Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Impian Batik Dalam Busana

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Impian Batik Dalam Busana

(Dari kiri) Presiden Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Lee Hsien Loong mengenakan kemeja bercorak batik. (Gambar: Facebook/Tharman Shanmugaratnam; Lawrence Wong; Lee Hsien Loong)

SINGAPURA: Bulan Ogos menyaksikan tiga negara di rantau ini menyambut hari kemerdekaan - Singapura (9hb), Indonesia (17hb) dan Malaysia (31hb) dengan batik menjadi pakaian rasmi. Mohd Raman Daud menyusuri likuan batik sebagai busana rantau.

Mengapa tidak pakai baju batik sahaja?

Saya masih ingat soalan ini ditimbulkan beberapa tahun selepas Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) ditubuhkan (1993).

Lazimnya kalangan ahli jawatankuasa MBMS sering berbaju Melayu dan wanitanya berbaju kurung khusus untuk acara perasmian Bulan Bahasa atau Anugerah Persuratan.

Related article image
Encik Sarkasi bin Said yang dikenali sebagai pelopor batik nusa. (Gambar: Raman Daud)

Saranan itu mendapat sambutan. Spontan sahaja nama Sarkasi bin Said (@ Tzee, 1940-2021) menjadi sebutan.

Hasilnya: sejumlah baju batik dengan sentuhan tersendirinya termasuk yang dipakai dan disimpan cermat oleh Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016). Aduhai, batik simpanan saya sudah dimakan cendawan dan tidak dapat diselamatkan.

Related article image
Sentuhan kreatif Bapa Batik Singapura, Allahyarham Sarkasi Said. (Gambar: Mediacorp)

Sejak 1970-an, Encik Sarkasi sudah dikenali sebagai pelopor batik nusa (Baron of Batik) kerana merintis olahan abstrak batik dengan warna mencabar lagi menonjol menerusi kaedah tersendirinya.

Pancaran alam, termasuk anggerik, terpapar pada karyanya – lama sebelum anggerik Vanda Miss Joaquim dirasmikan sebagai bunga negara pada 1981.

BUSANA RANTAU

Batik telah menjadi busana untuk harian atau majlis rasmi di rantau Asia Tenggara.

Kalangan sejarawan sepakat bahawa batik berasal dari Jawa yang kian popular sejak zaman kerajaan Majapahit (1293-1527M).

Namun kaedah membuat batik iaitu melilin dan mewarna kain dapat dikesan sejak tamadun Mesir silam, 3,000 tahun lalu. Teknik ini juga sudah lama diamalkan di India dan Afrika.

Waima, keunggulan batik dari Jawa sudah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2 Oktober 2009 – juga diisytiharkan sebagai Hari Batik di Indonesia.

MEMBATIK

Saya masih teringat kelas Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) di Madrasah Al-Maarif, Ipoh Lane pada awal 1970-an, yang pernah menampilkan tunjuk cara batik oleh Encik Sarkasi dan Cikgu S. Mohdir (Mohamed Abdul Kadir: 1936-2010).

Lazimnya, pembatik melakar corak dan motif dengan pensil sebelum menggunakan lilin (Inggeris: wax atau Jawa: malam).

Setelah pasti dengan desain atau reka bentuk, barulah pembatik menerapkan lilin panas yang diisi dalam canting. Kemudian kain itu dimandikan dengan pewarna.

Proses ini boleh diulang beberapa kali untuk mencipta pelbagai corak ringkas atau kompleks dan untuk menambah lebih banyak warna.

Selepas dibubuh warna yang dipilih, kain dibasuh dengan air panas untuk mengeluarkan lilin yang mengeras.

Untuk menghemat masa, pengecap kayu/logam pula digunakan.

Pewarna disapu pada cap yang kemudian ditekan berulang kali pada kain untuk menghasilkan corak. Cap dengan motif yang berbeza boleh digunakan pada kain yang sama juga.

Encik Sarkasi telah meneroka pelbagai teknik halus sehingga sentuhan lilin dan kawalan berusnya (digunakan untuk menyekat pewarna atau "menentang pencelupan") menghasilkan paparan berseni.

MOTIF BATIK PENDETA

Apabila Hab Dr MAS ditubuhkan di Perpustakaan Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), terdapat keperluan untuk menciptakan batik cap istimewa.

Encik Sarkasi, penerima Pingat Budaya pada 2020, telah menasihati agar diwujudkan pola ‘sido mulyo’.

Jawatankuasa Dana MAS (bagi penubuhan Endowmen Pengajian Melayu Dr MAS @ NIE-NTU) memutuskan untuk mengisi petak sido mulyo dengan dedaun sirih yang luas perlambangannya dalam budaya Melayu.

Related article image
Motif batik sido mulyo menghiasi buku ‘Cikgu Ariff Yang Kukenal’ (terbitan NIE-NTU, 2020). (Gambar: Raman Daud)
Related article image
Motif batik sido mulyo menghiasi buku ‘Permata Pendeta’ (NIE-NTU, 2024). (Gambar: Raman Daud)
Antara lain, motif batik ini menghiasi buku ‘Cikgu Ariff Yang Kukenal’ (terbitan NIE-NTU, 2020) dan buku rampaian esei, ‘Permata Pendeta’ (NIE-NTU, 2024).

Bagi Singapura yang terkenal dengan ‘penemuan’ pelbagai bunga anggerik, selain Vanda Miss Joaquim, usaha Encik Sarkasi wajar dilanjutkan oleh para pembatik atau pelukis batik penerus seperti Sujak Rahman (1949 - ), Tumadi Patri (1959 -) dan yang lain.

Sujak Rahman & Tumadi Patri
Related article image
Encik Sujak Rahman (kiri) dan Encik Tumadi Patri. (Gambar: Raman Daud)

Namun seperti pernah dialami oleh Encik Sarkasi sendiri, pendapatan seniman di Singapura sering pasang surut.

Masalah terbesar di negara kota kecil yang termahal kos hidupnya di dunia ialah ruang studio untuk berkarya.

Ia sering di luar jangkauan seniman termasuk Encik Sarkasi yang sudah mapan, apatah lagi yang baru memulakan kerjayanya.

Dalam rangka membangunkan Singapura sebagai ‘Kota Kebangkitan Seni di Tropika’, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengajukan pelan induk yang amat tinggi impiannya.

Namun apakah impian ini dapat dicapai oleh seniman kita yang punya keperluan seperti insan biasa – pendapatan tetap, rumah dan masa depan terjamin?

Menjelang detik-detik akhirnya, Encik Sarkasi berhasrat besar untuk menghasilkan buku khas mengenai laluan hidupnya dan falsafah batik dari tahap bayi sehingga kepada detik menghadap Ilahi dalam hayat rumpun Melayu.

Sayang, harapan atau “Impian Batik” beliau tidak kesampaian.

Seyogia, ada sebuah kugiran bergelar ‘Impian Batik’ yang popular pada akhir 1960-an dan awal 1970-an.

DUKUNG SENIMAN

Related article image
(Dari kiri) Presiden Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Lee Hsien Loong mengenakan kemeja bercorak batik. (Gambar: Facebook/Tharman Shanmugaratnam; Lawrence Wong; Lee Hsien Loong)

Oleh itu, apabila terlihat para pemimpin negara, hartawan sehingga orang biasa memakai batik dengan selesa dan gah, bayangkanlah keadaan seniman batik di sebalik busana itu.

Wajar Singapura turut serta secara aktif dan tersusun dalam menjayakan batik sebagai warisan rantau ini.

Antara lain, ini dilaksanakan dengan pelbagai daya galak agar para pembatik tanah air lebih tertumpu dalam meningkatkan pengkaryaan mereka setanding dengan pembatik negara-negara jiran.

Related article image
Batik pesisiran dan kebaya encim di pameran Pasang Surut di Bali pada Julai 2023. (Gambar: Lynda Ibrahim)
Karya batik merupakan pilihan yang wajar diberi pendedahan untuk menjadi aneka fesyen yang boleh digayakan – dari pakaian sehingga beg sandang – yang sekali gus menonjolkan keunggulan Singapura.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita