Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Leliku Pertembungan Tamadun Cina dan Melayu

Pertembungan tamadun Cina dan Melayu telah berlaku lebih tiga alaf. Sempena Tahun Baharu Cina, Mohd Raman Daud menyingkap kesannya dari sudut sosiosejarah dan jalinan antara kaum.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertembungan tamadun Cina dan Melayu telah berlaku lebih tiga alaf. Sempena Tahun Baharu Cina, Mohd Raman Daud menyingkap kesannya dari sudut sosiosejarah dan jalinan antara kaum.

Semasa sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, teringat saya akan madah Profesor Yang Quee Yee (1931-2024):

“Indahnya kemanusiaan ialah pada kepelbagaiannya, mentelah lagi dengan adanya harmoni.”

Beliau bersama isteri (@ rakan kerjanya) dan juga wartawan veteran, Cik Chan Maw Woh (1936-), telah menghasilkan 17 naskhah kamus Mandarin-Melayu-Inggeris, selama lebih lima dekad. ‘Merpati dua sejoli’ ini dijulang sebagai “jambatan budaya” dwibangsa – Cina dan Melayu oleh Majlis Buku Singapura pada 2021.

BINA JAMBATAN

Saya mula bersahabat dengan pasangan ini ketika mengikuti “kembara ilmu” anjuran Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) pimpinan Prof Dr Ismail Hussein (1932-2014) ke Yunnan pada 1993.
(Gambar: Penulis (tiga dari kanan) diapit Prof Yang (kiri) dan sasterawan Djamal Tukimin (kiri) ketika bergambar beramai-ramai di Kunming, ibu kota Yunnan, China, 1993).
Antara lain, kembara itu telah menilai dua teori asal usul rumpun Melayu yang kononnya dari Yunnan (di selatan China) atau dari Taiwan, serta pelbagai dapatan sejarah dwitamadun yang boleh disusur seawal zaman Champa (sebuah kerajaan Melayu di selatan Kemboja dan Vietnam, antara abad ke-2 sehingga 1832), Sriwijaya (650 hingga 1025M), ziarah diplomatik Laksamana Zheng He (Cheng Ho) ke Melaka sehingga penyebaran Islam oleh Wali Songo (kononnya dikatakan berasal dari China).

Menurut Prof Ismail, antara cabaran besar menggali sejarah Asia Tenggara, khususnya rumpun Melayu, ialah kesukaran menemukan catatan sejarah yang sahih dan terpelihara. Mujurlah China memiliki tradisi teguh dalam mencatatkan sejarah tamadunnya, termasuk hubungannya dengan negeri-negeri Laut Selatan (Nanyang) iaitu Asia Tenggara atau Nusantara.

Mungkin yang paling terkenal ialah catatan I-Tsing @ Yi Jing (635-713M), seorang sami yang berkelana untuk belajar agama Buddha di Sriwijaya (Palembang dan Jambi) beberapa kali singgah di Kiteh (Kedah). Beliau menuntut 11 tahun di sebuah universiti di Nalanda, India (673M). Dari catatannya mengenai rumpun Melayu yang dipanggil Kunlun, terpapar pertukaran ilmu termasuk bahasa dan budaya antara dua rumpun dan perdagangan.

Tahukah anda jong Cina (Bahasa Inggeris: junk) dikatakan berasal dari perahu Jawa yang dipanggil djong? Hal ini bermula sejak zaman Dinasti Han, kerajaan yang membentuk jati diri majoriti rumpun Cina. Mengapa?
(Gambar: Wikipedia)
Sejarah China mencatatkan bahawa pelaut rumpun Melayu menjadi perantara atau pedagang antara India dan China. Ini kerana hala tuju zaman bahari China sebagai ‘Kerajaan Tengah’ (Middle Kingdom) yang dikatakan memilih dasar sisih (isolationist).

Kehadiran kaum Kunlun (Melayu) di China bukan sahaja sebagai pedagang tetapi juga turut sebagai sami Buddha ke China. Malah Dr Md Salleh Yaapar dari Universiti Sains Malaysia, berpendapat bahawa seni bela diri atau ‘silat’ telah dibawa ke China kerana kehadiran pendekar Kunlun yang diupah sebagai pengawal para bangsawan dan saudagar China.

Pantun iaitu puisi asli orang Melayu mungkin terikut kerana puisi zaman Dinasti Tang (kurun ke-7M) dikatakan mempunyai sampiran ‘pembayang’ dan ‘maksud’. Tentulah kajian mendalam perlu dijalankan untuk mendedahkan fakta sebenar.

BABA PERANAKAN

Zaman China silam membuka pintu antarabangsanya terpapar pada ekspedisi armada Laksamana Zheng He (Cheng Ho atau nama Islamnya: Ma He, 1371-1433M) dari Dinasti Ming.

Armadanya telah menjelajah rantau Laut Selatan sehingga ke India dan Afrika, malah dikatakan ‘tersasar’ ke Amerika. Antara lain, ekspedisi Zheng He dikatakan antara faktor penyebaran kaum Cina, terutama kaum lelaki (kaum wanitanya dilarang belayar) yang kemudian mengahwini wanita setempat sehingga melahirkan kaum Baba Peranakan di Asia Tenggara, terutama di Melaka.

Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah juga mencatatkan kaitan bangsa Cina dengan rumpun Melayu. Antara lain, kisah perkahwinan Puteri China, Hang Li Po, dengan Sultan Mansur Syah, Raja Melaka tercatat dalam Sejarah Melayu tetapi anehnya dikatakan tidak pula tertera dalam catatan Dinasti Ming (1368-1644M)?

MERDEKA DAN SESUDAHNYA

Dalam zaman menuntut kemerdekaan, kaitan rumpun Melayu dengan kaum Cina di rantau ini menjadi lebih ketara dipolitikkan dek muslihat penjajah Barat yang “mengimport” buruh murah atau kontrak dari China dan India.

Misalnya, pemimpin pembebasan China daripada Dinasti Qing, Dr Sun Yat Sen (1866-1925) pernah bersuaka di rantau ini, terutama di Singapura. Dari rantau inilah, beliau dikatakan mendapatkan sokongan dana dan moral daripada masyarakat Cina seberang laut, terutama para peniaga yang berjaya.
Dr Sun Yat Sen (Gambar: Getty Images)
Kaum Cina di rantau ini, terutama Peranakan, turut berperanan penting dalam membangunkan pelbagai usaha yang mengaitkan orang Melayu dari segi persuratkhabaran (antaranya, akhbar Bintang Timor di Singapura), membangunkan hiburan seperti bangsawan sehinggalah perfileman.

Ketika Bahasa Melayu diserukan sebagai ‘bahasa penyatu’ untuk menentang penjajahan, Angkatan Sasterawan ’50 gagasan dan pimpinan Muhd Ariff Ahmad (@
Dr MAS, 1924-2016) mendapat sokongan daripada para intelek berpendidikan Cina, terutama dari Universiti Nanyang atau Nantah. Hal ini diceritakan panjang lebar oleh Prof Yang dalam mengenang persahabatannya dengan sasterawan Usman Awang yang bekerja di Utusan Melayu bersama Keris Mas, Asraf dan lain-lain (rujuk Usman Awang Yang Saya Kenali. DBP. 2002)

Bagaimanakah orang Cina ‘masuk’ masyarakat Melayu? Hal ini dilukiskan dalam novel Musafir karya Hassan Ali mengenai seorang mualaf bernama Leman, Dr Tan karya Mahmud Ahmad dan anak angkat Cina dalam Satu Bumi oleh Isa Kamari. Dalam ruangan terhad ini, mustahil dibentangkan perincian novel-novel ini tetapi cukuplah dapat dinyatakan pertembungan budaya Cina (pernah disebut ‘Tionghoa’) dan Melayu berlaku dengan pelbagai warna dan cabaran tetapi sering menghasilkan kesan harmoni.

Sasterawan Negara Malaysia, Usman Awang (1929-2001), mengungkapkan peri pentingnya kebersamaan dalam persahabatan antara kaum seperti dalam sajaknya, Anak Jiran Tionghoa (diterbitkan pada 1962):

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
Kilat matanya memanggil Iskandar
Siapa lalu siapa berkaca
Melihat keduanya bergurau senda


Anak Tionghua kelahirannya di sini
Di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
Ia bisa bercerita untuk siapa saja
Di sini tanahnya dan ibunya bersemadi


Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan
Hei, jangan berkelahi
Ah, anak-anak dengan caranya murni
Berkelahi untuk nanti bermain kembali


Lihat mereka tertawa riang
Ah Chew tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu


Bumi tercinta resapkan wahyumu
Jantung mereka ialah langitmu
Darah mereka adalah sungai
Nafas mereka adalah udaramu.


Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula hubungan antara ras atau kaum. Namun, pertembungan budaya Cina-Melayu terbukti menyuburkan amalan saling ‘mengambil’ bahasa, resipi juadah (nasi ayam dan nasi lemak) sehingga pakaian (fesyen cekak musang). Para tokoh kelam seperti Prof Yang sehingga Usman Awang dan MAS menjadi contoh kepada kita dalam membaja erti murni menentang stereotaip (tempelan negatif) demi mendukung keharmonian atas nama kemanusiaan.

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan