ALAM MELAYU: Hari Raya Korban, Hijrah dan Membangun Peradaban
Membangunkan peradaban memerlukan usaha kolektif untuk mencermati, menggilap dan mengungguli setiap kepandaian, ketukangan dan kegigihan manusia.
Peradaban Islam wajar difahami dalam bentuk material atau fizikal dan dalam bentuk kerohanian. (Gambar: REUTERS)
Kesepaduan kolektif ini, menurut Dr Azhar Ibrahim Alwee, menuntut kepimpinan yang gemilang dan berwawasan.
Dalam sejarah, umat Islam yang bermula dari kota-kota di Timur Tengah, pernah membangunkan peradaban yang memberi sumbangan besar kepada dunia dari Eropah hingga ke Afrika, sampailah ke benua India dan Asia Tenggara.
Banyak yang telah menghuraikan bagaimana peradaban dibangunkan. Segi kepimpinan, perdagangan, ketenteraan, keilmuan dan kebudayaan telah dijelaskan sebagai faktor yang telah mengembangkan peradaban Islam.
Peradaban Islam ini wajar kita fahami dalam bentuk material atau fizikal dan satu lagi dalam bentuk kerohanian, yang terjelma dalam nilai, pemikiran, etos dan pandangan dunia.
Semua peradaban manusia memerlukan pengorbanan dalam pengertian yang luas. Peradaban digerakkan oleh manusia yang sedia berkorban masa, sumber dan tenaga dan ketahanan mental demi mencapai suatu tingkat hidup yang lebih sempurna.
Sesungguhnya kepentingan dan kesediaan berkorban menjadi salah satu tuntutan dalam ajaran Islam.
Menunaikan ibadah ini pastinya memerlukan banyak pengorbanan. Mengumpulkan dana bererti menangguhkan keperluan lain, serta meninggalkan keluarga dan taulan sepanjang musim haji.
Dalam bulan haji inilah, Aidiladha disambut dengan ibadah korban dilaksanakan bagi mereka yang mampu. Daging daripada haiwan yang dikorbankan itu dibahagi-bahagikan mengikut syarat.
Sebagaimana ditegaskan oleh KH Muhammad Hussein: “Korban dalam haji adalah simbol perjuangan manusia mewujudkan solidaritas sosial-ekonomi demi kesejahteraan bersama.”
Tambah beliau: “Menyembelih haiwan adalah menyembelih sifat-sifat kebinatangan yang menyesatkan dan yang sering kali tidak peka dan tidak peduli terhadap penderitaan orang lain.”
bahawa cinta sejati
kadang hadir dalam bentuk merelakan.
Seekor haiwan disembelih,
tetapi yang sebenarnya dibersihkan
adalah hati manusia.
Dan di Hari Raya itu,
ikhlas menitis perlahan
seperti embun di hujung daun —
diam, lembut,
namun mampu menenangkan
seluruh jiwa.”
Selain itu, niat dan amalan haji adalah sebuah perjalanan atau hijrah untuk mendapat satu tingkat kerohanian yang lebih tinggi dari yang sebelumnya.
Khutbah Wada Yang Unggul
Dalam ibadah haji, umat Islam berkumpul di Makkah dan beribadah menghadap kiblat. Dari sinilah lahir Nabi Besar kita, yang dalam misi kerasulannya akan mengasaskan kota Madinah.
Sewaktu menunaikan ibadah hajinya, Nabi Muhammad saw telah menyampai khutbah baginda yang terakhir. Inilah suatu penyataan yang pesannya sangat universal. Inilah penyataan yang menjadi salah satu dasar peradaban ini, kerana Baginda Nabi sendiri berpesan kepada umatnya.
Khutbah perpisahan ini juga adalah suatu mercu tanda peradaban Islam yang asasnya menegakkan keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan sejagat.
Antara seruan Baginda ialah nyawa dan harta manusia harus dilindungi dan kesejahteraan kaum wanita mestilah terjamin.
Kesimpulan Nurcholish Madjid dari khutbah perpisahan ini sangat baik:
“Kalau kita perhatikan, khutbah di Arafah itu luar biasa makna yang dikandungnya. Dan yang lebih mengharukan lagi adalah ketika Nabi menegaskan mengenai hak perempuan. Perempuan itu adalah amanah, dan harus dilindungi. Maka kalau Nabi mengatakan al-hajj-u Arafah, maksudnya adalah untuk memahami perkara ini. Dalam bahasa kita sekarang al-hajj-u Arafah bererti orang yang menunaikan haji harus berkumpul di Arafah dan meresapi nilai-nilai kemanusiaan universal.
Ini kerana Arafah menghimpunkan segala macam bangsa, dari pelbagai warna kulitnya …”
Ia menjadi peringatan kepada umat Islam bahawa Baginda mengamanahkan kepada umatnya suatu peradadan yang unggul.
Peradaban ini mendukung kemanusiaan yang akur kepada Penciptanya, yang dipertanggungjawabkan membawa rahmat kebaikan kepada manusia dan alam sejagatnya. Khutbah ini juga disebut sebagai deklarasi kemanusiaan universal.
Haji dan Pertalian dengan Hijrah
Huraian Ali Shariati, seorang pemikir asal Iran, tentang ibadah haji sangat menarik, khasnya makna yang boleh kita sepadankan dengan apa yang terangkum dalam ibadah ini. Dalam bukunya Haji (2009) beliau menulis:
Selanjutnya perkataan Hijrah turut bererti peralihan dari hidup biadab menjadi hidup beradab dan dari kekafiran menjadi Islam.
Selanjutnya setiap hijrah seperti yang pernah dilakukannya adalah sebuah gerakan menuju peradaban!”
Dalam penulisan Nurcholish Madjid, berjudul 'Islam Agama Peradaban' (1995), makna hijrah ini pernah dirungkai dengan baik. Beliau mengatakan:
Daripada pengalaman kerohanian ini, dan bergerak nyata dalam sejarah telah membenarkan umat Islam mengikuti jejak Nabi dalam membangunkan kota Madinah, dan kelak nanti menginspirasi umat Islam membangunkan peradaban besar yang menyumbang kepada kemanusiaan sejagat.
Ibadah haji ini ternyata bukan sekadar menyempurnakan ibadah dalam rukun Islam yang kelima. Ia berkait rapat dengan makna hijrah yang menjadi titik utama dalam cakerawala Islam.
Kesimpulan dari KH Husein Muhammad, dalam bukunya 'Merayakan Hari-Hari Indah Bersama Nabi' (2017) sangat berisi dan membekas:
“Prosesi haji memang tampak begitu sederhana dan demikian mudah, tetapi sesungguhnya ia begitu sarat makna spiritual yang menggetarkan. Tahap demi tahap perjalanan haji: Tawaf, Sa’i, Wukuf di Arafah, Jamarat dan Korban, merupakan simbol-simbol yang bernilai kemanusiaan. Ia adalah simbol-simbol yang bernilai kemanusiaan. Ia adalah simbol-simbol penyatuan, kesetaraan, dan persaudaraan umat manusia, perdamaian, berbagi kegembiraan dan cerita tentang sejarah manusia, sejarah asal usul keyakinan keagamaan, dan lain-lain. …..”
Semoga hari yang mulia ini dapat disempurnakan dengan ibadah korban, selain masa untuk merenung akan keberadaan dan kewujudan kita. Inilah juga nada yang terakam dalam puisi oleh Dadan Nugraha, yang melantun puisi, “Hari Raya Para Perindu Tuhan”. Ia berbunyi:
yang menunggu Hari Raya ini
bukan kerana daging atau perayaan,
melainkan kerana rindu
kepada Tuhan.
Mereka datang ke masjid
dengan hati yang penuh harap,
membawa doa-doa panjang
yang tak pernah selesai dipanjatkan.
Takbir menggema di udara pagi,
dan setiap kalimatnya
terasa seperti pelukan
bagi jiwa yang lelah.
Hari Raya Qurban
adalah tempat pulang
bagi hati-hati yang tersesat,
bagi mereka yang ingin kembali
menjadi lebih bersih.
Dan di antara ribuan manusia,
selalu ada seseorang
yang diam-diam menangis
kerana merasa begitu dekat
dengan Tuhannya.”
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.