Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Israk Mikraj pupuk nilai kebersamaan, kesyukuran dan keprihatinan sesama insan

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Israk Mikraj pupuk nilai kebersamaan, kesyukuran dan keprihatinan sesama insan

Pemandangan di Masjid Nabawi di Madinah. (Gambar: Pixabay)

SINGAPURA: Setiap 27 Rejab dalam takwim Hijriah, umat Islam akan memperingati peristiwa Israk Mikraj.

Ia sering diceritakan sebagai perjalanan luar biasa, namun lebih daripada itu, Israk Mikraj boleh ditakrif sebagai sebuah naratif besar tentang perjalanan, ujian dan kepulangan - tema yang sangat dekat dengan pengalaman manusia sepanjang zaman.
Israk biasanya difahami sebagai perjalanan malam dari Makkah ke Baitulmakdis. Mikraj pula merujuk kepada pendakian menjangkaui langit hingga ke Sidratul Muntaha, iaitu satu gambaran tentang batas tertinggi pengalaman manusia. Dalam bahasa simbolik, Sidratul Muntaha melambangkan sempadan antara apa yang mampu dicapai oleh manusia dan apa yang berada di luar jangkauan pemahaman biasa.

Perkataan muntaha sendiri bermaksud “penghujung” atau “batas akhir”. Dalam konteks penceritaan, ia menyerupai saat kemuncak dalam perjalanan seseorang ketika pencarian yang panjang akhirnya menemui makna.

Sarjana seperti Haidar Bagir menyifatkan Israk Mikraj sebagai satu titik penting dalam perjalanan kenabian Nabi Muhammad, bukan sekadar peristiwa luar biasa tetapi sebagai penguatan batiniah selepas tempoh kehidupan yang penuh ujian.
Related article image
Encik Haidar Bagir. (Gambar: Wikipedia/Cak Nur society/CC BY 3.0)
Dalam kerangka ini, Israk Mikraj menyerupai struktur cerita epik: penderitaan mendahului pencerahan, dan kesukaran membuka jalan kepada kesedaran yang lebih mendalam.

Pulang sebagai Tanggungjawab

Pemikir Muhammad Iqbal mengemukakan satu persoalan penting: jika seseorang telah mencapai pengalaman rohani setinggi itu, mengapa perlu kembali ke dunia? Bagi Iqbal, di sinilah terletaknya perbezaan besar antara seorang manusia biasa dan seorang nabi. Seorang manusia biasa mungkin memilih pengasingan, tetapi seorang nabi kembali ke masyarakat untuk bertindak dan memikul tanggungjawabnya.
Related article image
Pemikir Muhammad Iqbal. (Gambar: Wikipedia)
Dalam karyanya "The Reconstruction of Religious Thought In Islam", Iqbal menyifatkan kepulangan itu sebagai tindakan kreatif - iaitu kembali untuk membentuk sejarah dan memperkenalkan nilai-nilai baharu. Pulang bukan tanda kegagalan, tetapi tanda amanah.
Related article image
Buku "The Reconstruction of Religious Thought In Islam". (Gambar: Facebook/Gufhtugu)
Tema “pulang” ini sangat kerap dilihat dalam kesusasteraan dunia. Dari "Odyssey" karya Homer hingga ke hikayat Melayu, perjalanan hanya memperoleh makna apabila sesuatu watak kembali kepada masyarakatnya.

Israk Mikraj sebagai Naratif Terbuka

Sarjana seperti Quraish Shihab melihat Israk Mikraj sebagai peristiwa yang kaya dengan makna dan tafsiran. Dalam konteks budaya, ia berfungsi sebagai “teks terbuka” - ditafsirkan, diceritakan semula dan dihidupkan melalui pelbagai bentuk tradisi.
Related article image
Dr Quraish Shihab, seorang tokoh Islam, yang juga mantan Menteri Agama Republik Indonesia. (Gambar: Facebook/Muhammad Quraish Shihab)
Sastrawan Indonesia, Ali Audah menegaskan bahawa peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar ritual tahunan, tetapi usaha mencari hikmah dan kesegaran rohani. Dalam dunia yang sangat menekankan kebendaan dan logik semata-mata, kisah seperti ini mengajak manusia membuka minda lebih luas.
Related article image
Sastrawan Indonesia, Ali Audah. (Gambar: Wikimedia)
Sepanjang sejarah, Israk Mikraj juga menjadi ujian kepada kesediaan manusia menerima sesuatu yang melampaui kebiasaan. Ia mengingatkan kita bahawa tidak semua yang bermakna mesti mudah dijelaskan.

Budaya di Nusantara

Di Nusantara, Israk Mikraj diraikan melalui pelbagai bentuk budaya - cerita lisan, kenduri, perarakan simbolik, puisi dan seni persembahan. Tradisi seperti perarakan Buraq di Jogjakarta, Rajaban di Cirebon, dan Tarak Maapam di Sumatra Selatan menunjukkan bagaimana satu naratif diterjemahkan ke dalam bahasa dan budaya tempatan.
Upacara-upacara ini bukan sekadar perayaan, tetapi cara masyarakat memupuk nilai kebersamaan, kesyukuran dan kesedaran tentang perjalanan hidup yang menjangkaui kepentingan diri.

Perjalanan Dalam Diri Sendiri

Dalam dunia moden yang serba pantas, Israk Mikraj sering ditafsirkan sebagai perjalanan ke dalam diri sendiri. Tafsiran ini dipaparkan secara puitis oleh Dadan Nugraha dalam puisinya “Ketika Langit Tidak Lagi di Atas”. Puisi tersebut mengajak pembaca melihat bahawa mendekati Tuhan tidak semestinya bererti menjauhkan diri dari dunia.

Sebaliknya, semakin seseorang mengenali dirinya, semakin dia peka terhadap orang lain. Dari keheningan lahir empati, dan dari kesedaran lahir tanggungjawab. Justeru, selepas perjalanan yang tinggi, arahnya adalah kembali - iaitu kembali ke realiti, tetapi dengan pandangan dan perspektif yang telah berubah.

Puisi ini merapatkan jurang antara kisah lama dan kegelisahan manusia moden. Ia mengajak kita menghayati Israk Mikraj bukan sebagai kisah “melayang”, tetapi sebagai pelajaran tentang berpijak di bumi nyata; bukan tentang meninggalkan duniawi, tetapi tentang kembali kepada fitrahnya dengan kesedaran yang lebih mendalam.
Related article image
Israk Mikraj sering ditafsirkan sebagai perjalanan ke dalam diri sendiri. (Gambar: Canva)
Dalam bidang kesusasteraan pula, Israk Mikraj akhirnya menjadi kisah tentang kemanusiaan - tentang empati, tanggungjawab, dan keberanian untuk hidup bersama manusia lain dengan mata dan hati yang lebih terbuka.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita