim Amrullah (@ Hamka, 1908-1981), amalan Nabi adalah pragmatik demi mengelakkan pembaziran air di mana jua, termasuk di negara tropika yang sering hujan. Antara lain, ini disandarkan pada hadis sahih – Nabi melarang keras sahabatnya bersuka-sukaan dengan air ketika mengambil wuduk.

Untuk mandi, Rasulullah menggunakan dua atau tiga liter air saja. Tricara mandinya: basuh tangan, siram air ke kepala, dan bersihkan badan. Langkah pertama: Basuh tangan dengan air dan sabun (dari kekata Arab: sobun). Dengan tangan kiri: bersihkan bahagian sulit – kemaluan, dubur, ketiak dan pusat. Siram sambil selatkan jari ke atas kepala tiga kali (keramas). Siram badan dari ubun-ubun sehingga bawah kaki, dari sebelah kanan dan ke kiri.
Related article image
(Gambar hiasan: Siraplimau)
Mandi wajib merupakan tuntutan Islam kepada seluruh umatnya. Bersihkan diri sebelum beribadah. Mandi junub pula diperlukan apabila seseorang itu, lelaki atau perempuan, keluar air mani tidak kira sama ada bersetubuh (jimak) atau tidak.

UNGKAPAN

Daripada amalan ‘mandi’, timbul pelbagai ungkapan (sebahagian daripada peribahasa) yang masih elok diperingati.

Mandi kerbau ialah sekadar bersiram atau berendam tanpa berlangir – serupa kubang- berkubang. Mandi peluh bererti badan lencun/basah dek peluh sehingga menitis. Mandi darah pula apabila badan berlumuran darah sendiri atau orang lain kerana bertikaman atau akibat perang. Mandi bunga ialah mandi di kolah atau tab berisi air dan bunga-bungaan untuk menghilangkan bau badan yang busuk atau hanyir atau membuang ‘sial’ (celaka) atau kena sihir.

Mandi duit ialah ketika menerima wang yang begitu banyak (juga disebut durian runtuh). Ungkapan ini digunakan untuk hartawan yang menonjol-nonjolkan harta. Contoh ayat: Qarun dalam zaman Nabi Musa, terpersuk sehingga terbenam ke dalam bumi kerana bermandikan duit sehingga angkuh dan lupa akan Tuhan Yang Esa.

Mandi bunting ialah upacara mandi ketika seseorang ibu hamil tujuh bulan. Angka ‘7’ dianggap angka mistik atau tuah dengan harapan bayi yang dilahirkan akan hidup bertuah dan juga si ibunya.

Mandi Safar telah ditinggalkan orang Melayu Singapura sejak awal 1970-an kerana ditegah alim ulama. Pemandangan mandi Safar di pantai Katong pernah dirakamkan pada lukisan S. Mohdir (1936-2010). Ia dikatakan berkait dengan kepercayaan membuang sial dengan bermandi-manda di tepi pantai.
Related article image
Gambar fail Taman East Coast. (Gambar: Jeremy Long)
Kamus Dewan dalam talian (online) menderetkan ratusan ungkapan tentang mandi dan peribahasanya. Ini menunjukkan betapa orang Melayu sejak dahulu lagi amat menghargai kebersihan dengan mandi serta pelbagai upacara mengenainya.

Hakikatnya, suasana berasak-asak di Singapura yang kecil lagi padat ini memang ‘adat’, apatah lagi dalam pengangkutan awam seperti bas dan MRT sehingga pusat beli-belah. Tentulah didambakan bau badan harum atau mesra hidung.

Seandainya sukar, maka perlulah dipasang alat pewangi tetapi ini tentulah menjejas kocek pengguna akhirnya.

Orang tuna (tanpa) mandi dipanggil ‘kopet’ (dari kekata Jawa). Tabiat ini amat ditegah budaya Melayu dan tentulah prinsip kesihatan. Waimah, mandi lazimnya adalah pilihan sendiri. Alang-alang mandi, biarlah bersih tubuh dan hati. Dari itu, Mandilah Semua!

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita