Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Indah Budi Mesra Sapaan

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Indah Budi Mesra Sapaan

Budaya bermaaf-maafan antara anak kecil dengan mereka yang lebih dewasa semasa Hari Raya. (Gambar hiasan: iStock)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 Sep 2025 09:25PM
SINGAPURA: Selain kurang fasih berbahasa Melayu, generasi muda Melayu dikatakan lupa adab ketika menyapa. Mohd Raman Daud menyusur keindahan sapaan dalam keluarga, masyarakat sehingga jenjang pembesar nusa.

Memang terasa janggal apabila kita disapa dengan ‘gelaran’ atau ‘pangkat’ yang tidak kena tempatnya. Begitulah yang dialami oleh sahabat saya.

“Anak-anak saudara aku lebih selesa berbahasa Inggeris. Maka itu, semua pakcik mereka dipanggil ‘uncle’ dan ibu saudara ‘auntie’. Mana pergi panggilan seperti ‘pak long’, ‘mak long’ sampai ‘pak ‘busu’ atau ‘mak busu’?” cerita sahabat yang sudah seperti saudara kepada saya. Maklumlah kami berkawan sudah setengah abad.

Bukan itu sahaja, orang muda kini jarang menggunakan kata ganti nama diri yang lebih sopan seperti ‘awak’, ‘anda’ dan ‘saudara/saudari’ tetapi lebih gemar menggunakan kata ganti nama seperti ‘gua’ atau ‘lu’ (dari bahasa Cina Peranakan), ‘bro’ atau ‘sis’ (Inggeris) dan ‘bib/beb’ (mungkin dari bahasa Arab).
Related article image
Gambar hiasan keluarga Melayu. (Gambar: iStock)
JENJANG PANGGILAN

Dalam aspek memberi sambutan, salam sehingga sapaan (beramah mesra), memang sukar dicari buku rujukan mengenainya. Mungkin boleh juga dirujuk usaha Perpustakaan Republik Indonesia (2012) yang menghasilkan ‘Daftar Nama Marga/Fam, Gelar Adat Dan Gelar Kebangsawanan Di Indonesia’.

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016), dalam rumpun Melayu, terutama masyarakat Melayu-Johor-Riau yang Singapura turut terserap, memang sudah lama ada adab (tatasusila) atau cara urutan menyapa dalam keluarga.

Yang pertama sulung dipanggil ‘long’ (maka jadilah: pak long atau mak long), diikuti dengan yang kedua disapa ‘tengah’ (pak ngah/mak ngah), alang atau lang; pandak/andak; putih/utih; muda/uda; anjang; hitam/itam/tam; cik (boleh lebih daripada seorang) dan akhir bongsu (busu/usu).

Gelaran dalam keluarga seolah-olah meletakkan ‘tanggungjawab’ yang tersusun iaitu yang tua ‘dihormati’ atau ‘didahulukan’ dan yang muda ‘disayangi’. Lazimnya selepas bapa (ketua keluarga) dan ibu sudah tiada, yang sulung diberikan hak untuk menentukan bicara ehwal keluarga.

Hanyalah jika terdapat ‘kekurangan’ pada yang sulung atau anak-anak yang lebih tua, maka bapa atau ibu menetapkan ‘anak’ yang mana sesuai menjadi jurubicara atau ketua, misalnya ‘ngah’ lebih pintar daripada ‘long’, maka ‘ngah’ menjadi tunggak adik-beradiknya.

Apabila sudah beranak pinak, gelaran tadi kekal sebagai jenjang gelaran atau panggilan. Saya teringat pak busu kepada isteri saya yang aktif di sebuah masjid. Gelaran ‘pak busu’nya menjadi sapaan luas sehingga ke hari ini kerana beliau merupakan yang ‘dituakan’ di masjidnya (di kawasan Pasir Panjang).

Umumnya dalam keluarga, adik-beradik lelaki yang tua dipanggil ‘abang’, dan yang perempuan dipanggil ‘kakak’. Yang muda dipanggil ’adik’ sahaja.

Sapaan ‘pakcik’ untuk bapa saudara dan ‘makcik’ untuk ibu saudara memanglah lazim. Namun ia juga digunakan dalam hubungan antara anak muda dengan orang-orang yang sebaya dengan ibu bapa mereka walaupun tiada ikatan darah dan perkahwinan (semenda). Misalnya, ayat berikut:

Hasan memang cukup kenal Makcik (ada kala dieja Mak Cik) Bibah yang pernah berjiran dengan keluarganya di Kampung Liput, Holland Road pada akhir 1960-an sehingga 1970-an.

Dalam masyarakat Jawa, pakcik atau paman diberi dua gelaran – wak (jika lebih tua daripada ibu bapanya) atau ‘lek’ (jika lebih muda daripada ibu bapanya).
Related article image
(Gambar: Unsplash)
SUSUNAN JALUR KELUARGA

Dalam keluarga besar (berangkai), ada jenjang zuriat (dari tua atau disebut leluhur sehingga keturunan yang termuda) yang perlu difahami seperti berikut:

• Leluhur pertama: panggilan – datuk buyut/moyang

• Leluhur kedua: datuk/nenek

• Leluhur ketiga: orang tua (iaitu ibu bapa); bapa saudara dan ibu saudara; mentua (ibu bapa sebelah suami/isteri); ipar duai/biras dan besan

• Leluhur keempat (kini) kakak abang; adik (kandung/sebapa/seibu atau tiri)

• Keturunan pertama: anak (lelaki/perempuan), anak tiri, menantu dan anak saudara

• Keturunan kedua: cucu

• Keturunan ketiga: cicit

• Keturunan keempat: piut/canggah

• Keturunan kelima: anggas

Orang Melayu memanggil ‘bapa’ sebagai ‘ayah’, ‘abah’, ‘bapak’, ‘pak’, ‘papa’ dan adakalanya ‘abi’ (macam orang Arab), manakala ibu pula disapa ‘ibu, ‘mak’, ‘bonda’ sehingga ‘ummi’ (macam Arab).

Namun kini, “mummy” dan “daddy” digunakan untuk ibu bapa Melayu yang agak kebarat-baratan.

Istilah anggota keluarga dalam Bahasa Melayu mungkin tidak seluas bahasa lain seperti Arab atau Mandarin. Ini memandangkan pada umumnya rumpun Melayu, mungkin kecuali beberapa suku kaum termasuk Batak dan Minahasa, jarang menggunakan sistem ‘marga’ (clanship).

Sering kali orang Melayu di Singapura menggunakan gelaran rasmi ‘Encik’ untuk lelaki dan ‘Cik’ untuk wanita. Sebelum ini, gelaran lazim ialah ‘tuan’ yang kian digunakan mutakhir ini. Namun menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016): “Gelaran ‘tuan’ pernah dikritik oleh pengarang besar, Cikgu Harun Mohd Amin atau Pak Har kerana beliau berasa ia dekat dengan kata ‘tuhan’ yang digugurkan huruf ‘h’. Lagipun katanya, perkataan ini macam bersifat bangsawan atau bermartabat."
Related article image
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)

Sewaktu Pendudukan Jepun dalam rangka Perang Dunia Kedua (1942-1945) di Asia Tenggara, terdapat kekecohan untuk memanggil ‘tuan’ dan ‘mem’ kepada pembesar Jepun yang memerintah Singapura.

Menurut Dr MAS, budayawan Cikgu Mahmud Ahmad (1906-1976) telah mengusulkan istilah ‘tuan’ untuk pembesar Jepun dan untuk isterinya pula, ‘puan’. Gelaran ‘puan dan tuan’ terus dipakai hingga kini seiras dengan istilah Inggeris, ‘ladies and gentlemen’.

RAJA DAN ULAMA

Di Singapura, pernah ada ‘kesultanan’. Orang yang masih memiliki garis (darah) keturunan sultan menempati lapisan atau disebut sebagai bangsawan dengan gelaran ‘tengku’ dan antara yang terkenal ialah Tengku Seri Indra bin Tengku Ismail, seorang konsultan (perunding cara) urus niaga.

Mereka yang bergelar ‘raden’ (asal Jawa) sehingga ‘masagos’ (asal Sumatra) membawa makna berdarah bangsawan (keluarga diraja).

‘Wan’ adalah gelaran bangsawan orang Melayu yang mempunyai susur keturunan Arab. Sementara ‘megat’ pula bagi orang yang bapanya daripada orang kebanyakan tetapi ibu berdarah bangsawan. Gelaran ‘nik’ pula untuk orang Melayu dikatakan yang mempunyai keturunan Arab bangsawan di pihak ibunya (Sharifah) atau gelaran seorang tokoh agama.

Peranan orang Arab memang menonjol di Singapura dan rantau ini dari segi dakwah Islam, urus niaga dan pemilikan hartanah pada suatu ketika dahulu.

Keturunan Nabi Muhammad SAW dari Hadramaut memiliki nama kabilah (marga) dengan menampilkan gelaran ‘syed’ (lelaki) dan ‘sharifah’ (wanita). Para alim dalam kalangan syed digelar ‘habib’ (lelaki) dan jamak (plural) ialah habaib. Ada juga ulama Arab dipanggil ‘Alim’ atau ‘Mualim’ sehingga ‘Syeikh’.

Golongan guru agama Islam pernah lama dahulu dipanggil ‘lebai’ tetapi kemudian dipanggil ‘ustaz’ (lelaki) dan ‘ustazah’ (wanita) dan jamaknya ialah asatizah (maka JANGAN ditulis ‘asatizah-asatizah’ atau ‘para’ asatizah).

Related article image
Para asatizah di Singapura. (Gambar: Pergas)

SEKALI BAH...

Konsep sapaan Melayu masih perlu dikaji kerana cukup luas sehingga dikatakan bersifat ‘neutral’ jantina. Misalnya ‘tuan’ pernah digunakan untuk lelaki dan wanita. Jika tidak silap, pada lagu P Ramlee, misalnya, terdapat seni kata “tuan puteri, muda jauhari...”

Sapaan berlaku secara bertahap-tahap kerana pengaruh yang dialami oleh masyarakat, ujar Dr MAS. Namun perubahan ada kalanya juga boleh berlaku secara besar-besaran dan mendadak bak diperikan dalam peribahasa “Sekali bah, sekali pantai berubah”. Ia dipercayai asal Aceh kerana negeri ini dikatakan sudah berkurun-kurun dilanda gempa besar di Lautan Hindi yang mencetuskan tsunami atau ombak besar.

Apakah dalam zaman kecerdasan buatan (AI) ini, akan berlaku perubahan besar sehingga menjejas adab sapaan?

MENGENAI PENULIS

Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita