Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Kau Tak Balik Kampung?

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Kau Tak Balik Kampung?

(Gambar: Instagram/Bernama)

SINGAPURA: Menjelang 1 Syawal, berlaku fenomena ‘balik kampung’ di Malaysia atau ‘mudik’ di Indonesia. Apakah Singapura yang tanpa kampung tetapi bertebaran warganya di dunia juga boleh mengalaminya?

♫ Ho-ho-ho, balik kampung
Ho-ho-ho, balik kampung
Ho-ho-ho, balik kampung
Hati girang


Terbayang wajah-wajah yang kusayang
Satu-satu tersemat di kalbu
Pasti terubat rindu di hati
Menyambut kepulanganku nanti.... ♫


Lagu ‘Balik Kampung’ (rangkap 9 dan akhir daripada 10 rangkap; terbitan 1984)
gubahan dan dendangan Sudirman Hj Arshad (1954-1992)

Lagu ‘Balik Kampung’ tidak menyebut sepatah kata pun tentang Hari Raya Puasa, tetapi ia sering diputarkan pada bulan Syawal di Malaysia.

Ia sarat makna mengenai daya tarik ibu kota Kuala Lumpur yang menjadi tempat mencari rezeki tetapi apabila menjelang atau tiba Hari Raya, maka ramai penghuninya kembali ke kampung untuk bercuti.
Gambar: daku-amat.blogspot.com
TAK BALIK KAMPUNG?

Ketika saya kecil dahulu di sekolah Melayu, sering timbul pertanyaan: “Kau tak balik kampung ke?”

Ia memang basa-basi tetapi ‘dalam’ ertinya’ -dalam tempoh gejolak mencapai kemerdekaan watan ini dalam akhir 1950-an dan 1960-an. Malah sehingga 1970-an, ramai orang Melayu di sini berasal dari Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa dan Pulau Bawean. Kalangan mereka dikatakan ‘balik kampung’ halaman mereka untuk beraya.

Antara mereka, ramai dilaporkan bertugas sebagai anggota berseragam (uniform) seperti polis. Maka itu, ketika menjelang Hari Raya, mereka pulang/balik kampung iaitu kembali ke Johor, Melaka dan sebagainya.

‘Balik kampung’ bukan sahaja berlaku pada orang Melayu tetapi juga orang Cina dan India yang masing-masing ada kampung halaman mereka di tanah leluhur masing-masing.

Mengapa? Jawapannya mudah.
Singapura memang berada dalam lautan rumpun Melayu. Namun sejak dibangunkan semula oleh British sejak 1819, melimpah kemasukan pendatang dari rantau ini dan luar rantau.

Maka itu, masyarakat majmuk Singapura pada peringkat awal masih terikat dengan tanah leluhur atau kampung halaman mereka. Namun generasi selanjutnya kelahiran Singapura dilaporkan kian kurang menunjukkan kecenderungan ini.
Para pemudik bersiap sedia menaiki bas yang disediakan oleh pemerintah daerah. (Gambar: Antara.com)
MUDIK

Di Indonesia, ‘balik kampung’ dipanggil ‘mudik’ (Kamus Besar Bahasa Indonesia online) iaitu tindakan pulang ke desa demi menyambut hari kebesaran.

Istilah mudik dikatakan berasal daripada Bahasa Jawa kuno, iaitu ‘udik’ iaitu berjalan ke hulu. Ia dapat disusur ke zaman Majapahit, empayar asal Jawa Timur. Ia berkembang sehingga hampir seluruh rantau (kepulauan) ini dalam abad ke-13 hingga 16M.

Namun ada pendapat bahawa ‘mudik’ merupakan singkatan Bahasa Jawa (peringkat rendah: ngoko) iaitu ‘mulih dhisik’ (mulih = balik, dhisik = dahulu) iaitu minta izin atau pamit untuk balik atau pulang ke desa pada hari kebesaran.

Difahamkan, ungkapan Mudik Lebaran (Lebaran juga istilah Jawa yang bermaksud Aidilfitri) mula popular sejak 1970-an dalam rangka menjalin silaturahim keluarga, kerabat, dan tetangga sehinggalah berkongsi atau berbagi rezeki hasil merantau kepada saudara di kampung.
(Gambar: AFP/SONNY TUMBELAKA)
SKALA DUNIA

Indonesia yang sejauh 3,000 km dari Sabang (di Aceh) ke Merauke (Papua) seluas 1,900 km persegi, memanglah berskala besar. Oleh itu, fenomena ‘mudik’ sering menimbulkan kesesakan hingga nahas di jalan atau lebuh raya. Begitu juga ‘balik kampung’ di Malaysia, sering dipaparkan oleh medianya dengan tragedi kemalangan jalan raya.

Bagaimana dengan negara besar yang lain?
Menurut laporan media dunia, ‘balik kampung’ terbesar ialah di China seluas 9.6 juta km persegi (lebih empat kali saiz Indonesia) dengan penduduk 1.4 bilion (pernah lama penduduknya dinilai terbesar di dunia tetapi ‘diatasi’ India sejak lima tahun lalu).

‘Mudik’ China dipanggil Chunyun sempena Festival Musim Bunga, Tahun Baharu Cina selama 40 hari. Januari baru berlalu dicatatkan pergerakan 9 bilion insannya. Mujurlah China memiliki sistem pengangkutan terbaik di dunia, termasuk kereta api canggih dengan kelajuan 500 km sejam!

Di Amerika Syarikat dengan 340 juta penduduk, ‘mudik’ berlaku kerana Hari Natal (Krismas) dan juga Thanksgiving Day (Hari Kesyukuran) pada minggu terakhir November.
Gambar hiasan.
TEBARAN WARGA SINGAPURA

Pada acara Rapat Umum Hari Kebangsaan sebelum pengundurannya, Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew (1923-2015), pernah mengatakan visinya bahawa rakyat Singapura kian berwarna-warni bak pelangi kerana pelbagai bangsa ada di sini, tidak terhad dari Asia sahaja.

Hasil sistem pendidikan yang kian dianggap antara terbaik di dunia, ramai anak Singapura diperlukan di pelbagai pelosok dunia. Sejak lewat 1980-an, para pemimpin utama Singapura yang mengadakan kunjungan diplomatik ke Amerika, Eropah dan sebagainya, sering bertemu dengan warga Singapura yang menjadi ‘ekspatriat’ di negara-negara tadi.

Pada sambutan Hari Raya, Hari Kebangsaan dan sebagainya, kehadiran mereka yang jauh dari Singapura, turut mendapat sorotan seluruh negara. Langkah ini amat simbolik iaitu memancarkan kehadiran ‘diaspora’ atau tebaran warga Singapura dan pautan dengan tanah air mereka.

Sebahagian mereka dikatakan masih sanggup ‘balik kampung’ dek rindu sangat akan juadah Singapura walaupun sudah tiada kampung lagi (mungkin yang ada sisanya di Pulau Ubin dan Buangkok).

RINDU NAK BALIK

Almarhum sasterawan watan, Mohamed Latif Mohamed (MLM, 1950-2022), menerusi sajak dan cerpennya, sering berpesan betapa perlunya aspek ‘kerinduan’ dipelihara Singapura.

Namun sayang, hujahnya, banyak landskap atau ciri rupa darat Singapura yang terhapus dek kemajuan pesat. Akibatnya apabila ‘balik kampung’, warga Singapura yang lama merantau jauh, merasa disambut dengan keasingan. Ramai yang berpatah hati dan kembali ke negara ‘angkat’ mereka.

Pengamatan tajam MLM dalam kumpulan cerpennya, Nostalgia Yang Hilang (2004: diterjemahkan ke Bahasa Inggeris – Lost Nostalgia, 2017), wajar difikirkan dengan serius lagi saksama.

Perwajahan silam Singapura memang sukar digarap lagi kecuali pada sisa bangunan sebelum Perang Dunia II yang sering melalui transformasi atau penjelmaan ‘baharu’ agar relevan. Tetapi apakah ini perlu? Lain pula dengan negara seperti Barat yang amat teguh memelihara warisannya walaupun bangunan usang.

Oleh itu, dalam rangka membangunkan ‘bangsa Singapura’, erti ‘balik kampung’ tidak semesti terkait dengan sambutan atau perayaan tertentu tetapi juga memelihara kesuasanaan (sekitaran, sekolah, juadah dan sebagainya) agar ingatan pada negara ini tidak terhapus begitu sahaja.

Dalam suasana teknologi canggih, perhubungan video pada masa nyata (real time) hanyalah sekadar menyentuh kaca layar (skrin) telefon.

Namun kehadiran saudara-mara dan sahabat handai atau jiran dekat yang terpisah masih lagi dirindu. Dan kerinduan inilah yang wajar disuburkan untuk Singapura melambai dan membelai pulang warganya agar ‘balik kampung’ atau ‘balik kota’.
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita