ALAM MELAYU: Hijrah Dalam Jiwa Rumpun

Istilah 'hijrah' mempunyai pelbagai erti dalam jiwa rumpun Melayu. (Gambar: Pixabay)
Tahun baharu Islam 1447 Hijrah muncul di sebalik senario kemelut genting di Timur Tengah yang menggugat jagat.
Hal ini tentulah menjadi keprihatinan rumpun Melayu, selaku kelompok umat Islam terbesar dunia iaitu 15 peratus daripada 2 bilion jiwa (menurut laman IslamiCity). Sikap ini mencerminkan kaitannya sebagai sebahagian daripada tubuh ‘ummah’. Hal ini telah lama diiktiraf oleh negara-negara rantau ini.

Kalendar atau takwim Islam disebut ‘hijriah’ kerana ia dirumuskan sempena peristiwa perpindahan Nabi Muhammad dan para sahabatnya dari kota Makkah ke Yathrib (nama lama Madinah).
Ia dilakukan dalam strategi menjauhi penganiayaan yang berterusan dan membina kekuatan baharu di kota lain. Ia titik tolak utama dalam sejarah awal Islam.
Takwim Islam bersandarkan putaran bulan (qamari) yang jumlah harinya 354/355 iaitu pendek 10 hari berbanding kalendar Gregorian atau Masihi iaitu 365/366 hari. Namun, hal ini umumnya tidak menyukarkan umat Islam, termasuk rumpun Melayu yang dikatakan paling lentur dalam menyesuaikan kehidupan mereka.
Menurut Prof Hamka dalam bukunya, ‘Lembaga Budi’, majoriti rumpun Melayu telah ‘berpindah’ jiwa atau hijrah batin dan amalan iaitu dari segi anutan – animisme (kepercayaan nenek moyang), agama-agama dari India dan akhirnya Islam.
Uniknya rantau ini pernah lama dijajah kuasa-kuasa Barat yang menindas hak asasi dan gigih menyebarkan ajaran agama Nasrani. Sungguhpun begitu, rumpun Melayu masih teguh dengan anutan Islam. Mengapa?

PERIBAHASA PERUBAHAN
Hendak mengetahui ‘jiwa’ sesebuah kaum, antara lain dikaji peribahasanya iaitu susunan kata arif dari zaman nenek moyangnya. Apakah ada peribahasa Melayu yang mengungkapkan erti ‘hijrah’?
Hijrah asalnya istilah Arab iaitu hajara iaitu pindah. Sejak menganut Islam, orang Melayu telah mendalami makna ‘hijrah’ sebagai perubahan yang boleh berlaku secara mendadak dan gah atau lunak (secara berdikit-dikit) serta perlahan-lahan.
Dari skala dramatik atau revolusi, terdapat peribahasa ‘Sekali bah, sekali pantai berubah’. Ia dikatakan setua ‘tamadun’ Aceh. Ia bukan sekali berlaku pada 26 Disember 2004 yang menarik sorotan jagat.


Rupa-rupanya, Aceh antara kawasan pelosok rantau Melayu yang sudah ribuan tahun dilanda gempa di laut yang mencetuskan tsunami (istilah Jepun bererti: ombak besar).
Ertinya, apabila berlaku ‘bah’ (tsunami), pesisiran yang terjejas pasti berubah. Sewaktu tsunami 2004, tercetus istilah ‘diluluhlantak’ untuk mencirikan perubahan amat besar atau dramatik di Tanah Rencong atau Serambi Mekkah itu.
Terdapat Pantun Melayu Sarawak mengenai ‘bah’ (air pasang naik = tsunami), cuba hayati maknanya:
Rendang kelapa tumbang melayang,
Bumi bergoyang, air pasang naik.
Musibah datang jangan dikenang,
Bangkit segera diri menjadi baik.
Sejak istilah ‘tsunami’ dipopularkan, timbul pula pantun berikut:
Awal Muharram maal Hijrah,
Akhir tahun bulan Zulhijah;
Awal bismillah kuucap takziah,
Takdirnya tsunami kudrat Allah.
(maa (Arab) = bersama dengan)
MERANTAU BERKELANA
Dek hidup dalam sebuah rantau Melayu, kalangan suku kaum Melayu memang cenderung berpindah-pindah. Proses ini dikatakan ‘merantau’ sebagai ‘dagang’ (mencari niaga, kerja atau rezeki) dalam kawasan Dunia Melayu. Antara ciri Melayu ialah kebolehannya untuk berpantun.
Dalam filem ‘Sri Mersing’ (terbitan Cathay Keris, 1961), terdapat pantun terkenal tetapi bukan pantun pusaka iaitu karangan Haji Shariff Medan dan Pak Yem. Pantun ini dilafazkan Damak yang mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung yang baru didiami keluarganya dek serik akibat fitnah walaupun dipujuk oleh ketua kampung, Pak Malau.
Berikut pantun Damak (lakonan Nordin Ahmad, 1929-1971) selaku orang tersingkir:
Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.
Orang Melayu merupakan peribumi (Inggeris: native) Singapura walaupun keturunan mereka asalnya dari sejauh Jawa. Ini kerana Singapura berada dalam rantau Melayu. Jika mereka berulang-alik dari mana-mana ceruk rantau ini, maka mereka dikatakan berkelana.
Tetapi jika keluar dari rantau ini untuk diam di negara lain, maka Melayu demikian dikatakan ‘berhijrah’. Demikian pendapat Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016).
Oleh itu, ‘hijrah’ diseiraskan dengan istilah Bahasa Inggeris, ‘migration’. Orangnya dipanggil ‘penghijrah’ (migrant).
HIJRAH MENJADI DIASPORA
Sejak zaman bahari orang rumpun Melayu telah berhijrah dari ‘induk’ iaitu Asia Tenggara ke kawasan sejauh Malagasy (Madagascar) sehingga ke kepulauan Polinesia seperti Hawaii. Penguasa Hawaii terakhir, Raja Kalākaua (memerintah 1874-1891) pernah cuba membina jalinan dengan Maharaja (kemudian Sultan) Abu Bakar dari Johor dengan alasan mereka berasal dari rumpun Melayu.
Ada juga orang rumpun Melayu dipaksa agar berhijrah kerana dibuang penjajah seperti dalam hal Syekh Muhammad Yusof bin Abdullah Khidir (juga dikenali sebagai Abidin Tadia Yusof, 1626-1699M) dari Makassar yang sebenarnya seorang putera Raja Bugis yang menentang penjajah Belanda. Beliau dibuang dua kali iaitu ke Ceylon (Sri Lanka) dan Tanjung Pengharapan (Capetown, Afrika Selatan).
Anutan Islamnya amat kuat sehingga membolehkannya menyebarkan agama di kedua-dua negeri itu.
Terdapat juga rumpun Melayu, khususnya orang Jawa di Surinam, iaitu negara di utara benua Amerika Selatan. Keturunan mereka, selaku buruh dirantai (buruh paksa) dihantarkan ke sana. Penghijrahan sedemikian telah membentuk diaspora atau tebaran rumpun Melayu (di luar rantau ini).

Ketika terlibat dalam usaha memajukan masyarakat Melayu di sini antara dekad 1950-an sehingga awal 2000, Dr MAS, pernah menyatakan bahawa ciri terpenting yang dicapai untuk ‘hijrah’ mestilah sebagai proses untuk menjadi lebih baik.
Antara lain, ini terpapar dalam erti seni kata lagu ‘Berpindah Minda’ oleh kugiran Lovehunters:
Karam di lamunan kota
Karam oleh majunya
Bisakah kejar semula
Kebangkitan akaliah
Sejak meninggalkan desa
Kita tidak berubah
Sikap hidup sambil lewa
Masih berleluasa
Marilah pindah berpindah minda
Ke suatu era ke puncak nyata
Marilah pindah berpindah minda
Marilah segera fikiran alpa
Marilah pindah berpindah minda
Marilah pindah berpindah minda
Ke suatu era yang lebih mulia
Marilah pindah berpindah minda
Marilah segera fikiran lama
Marilah pindah berpindah minda.
“Entah berapa kali pindah rumah pun, tak bermakna jika cuma penat zahir saja,” kata Dr MAS. “Tapi pindahkan atau hijrahkanlah hati dan fikir ke arah kebaikan dan kemajuan. Maka itulah yang lebih bermakna dan kekal lagi berguna untuk bekal hari kemudian.”

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.