Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Macam Tak Raya Tanpa Songkok

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Macam Tak Raya Tanpa Songkok

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Gambar pemimpin bukan Melayu yang bersongkok - dari Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew sehingga Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng baru-baru ini, memberikan banyak pengertian. Apakah erti ‘songkok’ kepada rumpun Melayu?

Macam bukan lelaki yang beraya tanpa songkok.
Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew bersongkok ketika menemui penduduk Melayu di Ulu Pandan, 1963. (kiri) Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng bersongkok ketika menghadiri majlis iftar baru-baru ini. (kanan) (Gambar: ihsan Arkib Negara/Instagram)
Itulah pesan ayahanda penulis. Maklumlah beliau memang dahulu pandai (pembuat mahir) songkok dan capal di Kampung Kaji (suatu daerah kecil daripada Kampung Gelam) sesudah Perang Dunia Kedua (1942-1945).

Namun niaga itu ‘gulung tikar’ kerana merudum permintaan dalam negeri dan banjiran songkok dan capal yang jauh lebih murah dari Indonesia.

Kini dipercayai satu-satunya yang pandai songkok veteran di Singapura (SG) ialah Hj Abdul Wahab bin Abdullah yang mewarisi seni ini daripada ayahnya sejak 1970-an sehingga kini. Kegigihannya wajar disanjung (laman webnya, https://www.songkoksg.com/).
Budiman Melayu sering dikaitkan dengan songkok. Namun bukan mudah mencari songkok yang sesuai seperti dialami oleh Pak Menteri, Encik Abdullah Tarmugi – cerita Hj Maarof Salleh dalam buku rampaian eseinya daripada akhbar setempat, "Islam, Songkok & Bahasa" (2014).
Buku rampaian esei Hj Maarof Salleh daripada akhbar setempat, "Islam, Songkok & Bahasa" (2014). (Gambar: Sumber web)
JATI DIRI

Gambar pemimpin rumpun Melayu bersongkok sudah terpapar sejak era Presiden pertama Indonesia, Sukarno (1901-1970) dan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1903-1990).

Hari ini pun PM Malaysia Anwar Ibrahim dan sahabatnya, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, bangga bersongkok. Malah para pemimpin lelaki Malaysia di Dewan Parlimen dan begitu juga rakan sejawatan mereka di Indonesia pun bersongkok.
 
PM Anwar Ibrahim (kiri) bersama Encik Prabowo Subianto (kanan), 20 Oktober 2024. (Gambar: Bernama)
Oleh itu, songkok dianggap antara pakaian dalam rangka jati diri rumpun Melayu. Majoriti orang Melayu beragama Islam. Namun ada juga yang tidak seagama tetapi suka memakai songkok.

Antara lain, kesedaran tentang hal ini dialami penulis ketika sekeluarga menaiki beca di kota Brastagi, daerah kaya hasil tani rantau Batak Karo, di Sumatra Utara, sekitar akhir 1980-an. Penarik beca itu bersongkok dan mengucapkan ‘Assalamua’laikum’. Terpinga bodoh penulis: “Dia ini Muslimkah kerana tunjukkan gereja sebagai tempat ibadahnya dan kedai jual daging babi dan anjing yang sering dilangganinya.”

Barulah penulis, ketika berusia 30 tahun, sedar bahawa songkok merupakan ‘pakaian’ nasional Indonesia tanpa mengira kaum dan agama.

ASAL USUL

Songkok (Jawi: سوڠكوق‎‎‎) juga dikenali sebagai peci atau kopiah dipercayai muncul sebagai tutup kepala lelaki rumpun Melayu sejak abad ke-15M. Ada pendapat, ia bermula dari zaman Empayar Majapahit (1292-1527M) kerana askarnya memakai tutup kepala atau kopiah.

Terdapat pernyataan bahawa ia asal Timur Tengah seperti tercatat dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain atau mungkin ‘ditiru’ secara kreatif daripada ‘tarbus’ atau ‘fez’ yang asal Turki pada abad ke-16M.

Sejarah mencatatkan, orang lelaki Melayu silam memakai tanjak, tengkolok atau destar iaitu hiasan kain di kepala. Namun, golongan ulama yang terdidik di Timur Tengah pula sering memakai serban.

Namun, ada satu pendapat bahawa setelah kehadiran tuan-tuan penjajah Barat yang memakai topi, maka orang Melayu dikatakan secara kreatif telah menciptakan ‘songkok’ sebagai hiasan kepala mereka untuk melangkah ke zaman moden.
Presiden pengasas Indonesia Sukarno (kiri) dan Perdana Menteri Pengasas Malaysia, Tunku Abdul Rahman sering bersongkok.
FESYEN DAN KEYAKINAN

Di Indonesia, Sukarno telah menjadikan ‘peci’ sebagai lambang perjuangan rakyat seawal 1921. Beliau memakainya condong (ke kiri) sebagai melambangkan pembelaan kepada ‘golongan marhaen’ (rakyat biasa).

Begitu kagum kalangan warga Indonesia akan ‘peci’ Sukarno sehingga ada dongeng bahawa ia mempunyai ‘sakti’ (kuasa magis) iaitu boleh mencegah mara bahaya ke atasnya!

Namun cerita tadi sebenarnya dikaitkan dengan tokoh Muhammadiyah, Ki Bagus Hadikusomo yang bersahabat dengan Sukarno. Menurut cerita dari buku karya Djarnawi Hadikusuma, 'Derita Seorang Pemimpin: Riwayat Hidup, Perjoangan Dan Buah Pikiran Ki Bagus Hadikusuma' (1979), berlaku serangan tembakan - sebutir peluru tersendat pada peci Ki Bagus dan botol minyak wangi di dalam tasnya pecah. Tetapi Ki Bagus tidak tercalar pun. Sukarno takjub ketika mengunjunginya di Hotel Des Indes, Jakarta.

“Apa doanya, kang mas?” tanya Sukarno. Dijawab Ki Bagus: “Bahawa doa itu sendiri tidak mampu meraih kebahagiaan atau menangkis bencana. Doa hanyalah permohonan, tetapi apabila Allah telah mengabulkan maka tiada seorang pun dapat menolaknya...” (kang mas = panggilan hormat dalam Bahasa Jawa kepada orang yang lebih tua sedikit)
Buku karya Djarnawi Hadikusuma, 'Derita Seorang Pemimpin: Riwayat Hidup, Perjoangan Dan Buah Pikiran Ki Bagus Hadikusuma' (1979). (Gambar: X/Booksmu)
Hari ini, terdapat pelbagai fesyen songkok -dari yang runcing dan bersulam asal Aceh sehingga yang bulat seperti milik almarhum ayahanda penulis. Fabriknya pula sering baldu dan juga kain, lazimnya berona hitam. Dikatakan peci terbaik buatan syarikat Indonesia, Awing yang mendakwa buatannya menyerupai peci Sukarno.

Kini songkok lipat atau klasik (tidak dilipat) dapat dipesan lewat pelbagai firma jualan siber seperti Shopee, Lazada dan sebagainya. Terdapat pilihan fesyen dan harga yang luas terpapar di kaca komputer. Ketik sahaja mana yang berkenan, bayar menerusi dalam talian (online) dan tunggu 24 jam atau beberapa hari untuk kiriman. Alahai, mudahnya.

Kian ramai sanggup bersongkok yang disemat kerongsang (brooch) agar tampak lebih gah. Bahkan trend lama iaitu bersongkok pendek tidak lagi popular. Anak muda hari ini lebih suka bersongkok tinggi (empat inci atau 10.16sm) ala tarbus Turki.

Ingatkah tarbus yang terpapar hebat dalam filem ‘Tiga Abdul’ (1964) dibintangi P.Ramlee, Haji Mahadi dan S. Kadarisman yang senantiasa berhias kepala dengan fesyen Turki? Filem ini dikatakan satira halus dengan unsur komedi yang pintar.

BERSONGKOK ATAU TIDAK

Bolehkah anda beraya tanpa songkok?

Hakikatnya, zaman lelaki bersongkok untuk menonton filem di pawagam sehingga menghadiri mesyuarat dan majlis rasmi kian menjadi catatan arkib atau sejarah sahaja.

Bagi generasi saya, songkok kian digantikan dengan ketayap putih terutama selepas pulang dari haji. Di masjid di sini pun, tidak ramai memakai songkok.

Bagi golongan generasi anak saya pula, muncul kembali destar yang dinilai sebagai kebangkitan kesedaran mengenai warisan Melayu yang asli.

Waima, semua fakta ini masih perlu dikaji secara tuntas untuk membuktikan kebenarannya. Yang penting, apakah songkok juga akan pupus satu hari kelak setelah para pembikinnya sudah tiada lagi?

Ini persoalan pasaran atau permintaan-penawaran (demand and supply) yang hanya masa akan menentukan?

Dek pupus pandai songkok, apakah mungkin juga dengan teknologi cetak 3D yang menggunakan fabrik dan sebagainya, warisan seperti songkok boleh dihasilkan secara automatik dan bila-bila masa sahaja diperlukan?

Yang jelas, songkok bukan sekadar pernyataan busana (fashion statement) atau gaya zaman. Tetapi perkembangannya dari sekadar pakaian orang biasa sehingga menjadi lambang perjuangan untuk membela rakyat tertindas akan terabadi.
Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan