ALAM MELAYU: Jauhar Kemerdekaan Malaysia
Jalur Gemilang gergasi dipasang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya. (Gambar: BERNAMA)
Pada awal abad ke-20 perbincangan, tema kemerdekaan mula mendapat perhatian. Makna merdeka diperluaskan. Antara tema yang dibicarakan ialah pentingnya kemerdekaan fikiran, agar anak bangsa tidak dibelenggu atau dipaksa oleh pemikiran asing.
Dalam majalah 'Lidah Teruna' (1920), Tekukur, nama pena seorang penulis, mengedepankan tiga jenis kemerdekaan yang harus wujud, yakni “kemerdekaan tunggal” yang merujuk kepada hak individu bersuara, sehingga seseorang itu menjaga kemerdekaan dirinya, agar kemerdekaan orang lain juga dapat terjamin.
Kedua ialah “kemerdekaan ramai” yang hak kolektif untuk bergerak dan berkumpul dalam persatuan-persatuan dalam masyarakat.
Ketiga ialah “kemerdekaan cermat atau kecermatan”yang merujuk kepada kebebasan berekonomi tanpa dikawal dari kuasa dan pemodal luar.
Dalam majalah 'Seruan Azhar' (1927), seorang penulis, Bakri membutirkan, selain kemerdekaan fizikal, yang melepaskan kita daripada jerat dan ikatan, perlu ada tiga lagi jenis keadilan.
Pertama, “merdeka fikiran” yang terangkum “merdeka agama dan surat khabar: iaitu seorang merdeka mengeluarkan fikiran di mana sahaja…” Kedua, “merdeka perhimpunan” di mana anak negeri yang bebas dari perintah asing. Mereka “membikin perhimpunan dengan segala suka hati.”
Ketiga, “merdeka belajar dan mengajar” yakni bangsa itu menentukan sendiri ilmu dan pendidikan yang diperlukannya dan bukan pula di bawah telunjuk asing.
Dalam suasana zaman yang mana idea kemerdekaan semakin dilaung dan diusung, cerdik pandai Melayu mula memberikan perhatian.
Antara cerdik pandai Melayu waktu itu yang berbicara tentang peri penting merdeka ialah Dato' Onn Ja’afar.
Ibu beliau ialah Hanim Rogayah, berasal dari Turki. Dari sebelah ibu, Dato’ Onn mempunyai pertalian darah dengan Prof Ungku Aziz dan Syed Ali Alatas, ayahanda kepada Syed Hussein Alatas.
Tokoh yang Berani Bersuara
Dato' Onn yang lahir dari kalangan keluarga yang memerintah terlihat lebih berani untuk menyuarakan pendapatnya di hadapan British mahupun pihak istana.
Suara lantang beliau bererti berani untuk mengkritik pihak istana, betapa pun pada waktu itu orang Melayu rata-rata taat kepada pembesar. Baginya hak kepada seseorang itu harus diberikan pada tempatnya.
Menentang Malayan Union
Dato' Onn ialah tokoh utama yang berdiri menentang penubuhan Malayan Union yang dipaksakan oleh British ke atas Malaya selepas Perang Dunia Kedua.
Cerdik pandai dan kelompok nasionalis Melayu seperti beliau menolak aturan politik baharu itu. Daripada gerakan penentangan inilah terbentuk United Malays National Organisation (UMNO). Dato' Onn menjadi Yang di-Pertua UMNO yang pertama (1946-1951).
Secara terang-terangan orang Melayu membantah keputusan Raja-Raja Melayu yang bersedia menggabungkan negeri masing-masing di bawah Malayan Union.
Dato' Onn, mengingatkan bukan Raja-Raja Melayu sahaja akan kehilangan kedaulatan masing-masing, tetapi yang lebih parah hak orang Melayu sebagai penduduk bumiputera akan terjejas.
Malah beliau pernah secara terbuka menyebut bahawa sistem kerajaan feudal yang bernaung di bawah British harus digantikan dengan sistem 'raja berperlembagaan'.
Penguasa British tidak menyangka bantahan besar-besaran daripada masyarakat Melayu.
Akhirnya, Malayan Union yang diisytiharkan pada 1 April 1946, terpaksa dibubarkan pada 1 Februari 1948. Ia digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Dari Hidup Melayu ke Malaya Merdeka
Dato' Onn ialah seorang tokoh yang kerjaya politiknya turun naik, disanjungi dan diketepikan, namun jasanya tetap dikenang.
Sokongan padu kepada beliau daripada orang Melayu berlangsung sewaktu beliau menggerakkan penentangan terhadap Malayan Union.
Beliau menyeru cogan kata “Hidup Melayu” dengan harapan Malayan Union akan tumbang kerana ia akan menafikan hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi.
Namun apabila beliau mengusulkan UMNO sebagai parti berbilang kaum, ia ditolak. Sejak itu, beliau tidak lagi mendapat sokongan besar.
Dato' Onn percaya bahawa untuk Malaya merdeka, kesatuan rakyat berbilang kaum di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu mestilah terbina. Hanya dengan itu kemerdekaan boleh terjamin.
Beliau beranggapan:
“Saya telah berfikir dengan sehabis-habisnya, iaitu sekiranya Tanah Melayu ini berkehendak menyaingi negeri-negeri yang berjiran dengannya….sekiranya Tanah Melayu berkehendak menyaingi negeri-negeri yang telah bebas itu maka hanyalah satu jalan terbuka kepada pandangan saya, iaitu menuntut kemerdekaan itu beramai-ramai, satu kaum dengan satu kaum menyokong dan bekerja sama-sama, lain jalan tidak ada.”
Beliau menyeru UMNO menjadi parti berbilang kaum. Anggota parti itu umumnya tidak bersetuju sehingga Dato' Onn keluar parti dan menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP).
Sejak itu, sokongan kepada Dato' Onn semakin malap. Parti yang dipimpinnya malap dan beliau kalah dalam pertandingan pilihan raya. Hanya pada pertandingan kerusi Kuala Terengganu, beliau terpilih.
Semasa Pilihan Raya Parlimen 1959, beliau memenangi kerusi Kuala Terengganu di atas tiket Parti Negara.
Dalam Kerajaan Persekutuan beliau pernah menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri. Beliau mengusahakan penubuhan Rural Industrial Development Authority (RIDA), yang akhirnya menjadi MARA (Majlis Amanah Rakyat) iaitu sebuah agensi yang membantu usaha menaikkan taraf pencapaian bumiputera dalam bidang pendidikan dan perniagaan.
Dato' Onn umumnya mengambil pendirian politik yang sederhana. Betapa kuat melawan Malayan Union, beliau mengambil sikap berhati-hati dalam usaha mencapai kemerdekaan. Ini bukan perkara mudah, jauh lagi tergopoh-gopoh. Pernah beliau tulis dalam Straits Times sebegini:
“To be independent is not merely to be free from the rule by any nation or power. A country must first be able to stand on its own feet to do things by itself and manage its own affairs in an orderly and efficient manner.”
Walaupun, beliau cenderung untuk menjalankan gabungan politik berbilang kaum, namun itu bukan bererti bahawa hak Melayu dikesampingkan. Malah beliau menegaskan: “Saya mahu Melayu itu dijadikan teras daripada pohon kayu negara Malaya, bukan kulitnya.”
Liku-Liku Kepimpinan
Walaupun seorang bangsawan, hubungan beliau dengan istana pernah bergeseran. Beliau pernah “dibuang negeri” ke Singapura selama dua tahun Beliau ditamatkan perkhidmatan dalam kerajaan Johor atas perintah Sultan Ibrahim pada 1920. Pada 1922, beliau bertugas kembali dalam kerajaan Johor.
Pendapat kritis beliau dituangkan dalam penulisan di akhbar. Contohnya nasib para anggota tentera dalam Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang terabai dilaporkannya dalam Sunday Mirror. Mereka dipaksa bekerja di ladang milik Sultan, di padang lumba kuda dengan kebajikan mereka tidak diperhatikan.
Inilah sisi berani beliau, selain mengecam dasar British yang menganaktirikan pegawai-pegawai Melayu yang berkhidmat dalam bidang pentadbiran. Beliau sendiri berdepan dengan diskriminasi seperti itu.
Maka sekali lagi pada 1927 beliau dipecat daripada perkhidmatannya. Beliau membawa keluarganya untuk tinggal di Siglap, Singapura dengan segala kemudahan yang terbatas. Beliau menetap di Singapura sehingga tahun 1936.
Di Singapura beliau menjadi wartawan untuk menyara hidup. Tulisan kritis beliau, khasnya berkenaan hal ehwal negeri Johor malah mendapat sambutan dalam kalangan anak negeri itu. Dari Singapura, beliau memimpin surat khabar Warta Malaya dan kemudian Lembaga Malaya.
Gelanggang penulisan dalam akhbarlah yang membuat Dato' Onn semakin menonjol sebagai pemimpin. Beliau mengkritik dasar-dasar British yang berat sebelah sehingga tidak mahu menaik taraf pendidikan Melayu, yang hanya ditawarkan di peringkat rendah.
Bahasa Inggeris malah tidak diajar di sekolah-sekolah Melayu dan ini membuat lulusan sekolah Melayu tidak berpeluang mendapat pekerjaan dalam bidang ekonomi pemerintahan.
Kembali Ke Johor
Namun usaha beliau untuk menerbitkan buku 'Selamat Johor' pada 1935 mendapat perhatian Istana Johor. Buku tersebut ditulis beliau sempena 40 tahun Sultan Ibrahim naik takhta. Buku ini mendapat sambutan luar biasa dan dua kali dicetak ulang. Buku ini ditulis beliau dengan haparan ia “menjadi suatu peringatan kepada orang Melayu di belakang hari kelak dan akan menggalak dan merangsangkan mereka supaya sentiasa dan selama-lamanya mendirikan nama Johor".
Pada 1947, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang ketujuh. Pada 1950, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar agar dapat menumpukan kegiatan politiknya dalam UMNO.
Pilih Perjuangan Untuk Bangsa
Dato' Onn menentang Malayan Union kerana maruah dan kepentingan orang Melayu tergugat. Melayu mesti bersatu, sehingga beliau menyeru:
“Marilah kita tunjukkan kepada dunia iaitu roh dan semangat datuk nenek kita itu masih ada lagi dengan kita. Marilah kita tunjukkan iaitu kita masih boleh mengangkat kepada kita dan menatap dunia sama seperti orang yang lurus dan kuat hatinya. Marilah kita tunjukkan iaitu seberat-berat paluan, boleh kita pertahankan dengan tersenyum dan kita hidup dengan lebih selesa daripada dahulu. Marilah kita tunjukkan iaitu dengan bersatu kita dapat menzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan subur, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar di sisi bangsa-bangsa lain…”
Dalam buku, 'Onn Ja’afar Pejuang Terbilang' (2007), disimpulkan peranan beliau:
“Bagi Onn Ja’afar sendiri, hanya akhbar Melayu yang bebas daripada mana-mana pengaruh dan kepentingan luar, akan dapat melihat dan mengutamakan kepentingan orang Melayu sepenuhnya. Onn Ja’afar berpendapat masalah orang Melayu ketika itu terlalu banyak termasuklah soal siasah, pentadbiran, pendidikan, ekonomi serta persaingan khususnya dengan kaum Cina. Kesemua masalah itu perlu diatasi secara bersungguh-sungguh. Onn Ja’afar mula dikenali sebagai pembawa pembaharuan, penggerak dan pemikir bangsa kerana saranan dan faham pemikirannya yang cuba dibangunkan untuk memajukan orang Melayu agar setanding dengan bangsa lain.”
Dalam dunia percaturan politik, Dato' Onn mungkin tidak menunjukkan kecemerlangan, namun idea dan tindakan beliau disegani baik penyokong mahupun penentangnya.
Yang penting, seruan kemerdekaan beliau disahut oleh orang Melayu, dan juga penduduk lain daripada pelbagai latar etnik dan budaya.
Apabila A. Samad Ismail menyimpulkan tentang gelora seruan Merdeka, maka pasti ramai yang akan mengenang sumbangan dan perjuangan Dato' Onn:
“Slogan Merdeka telah menjadi teriakan umum rakyat untuk melanjutkan suara merela dan mencari pimpinan untuk membimbing mereka ke arah cita-cita sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Gelombang inilah yang menghancurkan segala rintangan yang terletak di hadapan penubuhan gabungan (UMNO) itu, yang meleburkan segala soal remeh-temeh dan sengketa sesama sendiri yang timbul…”
Itulah bakti perjuangan Dato' Onn. Sesungguhnya jasa beliau sangat besar, walau sering disebut-sebut tetapi ranjau perjuangan beliau jarang dibelek lagi.
Mengenangkan kita kepada puisi Usman Awang yang berjudul 'Sajak Dato' Onn' yang antara baitnya:
(malam aku di muka radio)
hujan menerjah dinding jendela
aku tunduk mengingatmu.
Aku tau sedu di Tambak Johor
suaramu bicara di ruang istana
tegas tanjak menyosong angin
keris bersilang bendera kuning.
Tapi siapa akan lupa, tanyalah
anak-anak yang sekarang jadi dewasa
gemparnya MacMichael di bumi bertuah
menyebabkan namamu harum
di lembah.”
Hari ini, 31 Ogos 2025, Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-68 dengan tema “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.” Itulah juga harapan, panjangan dan kandungan pada makna Kemerdekaan.
MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.