ALAM MELAYU: Kerjasama Serantau Semarakkan Jawi
Simposium Jawi Serantau @Temasek telah mencetuskan semacam harapan akan peri perlunya gerakan penyedaran tentang arif Tulisan Jawi untuk rumpun Melayu dan antarabangsa. Mohd Raman Daud menilai azam dan cabaran di sebaliknya.

(Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
Terpahat azam baharu untuk menyebarkan kesedaran, ilmu dan kegiatan tentang warisan Tulisan Jawi (TJ) agar tersebar luas di rantau Dunia Melayu dan antarabangsa.
Begitulah kesimpulan Hj Supki Hj Sidek (atau lebih dikenali sebagai Cikgu Supki), pengerusi Perikatan Tulisan Jawi Singapura (PTJS), yang menyimpulkan pandangan tiga pemakalah selepas kejayaan PTJS menganjurkan Simposium Jawi Serantau (SJS) @Temasek, pada pagi Sabtu 11 Januari lalu di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Ia dihadiri sekitar 100 peserta walaupun di sebalik suasana hujan lebat.
“Kami telah mendapat dorongan daripada tiga tokoh ini agar momentum atau lejangan simposium ini wajar diteruskan,” katanya.
GERAKAN SERANTAU BERMULA DI SINI
Tiga pemakalah SJS itu ialah Dr Suraiya Chapakiya dari Universiti Fatoni, selatan Thailand; Prof Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr Hj Mohd Shahrol Azmi dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam.
“Namun ini baru di peringkat gagasan saja. Giliran akan dipastikan berdasarkan kesanggupan, dana dan logistik,” kata Cikgu Supki, 78 tahun, yang telah mengasaskan Perikatan Tulisan Jawi Singapura (PTJS) yang rasmi disahkan Pejabat Pendaftaran Persatuan pada 2 Nov 2019.
Seyogia, banyak gerakan kerjasama serantau Dunia Melayu telah bermula di Singapura seperti Pertemuan Sasterawan Nusantara (1977), Pertemuan Guru Nusantara (1983), Pertemuan Wartawan Nusantara (1988) dan sebagainya.
Bak dihimbau Tetamu Kehormat Prof Madya Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar, ketua Jabatan Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU), bahawa usaha seperti SJS memang penting supaya generasi muda rumpun Melayu tidak lupa akan warisannya. TJ bersemi sejak kedatangan Islam di rantau ini pada abad ke-7 Masihi. Maka adalah “rugi” jika rumpun Melayu kehilangannya, tegas beliau.
TEKAD BERSAMA
Suasana TJ berbeza dari segi pelaksanaan dan cabaran di negara-negara rantau ini.
Menurut Dr Suraiya, Patani yang menyatukan lima wilayah Islam di selatan Thailand, berdepan dengan perjuangan menyerlahkan jati diri dan menjadi sebahagian daripada rakyat Thai yang majoritinya beragama Buddha.
“Berkat semangat perjuangan nenek moyang kami dan kehadiran pondok iaitu madrasah sejak Islam diperkenalkan di Patani, maka Tulisan Jawi masih terus bertahan.
“Umumnya keadaan kami daif (serba kekurangan) kerana masalah ekonomi dan suasana politik yang tidak mantap. Oleh itu, kami mengharapkan kerjasama serantau untuk sama-sama membantu pembangunan di Patani,” ujar Dr Suraiya, antara tokoh Patani yang sering terpapar dalam persidangan serantau. Namun inilah kali pertama beliau menjejakkan kakinya, bertemankan suaminya, di Singapura.
Malaysia pula lebih tersusun perkembangan TJ, kata Prof Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau turut menceritakan kegigihan kumpulan pakar jawi termasuk Prof Emeritus Dato’ Dr Hashim Musa (juga dari UPM) dan Almarhum Hj Hamdan Abdul Rahman (pernah memberikan ceramah webinar PTJS ketika pandemik COVID-19) dalam menyusun Pedoman TJ untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.
“Sistem jawi DBP berteraskan warisan Za’ba (Pendeta Dr Zainal Abidin Ahmad, 1895-1973). Ia telah disempurnakan sebaik mungkin untuk kegunaan di seluruh Malaysia. Namun ada juga pihak-pihak yang masih tegar dengan sistemnya sendiri,” ujar Dr Adi Yasran, yang juga pertama kali bersama keluarganya berada di Singapura.
Pemakalah Brunei pula, Dr Mohd Shahrol, telah menyusuri sejarah TJ dari zaman kegemilangan TJ antara abad ke-16 hingga 19 Masihi sehingga dijajah dan dipaksakan British agar menggunakan Tulisan Rumi (TR). Dalam zaman merdeka, TJ mekar di Brunei.
“Warisan Brunei dibangunkan semula oleh Sultan Omar Saifuddin atau Seri Begawan berpandangan jauh mengenai masa depan negaranya. Dasarnya diteruskan oleh puteranya, Sultan Hasanal Bolkiah,” kata Dr Mohd Shahrol, yang sudah mesra dengan Singapura.
Walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei menetapkan TJ yang digunakan di sekolah sehingga pada nama umum seperti jalan raya dan bangunan, namun terdapat pihak-pihak lain yang menggunakan sistemnya yang tersendiri, jelasnya.
ZAMAN DIGITAL
Sama ada TJ boleh popular atau tidak – hanya masa akan menentukan. Selain Nusantara sebagai ‘wadah’ utama rumpun Melayu mempromosikan TJ, terdapat banyak pusat Pengajian Melayu di seluruh dunia – dari Amerika Utara, Eropah, Rusia, Bangladesh sehingga China.
Tidak hairan, kian terdapat pelbagai aplikasi (apps) digital TJ yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bijak atau digunakan langsung di internet. Misalnya, Jawigram boleh digunakan oleh pengguna ruang sembang, Telegram (seperti Whatsapp) seperti di bawah ini:

Bagaimana dengan Singapura?
PTJS mempunyai beberapa orang yang arif TJ termasuk Cikgu Supki yang mengajar di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Dr Hirman Md Khamis (berijazah PhD dalam bidang TJ dari UPM) serta sebilangan penulis khat. Pensyarah Kanan NIE, Dr Sa’eda Buang, yang juga arif TJ merupakan ahli kehormat PTJS.
Apakah ini bermakna PTJS akan mewujudkan semacam skim seperti biasiswa untuk membolehkan ahlinya mendalami TJ dan diangkat sebagai ‘munsyi’ kelak?
Singapura pernah menjadi pusat percetakan TJ antara 1850 sehingga akhir 1930-an. Para usahawan dari Jawa pernah mempunyai syarikat percetakan mereka di sini dan dikatakan buku thurath (buku agama tulisan ulama ternama) turut dicetak di sini.
Oleh itu, menceburi bidang TJ merupakan gerakan Singapura untuk kembali menyerlahkan warisannya. Usah lupa surat perjanjian Raffles dan Sultan Hussein mengenai pembukaan nusa ini juga dicatatkan dalam TJ. Tahukah anda lencana sekolah terkenal, Raffles Institution, juga mempunyai TJ?

“Seri Paduka Orang Kaya Berpedang Mas Thomas Raffles, Sultan Alaudin Jauhar Al Alam Syah Johan Berdaulat.”
SJS telah menampilkan Muhammad Fauzi Azman, seorang tutor grafik di Maktab Reka Bentuk dan Kejuruteraan, Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mendalami TJ termasuk pahatan nesan. Makalahnya telah menarik perhatian para peserta SJS.
LAPORAN BERKAITAN:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.