ALAM MELAYU: Makna Pada Gelaran ‘Haji’?
Hasrat teguh umat Islam untuk menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya amat terpapar sepanjang Zulhijah. Mohd Raman Daud menyusuri liku-liku zahir dan kerohaniannya.
Gambar fail Masjidil Haram semasa musim haji. (Gambar: AFP)
Setiap kali terlihat di layar TV akan lautan jemaah haji di Tanah Suci, hati kawan saya dirantai sebak:
“Aku bukan nak sangat ‘title’ (gelaran) haji. Tapi cuma nak lengkapkan ibadahku saja,” dambanya.
Berusia melepasi 70 tahun, beliau mengakui tersilap kerana lewat mendaftarkan hajinya dek pelbagai sebab peribadi. “Rasa-rasanya macam tak sempat,” katanya. Beliau pernah dinasihati agar sekurang-kurangnya melaksanakan umrah sahaja.
Hakikatnya, beliau bukan sendirian. Dengan kuota seorang haji bagi 1,000 Muslim (0.1%) yang disepakati Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 1988 di Amman (Jordan), ramai Muslim kini terus berdoa untuk dapat melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Bak luahan fikiran Encik Cholil Yahya Staquf (@ Gus Yahya), 59 tahun, ketua Nahdlatul Ulama dalam Persidangan Haji Ke-49 di Jeddah baru-baru ini, penantian suatu ujian sukar.
Ujarnya, Kerajaan Saudi selaku pengamanah Tanah Suci perlu menyemak caranya, termasuk memastikan haji hanya dilakukan sekali sahaja bagi setiap Muslim dan meluaskan prasarana untuk menampung lebih banyak jemaah. Antara Visi 2030 Saudi dalam memperluas kepelbagaian ekonominya ialah mempertingkatkan sektor pelancongan termasuk menyediakan prasarana untuk jemaah.
JEMAAH RANTAU
Data Kerajaan Saudi mengenai haji menunjukkan rumpun Melayu rantau ini membentuk jemaah haji terbesar. Indonesia, negara umat Islam terbesar di rantau ini, menampilkan 220,000 jemaah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Islam masuk secara damai di rantau ini. Maka itu, antara lain dihujahkan bahawa kecenderungan pada ‘haji’ amat mekar dalam kalbu umat ini. Oleh itu, umat dari rantau ini yang biasanya sudah berumur dalam zaman silam sering menjadikan ‘haji’ sebagai kembara tutup usia mereka.
Awalnya perjalanan haji silam dari rantau ini ialah dengan kapal layar yang tertakluk pada musim tiupan angin sehingga tiga tahun. Sejak 1870-an, muncul kapal wap (steam ship) untuk penumpang haji dan dijulang sebagai bermulanya era moden urusan haji dengan perjalanan kian pendek, iaitu tiga bulan sahaja.
Menurut buku "Kapal Haji: Singapore and the Hajj Journey by Sea’ tulisan Anthony Green dibantu Mohd Raman Daud, sistem haji zaman moden bertitik tolak pada tahun 1924.
Ketika itu, Singapura dan Malaya (Tanah Melayu) dijajah British yang telah melantik Abdul Majid bin Zainuddin (1877-1943) sebagai pegawai haji pertama berpusat di kota Jeddah. Selain beliau, Dr Mohamed Ibrahim bin Shaikh Ismail (ayah kepada Peguam Negara Singapura yang pertama, Ahmad bin Mohamed Ibrahim) pernah bertindak selaku doktor kesihatan dalam ehwal jemaah haji di dalam kapal.
Khidmat kapal haji berakhir pada 1974 untuk Singapura dan Malaysia dan pada 1976 di Indonesia. Munculnya khidmat kapal terbang mendorong urusan haji menjadi lebih tersusun, selamat, kian cepat. Sejak itu, bilangan jemaah haji kian berlipat ganda.
BERGADAI
Selain berniat, teras haji ialah setiap jemaah mesti memenuhi syarat iaitu istito'ah (kemampuan) yang meliputi kesihatan, kewangan, perjalanan selamat, biaya mencukupi (untuk dirinya dan tanggungannya). Dan tentulah sabar menanti giliran.
Antara 1840 hingga 1970, Singapura pernah menjadi pusat himpunan jemaah haji serantau. Apabila ada jemaah terkandas dek kehabisan wang oleh silap sendiri atau ditipu syekh haji, mereka terkandas di sini sehingga diperlikan ‘haji Singapura’.
Demi naik haji, orang Melayu zaman dahulu gigih menabung sehingga menjual tanah dan sebagainya. Ehwal bergolok-bergadai ini telah menginsafkan pakar ekonomi ehwal luar bandar, Prof Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (1922-2020) yang menyarankan penubuhan Tabung Haji (TH) pada 1963 di Malaysia. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran silap tadbir, model TH masih dianggap antara model urusan haji terbaik.
Menurut kajian sejarah, penjajah Belanda yang menakluki Indonesia selama 350 tahun, amat bimbang tentang ‘haji’ yang mencetuskan gejolak protes rakyat untuk merdeka. Maka itu, ia memasang ‘perisik’ bernama Christiaan Snouck Hurgronje (1857-1936) untuk menyusup ke Tanah Suci. Laporan Hurgronje, selaku penasihat ehwal peribumi, telah mendorong penjajah Belanda berkempen muslihat agar jemaah haji menonjolkan gelaran itu sebagai cerminan ‘martabat’ tinggi.
Walaupun kini ‘gelaran’ haji jarang digunakan orang rumpun Melayu pada nama mereka, namun dambaan ke Tanah Suci masih amat teguh. Pemerintah atau kerajaan negara majoriti Muslim (57 negara) dan sebahagian minoriti Muslim seperti Singapura, sering merayu ihsan kerajaan Saudi untuk menambah kuota bagi negara masing-masing.
Dengan kuota yang ada dan saiz Makkah atau Tanah Haram yang terhad, memang tidak semua Muslim dapat sempat naik haji walaupun memenuhi syarat. Oleh itu, menunaikan haji menjadi amat tidak ternilai dalam jangka panjang. Mentelah lagi, umat Islam sedunia dijangka menjadi penganut terbesar di dunia pada 2100 – berdasarkan unjuran kelahiran.
Menurut alim besar setempat, Ustaz Syed Abdillah Bin Ahmad Al-Jufri (1938-2003), Nabi Muhammad (SAW) sudah menjangkakan hal ini dan telah meninggalkan pesan tentang amalan-amalan yang ganjarannya menyamai naik haji.
Waima bagi sahabat saya, amalan begini sudah pernah dan akan dilakukannya tetapi mengharap sangat dijemput juga ke Tanah Suci meskipun pada usia senja dan tubuh renta. Demi menunaikan perjalanan terakhirnya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.