ALAM MELAYU: Jiwai Bahasa Dalam Doamu
Salah seorang penceramah di Program Latihan Kesedaran Dakwah anjuran Darul Arqam. (Gambar: Instagram/darularqamsg)
SINGAPURA: Dengan merosotnya penggunaan Bahasa Ibunda dalam kalangan orang Melayu, terutama generasi bawah 40 tahun, apakah kesannya terhadap bahasa rohani mereka? Adakah trend ini boleh diubah? Mohd Raman Daud mencerakin.
Sejak dua dekad ini kian ketara Bahasa Inggeris digunakan dalam hampir semua ‘ruang’ pertemuan orang Melayu, termasuk kelas agama di masjid.
Bahkan kelas agama Islam oleh badan swasta yang dikelolakan dalam Bahasa Inggeris dilaporkan mendapat sambutan luas.
Maka timbul soalan apakah sampai-sampai Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rohani (agama) juga kian melemah atau dilupakan anak muda Melayu?
Apakah ‘bahasa rohani’?
Cakap mudahnya: Ia adalah bahasa jiwa ketika berdoa, ungkapan perasaan, firasat (intuisi), dan pemahaman yang lebih dalam, sering kali di luar pemahaman logik atau material.
Ia juga boleh merujuk kepada aspek batin (spiritual) atau keagamaan. Bahasa rohani boleh mengambil Bahasa Ibunda atau bahasa lain asalkan ‘selesa’ bagi penggunanya.
PENGHAKISAN
Sejak 1980, Banci Penduduk Singapura menunjukkan kian dominan penggunaan Bahasa Inggeris.
Bancian 2020, orang Melayu membentuk 15 peratus rakyat tetapi hanya 9.2 peratus penduduk yang berbahasa Melayu iaitu merosot tiga peratus sejak tahun 2010.
Seorang ustaz muda memberitahu saya bahawa kian jelas bukti ramai generasi muda Melayu lebih senang berdoa dalam Bahasa Inggeris daripada bahasa jati dirinya. “Mereka tak faham nilai dalaman (intrinsik) Bahasa Melayu,” tambahnya.
Tanpa Dasar Dwibahasa (dilancarkan pada 1967), menurut sesetengah guru Bahasa Melayu, mungkin tiada kelas Bahasa Ibunda. Bahkan kian ketara kelas Bahasa Melayu perlu diajarkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris demi keselesaan pelajar Melayu. Turut bercambah tentulah keperluan tuisyen Bahasa Melayu – suatu yang jarang dibayangkan 30 tahun lalu kecuali untuk anak-anak daripada ibu bapa kacukan.
Trend ini genting difikirkan dengan mendalam terutama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura yang dibentuk pada 1993 dalam rangka utama iaitu melestari dan memajukan Bahasa Melayu.
Hal ini juga menuntut iltizam pihak-pihak berkepentingan terutama ibu bapa Melayu sendiri.
PERJUANGAN BAHASA
Dalam suasana dijajah kuasa-kuasa Barat, sering banyak negara yang bertekad besar untuk merdeka, telah menggunakan bahasa utama tempatan demi menyatukan rakyat dalam perjuangan kemerdekaan.
Di rantau ini, Bahasa Melayu sebagai lingua franca (bahasa pengantar umum) telah memainkan peranan tadi. Jati diri Melayu berasaskan pada amalan berbahasa dan berbudaya Melayu serta beragama Islam.
Masa berlalu. Sudah tiada lagi kalangan guru teladan seperti Cikgu Muhd Ariff Ahmad (1924-2016) dan Cikgu Masuri Salikun (Dr Masuri S.N., 1927-2005) dan wartawan mapan sehebat A Samad Ismail yang pernah menjadi ‘pejuang bahasa’ terutama menerusi tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (1952 di Singapura; 1954 di Seremban dan 1956 di Johor Bahru dan Singapura).
“Orang Melayu Terakhir” dalam golongan pejuang itu diberikan kepada almarhum Cikgu Suratman Markasan (1930-2024) yang pada hujung usianya sering sebak dan berwasiat agar dipelihara Bahasa Melayu.
Apakah masih ada ‘pejuang’ Bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu kini? Hal ini perlu huraian. Ia bak menepati peribahasa ‘patah tumbuh, hilang berganti’.
Seyogia Dr Haji Ya’acob bin Mohamed (1925-1989), mantan menteri negara kanan, pernah berpesan bahawa sering mesej teras peribahasa penting ini diabaikan.
Ada pendapat bahawa ‘pejuang’ memanglah insan yang tidak boleh dipupuk tetapi ‘dilahirkan’ kerana semangat dari dalam rohaninya. Tetapi apakah Bahasa Melayu tidak menggetarkan rohani?
KEKUATAN ROHANI
Antara kekuatan Bahasa Melayu ialah kelenturannya untuk mencipta istilah atau menyerap istilah asing termasuk dari pelbagai agama.
Sejak abad ke-7 Masihi, Islam berkembang di Semenanjung Arab. Para pedagang Arab dari Yaman, telah memperkenalkan Islam ke rantau Asia Tenggara.
Aksara Arab (iaitu Jawi) digunakan untuk Bahasa Melayu yang banyak menyerap istilah Arab Quran sehinggakan pemikir terkenal Islam yang langka, Prof Muhammad Naquib Al-‘Attas (1930 - ), menyatakan bahawa Bahasa Melayu turut ‘disucikan’ secara tidak langsung.
Malah ketika kuasa penjajah Barat mencapai kemuncaknya di rantau ini, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kerja sehingga bahasa rohani masih kukuh. Tetapi mengapa sekarang berubah, apatah lagi di negara seperti Singapura?
BAHASA JIWA BANGSA
Untuk bahasa dapat dikembangkan, hujah sarjana James T. Collins (1946 -), ia perlu memenuhi keperluan ekonomi dan perhubungan yang luas serta direkayasa (dirancang dan dibangunkan) agar terus relevan.
Demi menakat, Singapura menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerjanya walaupun berada di rantau berbahasa Melayu. Walaupun Bahasa Melayu lebih relevan sebagai penanda jati diri kepada penduduk kaum Melayu di sini, ia juga penting untuk komunikasi bagi yang bukan Melayu.
Oleh itu, amat penting bagi pihak berkepentingan untuk memastikan Bahasa Melayu kembali segar atau dibangkit semula dengan cara kreatif untuk menyedarkan anak muda. Sudah tiba masanya pelan induk ke arah ini perlu dibincangkan secara luas lewat seminar atau kongres. Ini jauh lebih penting daripada kerap mengadakan Bulan Bahasa Melayu atau Anugerah Persuratan
Pernahkah anda terdengar permutu (slogan atau cogan kata) ‘Bahasa Jiwa Bangsa’? Ia ciptaan Dr MAS yang memenangi peraduan ketika Kongres Bahasa III, 16-21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura. Ketika ia dilaungkan oleh Ramli Abdul Hadi, ketua penyiaran radio Melayu Malaya, ramai terpegun di dewan. Ia kemudian dijadikan tema lagu penyatu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.