Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Kepimpinan Pongah Jangan Diketengah

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Kepimpinan Pongah Jangan Diketengah
Buku ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu’ oleh Tenas Effendy. (Gambar: Facebook/Bukuku Press)
SINGAPURA: Dalam setiap masyarakat dan peradaban sering ada ketetapan dan anjuran apa yang diperlukan pada barisan kepimpinannya.

Termasuk juga apa larangan, pantangan dan tegahannya.

Pak Tenas Effendy, budayawan Melayu Riau yang tersohor telah banyak memerikan segi-segi kepimpinan.
Related article image
Pak Tenas Effendy. (Gambar: YouTube/Gahara)
Ini telah disusun dan dihuraikan beliau berdasarkan kepada pepatah dan petitih dan bidalan adat Melayu yang menyinggung tentang kepimpinan, sama ada yang baik sempurna, mahupun yang zalim bencana.

Buku beliau, 'Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu' (2000), mencirikan jenis-jenis kepimpinan.

JENIS PEMIMPIN

Terhimpun 194 jenis pemimpin, antara yang adil dan berguna, dengan yang jahat dan perosak. Banyak ungkapan yang cantik terhimpun berkenaan kepimpinan. Sekerat ungkapan ini baik dilantunkan:

“Berkuasa tidak memaksa
Berpengetahuan tidak membodohkan
Berpangkat tidak menghembat
Berani tidak melesi
Berakal tidak menjual
Berharta tidak aniaya
Tinggi tidak menimpa
Besar tidak melendan
Bertaji tidak memupur.”
Kurangkan Artikel
Sewaktu pemantapan proses pengislaman di rantau ini, antara karya awal dari tradisi Islam yang dirangkum dalam Bahasa Melayu adalah perihal ketatanegaraan dan kepimpinan.

Karya-karya seperti Tajussalatin dan Bustanul Salatin menjelaskan peri pentingnya keadaan, dengan kepimpinan yang memiliki sifat ihsan, menghormati ilmu dan amanah menjalankan tanggungjawab.
Related article image
Buku Taj Us-Salatin. (Gambar: Instagram/buku_pujangga)
Related article image
Buku Bustan Al-Salatin. (Gambar: Facebook/Taman Pustaka)
Begitu juga dalam pepatah dan petitih yang diperturunkan secara lisan oleh nenek moyang kita.

Dalam pandangan masyarakat kita, seorang pemimpin pertama-tama mesti beramanah dan adil. Mesti juga bersedia untuk sama-sama berbagi, berbicara dengan budi, bertindak tanpa berlagak.

Ini dapat terjamin, sekiranya akal ilmu membahu, adil saksama dalam amal dan kata, serta cekap dan tangkas bekerja meringankan yang susah dan merana.

Dalam masyarakat Melayu, sangat dibenci adalah sikap dan sifat yang pongah. Pongah bermaksud angkuh, sombong dan congkak, menganggap diri seseorang itu lebih baik daripada orang lain, dan dialah sahaja yang benar dan betul, bernama dan mulia.

Sifat pongah pastinya ada dalam masyarakat. Tetapi ia akan parah apabila pongah ini ada pada peribadi sang pemimpin.

Dalam budaya politik yang ghairah berkuasa sepanjang masa, pertimbangan moral dan etika pasti tersendat dan dikerat. Yang pongah diketengah. Malah tak ada yang sanggup menyanggahnya.

Kepimpinan yang lancang bermain kata-kata yang biadap dengan menuding dan menggugat, culas dengan makian dan kutukan, malah melolong dengan hinaan dan cemuhan terhadap mereka yang bukan dari kelompok bangsa dan umatnya.

Hari ini dengan gaya politik dirasuk dengan haluan kanan dan sikap ketuanan itu dan ini, bermain kata-kata untuk mengasah politik identiti, semakin menjadi-jadi.

Ucapan politik sering disorak berapi-api dengan sikap perkauman yang tidak ditutup-tutup lagi.

Mendabik bahawa kepercayaannya sahaja yang benar dan sah, sedangkan yang lain durja dan salah.

Tiada lagi sikap hormat kepada yang lain. Budi diketepikan, adab diranap, dan akhlak dipijak. Lagak politik dengan tuduhan sembrono dibuat dengan kadar yang bertalu demi memancing sokongan.

Atas nama kononnya menjaga maruah bangsa, yang tohor dan kotor dilaung masyhur, malah perasuah dan penyangak dijadikan juara, dikalungkan sebagai pembela bangsa. Tiada lagi segan silu untuk menutup kesalahan dan kecurangan. Pentas politik disidai dengan kebencian dan ketakutan.

Ini dibuat atas nama mempertahankan maruah bangsa dan kumpulannya, sampaikan yang zalim dinobat alim; yang korup haluba diangkat wira ketua; yang penunggang agama dan bangsa digendang satria maruah.

Inilah yang terjadi apabila masyarakat dipimpin oleh peribadi yang bercirikan sifat-sifat perosak dan penyangak.

Kalau dalam bahasa hariannya, disebut orang, pemimpin seperti itu jenisnya pekak dan congkak.

Semua sifat jahat, culas, dan tidak berguna ini boleh kita sebut sebagai kepimpinan pongah.

Sekiranya kita mencermati himpunan kata-kata hikmah dari Pak Tenas Effendy sebagaimana dalam buku yang disebut tadi, akan kita kesani beberapa jenis pemimpin yang boleh kita rangkumkan sebagai kepimpinan pongah.
Related article image
Buku ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu’ oleh Tenas Effendy. (Gambar: Facebook/Kafe Kona Baring)
9 SIFAT KEPIMPINAN

Dari himpunan Pak Tenas itu, dapat kita mencedok 9 sifat kepimpinan yang boleh kita rangkumkan sebagai kepimpinan pongah:

Pertama, pemimpin agul, yakni jenis yang suka melaga, memfitnah, merosakkan hubungan sesama rakyat.

“Lakunya buruk perangai tak betul
Masyarakat dihasung rakyat diagul
Hati berulat akal pun tumpul
Bencana datang fitnah pun timbul
Dijadikan pemimpin celaka yang timbul
Negeri binasa umat terpukul.”
Kurangkan Artikel
Kedua, jenis kepimpinan yang angkara. Jenis ini “melekat hina dan nista” dengan perangai buruknya.

Jenis ini “adat dilanggar, syarak dilanda, Undang dibuat sesuka hatinya.” Peribadi seperti ini mesti dijauhi kerana: “Dijadikan ikutan masuk neraka, dijadikan sabahat membawa hina.”

Namun, usah terperanjat, di saat selera berkuasa jadi menggila, jenis pemimpin beginilah diangkat di persada. Inilah politik bencana yang sudah berakar hari ini.

Ketiga, jenis pemimpin yang angkuh, kekata yang banyak seiras dengan pongah. Jenis begini membuat:

“Negeri rosak rakyat bergaduh
Orang berlebih ia menuduh
Orang mendapat ia mengeluh
Dijadikan pemimpin negeri kan rusuh
Mana yang jernih menjadi keruh
Dijadikan tua banyaklah musuh
Mana yang elok menjadi lusuh
Mana yang lurus kan kena kecoh
Mana yang menyanggah kan kena gocoh
Mana yang melawan kan kena pelupuh.”
Kurangkan Artikel
Pemimpin yang gila kuasa akan memastikan hura-hara, pecah belah, dan porak peranda dalam negeri sesama rakyat.

Inilah jenis keempat, yakni pemimpin gaduh yang mencari musuh, berbuat rusuh:

“Menjadi pemimpin berbuat gaduh
Ke sana menipu ke mari mengecoh
Ke laut merosak ke darat menggocoh
Janji dikubur aman dibunuh
Rakyat sengsara negeri pun lumpuh.”
Kurangkan Artikel
Kelima, jenis pemimpin galak yang perangainya “ke sana merasuk ke mari merosak”.

Ia “galak, lalim dan mekar sama serentak” dan “hati kejam laku tak cedak” sehingga “ke laut menganiaya ke darat menginjak”.

Keenam, kepimpinan gertak yang tingkah lakunya merosak dengan galak:

“Mulut besar perangai tak cedak
Terhadap yang lemah ia menginjak
Terhadap yang kuat ia mengelak
Tuah tak ada maruah tercampak
Tugas terlantar kerja tak nampak.”
Kurangkan Artikel
Ketujuh, jenis kepimpinan yang sifatnya menghasut. Orang tua-tua mengingatkan, “pemimpin hasut bila dipakai, habislah umat kena pegulai”.

Dalam iklim politik mendabik-dabik keistimewaan, kononnya menjaga maruah, lancang mulut menghasut bangsa dan kelompok lain sebagai pengkhianat dan penjahat.

Hasut mencarut menjadi modal politik sebegini:

“Menjadi pemimpin suka menghasut
Fikiran kotor hati berlumut
Kelakuan buruk sangat tak patut
Negeri yang aman menjadi kalut
Rakyat yang damai menjadi kusut.”
Kurangkan Artikel
Kelapan, jenis pemimpin kasar yang membuat negeri dan rakyat tersasar apabila berleluasa “tertibnya hilang, sopan dilanggar”. Keji perilaku disebut begini:

“Menjadi pemimpin lakunya kasar
Mulut kotor kepala besar
Duduk di majlis tegak melanggar
Duduk di majlis bagai di pasar
Orang benci rakyat tak gemar
Nama yang baik jadi tercemar
Dijadikan pemimpin celaka besar
Dijadikan tua tentu bertengkar
Dijadikan induk orang kan ingkar
Memimpin negeri tidak kan benar.”
Kurangkan Artikel
Kesembilan, pemimpin yang pongah pasti ada keperibadian yang menunjukkan ciri pemimpin zalim.

Jenis ini ganas dan kejam serta “aib malunya sudah tenggelam.” Ia jahat sanggup melaknat merembat.

Dia berkuasa bagaikan beraja di mata, bersultan di hati:

“Mulut busuk lidah buaya
Syarak dilanggar adat dilanda
Ke sana ke mari berbuat bencana
Negeri rosak rakyat merana
Dijadikan pemimpin negeri kan punah
Dijadikan tua memunah-ranah
Dijadikan induk memecah-belah
Dijadikan tiang membawa rebah
Dijadikan tudung menghimpit rumah
Dijadikan kawan ia melapah
Dijadikan sahabat ia menyalah
Dijadikan saudara ia mematah.”
Kurangkan Artikel
Semua ungkapan ini jangan dibaca kerana ia indah beralun. Sepatutnya dicari pesan hikmah yang terkandung di dalamnya.

Budaya politik yang lemah dengan asas moral dan etika akan menghancurkan keperibadian sesuatu masyarakat dan negara.

Sesebuah negeri tidak mungkin hancur kerana rakyatnya malas kerana kemalasan bukanlah sifat yang seragam dan merata seluas negeri.

Negeri hancur kerana pemimpinnya culas dan ganas. Inilah yang telah dititipkan pesan dan peringatan dari leluhur terdahulu sebagaimana ungkapan-ungkapan di atas terlafaz.

Ke depan, ilmu siasah yang perlu kita tekuni dan cermati, harus dapat menghuraikan mengapa jenis kepimpinan pongah semakin diketengah, malah bercambah.

Perkiraan sejarah, politik berkepentingan, ideologi yang melarat, dan kegusaran rakyat dalam suasana ekonomi semakin menghimpit --- ini semua harus diperhalusi dan dihuraikan tuntas.

Ini mengundang kita masuk ke dalam ranah membangunkan ilmu kritis yang melihat kepada jenis kepimpinan yang berkuasa, ataupun yang galak merebut kuasa sehingga sanggup menggunakan sentimen kaum dan agama demi mendapatkan sokongan.

CITA BENCANA ATAU CITA SEMPURNA

Cita bencana sekiranya ada pada kepimpinan, ini pastinya akan menyebabkan peradaban rosak, negeri terkoyak, moral-etika bangsa merabak dan kejahatan membengkak.

Begitulah yang Prof Syed Hussein Alatas, menyebut tentang cita bencana, yang harus kita waspada, menolak dan melawannya.
Related article image
Profesor Syed Hussein Alatas. (Gambar: Facebook/Gerakbudaya Bookshop – Penang)
Ia adalah lawanan dari nilai dan perbuatan yang disebut cita sempurna.

Huraian Prof Alatas tentang cita sempurna wajar dicermati:

“Manusia mesti hidup dalam lingkungan agama ataupun kepercayaan, budaya, waktu, tempat dan keadaan. Cita sempurna itu tugasnya adalah memandu perjalanan hidup manusia dan masyarakat, termasuk budayanya, agamanya, serta usaha untuk merubah keadaan.”

Cita sempurna ini bisa “menggerakkan diri seorang menentang kejadian ganas dan zalim.”

Dengan cita sempurna, ia mengarah kepada masyarakat yang sempurna, yang berteraskan keadilan, kesamarataan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

Keterbalikan cita sempurna adalah cita bencana. Ia adalah: “semua yang bertentangan daripada cita sempurna.”

Cita bencana dibawa oleh jenis kepimpinan yang Alatas sebut sebagai “jadong”. Ia adalah singkatan bagi perkataan jahat, bodoh dan sombong.

Bila pemimpin jenis jadong berkuasa, banyaklah penyelewengan berlaku, makan suap, salah tadbir, malah ganas menekan mana-mana pihak yang melawan. Tambah Alatas:

“Segala tindakan pencerobohan ke atas cita sempurna dalam sejarah dan di masa sekarang adalah akibat tindak-tanduk golongan yang berkuasa yang saya istilahkan di sini sebagai jadong…. Yang dimaksudkan dengan bodoh di sini bukanlah sifat tolol, tidak tahu menggunakan daya fikir atau tipu muslihat. Yang dimaksudkan dengan bodoh itu adalah tidak bijak mencapai matlamat jangka panjang sebagai punca pencapaian, tidak tahu mengendalikan perasaan dan tidak menolak bahkan menerima pengaruh cita bencana …. merekalah yang membawa keruntuhan masyarakat.”

Dalam membaca dan menilai sejarah, harus dipastikan kita mampu membezakan antara cita sempurna yang pernah wujud dan meneladani, daripada cita bencara yang membawa banyak kejahatan dan kesengsaraan.

Masyarakat yang pandai dan tegas dalam memilih kepimpinan dapat memastikan keadilan dan kemanusiaannya terjamin dan terbangun.

Ertinya masyarakat harus celik dengan kesedaran, nilai dan amalan politik yang adil, demokratik dan saksama.

Dari himpunan ungkapan tentang kepimpinan yang tempang serta cita bencana yang terlekat pada pemimpin yang “jadong”, harus pula mengingatkan kita bahawa kepimpinan yang pongah jangan dibiarkan ke tengah.

Kecelikan kita kepada pemimpin yang adil dan bercita sempurna, harus membuat kita pantas dan berani menggugah dan menyanggah kepimpinan jenis pongah.

Kepongahan ini, selari dengan pesan yang dipantunkan oleh Alatas:

“Mengganti pisang dengan kedondong
Lain dikunyah lain dirasa
Memanglah musang guru si jadong
Rosak amanah cita binasa

Laung suara tiada hentinya
Hendakkan bangsa gagah dan maju
Sungguhpun mesra semak ertinya
Jangan biasa salah teraju.”
Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita