Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Guru Karyawan Budaya, Berhati dan Bermata

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Guru Karyawan Budaya, Berhati dan Bermata

Para pelajar mengikuti kelas di sebuah bilik darjah di Singapura. (Gambar fail: CNA/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 05 Sep 2025 01:00AM Dikemas Kini : 05 Sep 2025 01:18AM
SINGAPURA: Setiap masyarakat, baik dahulu dan kini, baik kecil atau besar, baik maju mahupun membangun, memiliki sekelompok manusia berfikir dan terdidik yang digelar intelektual atau inteligensia.

Intelektual, menurut Syed Hussein Alatas, adalah “seorang yang mempunyai pemikiran tentang idea dan masalah bukan material dengan menggunakan akal fikirannya.

Inteligensia pula menurut Karl Mannheim, adalah "kelompok sosial yang tugas utamanya ialah menawarkan penafsiran tentang dunia kepada masyarakat".

Dalam wacana literasi kritis, peranan guru, selain melakukan tugas pendidikan dan penyelarasan di sekolah, juga ditanggap sebagai pekerja atau karyawan budaya (cultural workers).
Related article image
Para pelajar Singapura di dalam bilik darjah. (Gambar fail: TODAY)
Sudahpun kita termaklum bahawa peranan guru amatlah berpengaruh dalam masyarakat dari beberapa segi, seperti:

(a) membentuk pemikiran generasi muda;

(b) sebagai model tauladan kepada para siswa;

(c) sebahagian daripada inteligensia masyarakat, makanya boleh mempengaruhi fikiran dan pendapat awam;

(d) adanya sedikit akses untuk mengajar dan memiliki sumber-sumbernya - baik secara formal atau tidak;

(e) sebagai pembentuk, pengawas dan penilai idea-idea yang diwacana atau yang dipertahankan/dianjurkan dalam masyarakat;

Sesungguhnya kesedaran guru dan keprihatinan tentang ehwal masyarakat akan terjelma dalam pengajarannya, langsung menanamkan sikap kepedulian moral dan etika dalam masyarakat mereka.

Pendek kata, tugas dan kerja guru boleh dianggap sebagai intelektual ataupun inteligensia dalam masyarakatnya.

Soal utama yang harus diberikan perhatian bukanlah siapakah (atau di manakah) intelektual itu, tetapi apakah intelektual itu telah dan dapat berfungsi, sebagaimana yang dicitakan dan diperlukan dalam masyarakat itu tadi.

Dalam sejarah pembangunan masyarakat Melayu, para guru telah memainkan bukan sahaja sebagai penggerak kesedaran untuk maju, tetapi memberikan kepimpinan dalam pelbagai pertubuhan untuk menjayakan ikhtiar pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan.
Related article image
Simposium OneMTL pada 30 Ogos 2025. (Gambar: Prasekolah PCF Sparkletots)
Guru tampil sebagai penggerak semangat kebangsaan sejak abad ke-20. Ada yang masuk dalam gerakan politik. Ada yang menyumbang dalam akhbar. Banyak lagi yang membangunkan ranah sastera, seni dan budaya

Guru Sebagai Pekerja Budaya

Wacana guru sebagai pekerja budaya yang diangkat dalam wacana literasi kritis mengarah kepada apresiasi mendalam akan peranan guru sebagai pencorak dan pengubah.

Namun perlu diingatkan bahawa guru bukanlah berperanan mutlak. Tugas guru bukan setakat menurunkan ilmu kepada pelajarnya.

Yang lebih penting adalah memberikan jalan, semangat dan sumber agar anak didik yang faham akan dunia persekitarannya, dapat pula mencipta dan membangunkan budaya yang sesuai dengan konteks dan keperluannya.

Dalam istilah Paulo Freire, mengajar itu mewujudkan kemungkinan dan kesempatan untuk para pelajar.

Bahasa Membangun Budaya

Guru Bahasa Melayu telah dan akan terus melengkapkan anak bangsa dengan bahasa.

Para guru, teristimewa guru bahasa, sayugia dilihat sebagai sebahagian daripada intelektual awam dalam masyarakatnya.

Dengan bahasa kita memahami amalan, pemikiran, nilai dan cita yang kita pegang.

Dari bahasa lahir ilmu, membolehkan perhubungan, menciptakan seni dan budaya serta memberi kita imaginasi tentang dunia yang kita huni ini.

Pertalian antara bahasa dan budaya, diungkapkan sebaiknya oleh Ngũgĩ wa Thiong'o yang menyebut bahawa bahasa ini membawa bersamanya budaya, dan budaya yang terkandung dalamnya tradisi sastera bertulis dan lisan, sehingga kesemuanya itu memberi kita bayangan tentang kehidupan kita.

Bahasa juga berfungsi sebagai suatu wadah dan proses untuk menggerak, membangunkan dan mengasah kesedaran sosial dan peribadi si pengguna bahasa itu.
Related article image
Cikgu Djohan Abdul Rahman (tengah, berbaju batik biru) - kalangan guru dalam pasukan projek Sabotaj, Unit Bahasa Melayu Sekolah Menengah Changkat Changi. (Gambar: Sekolah Menengah Changkat Changi)
Hanya dengan adanya peluasan lapangan berbahasa, maka dengan itulah kemungkinan diperlukan konsep, istilah dan perumpamaan (metaphor) yang diperlukan untuk mengungkapkan idea-idea tadi dalam perbualan dan penulisan.

Dalam erti kata lain, guru Bahasa Melayu sebagai intelektual atau pekerja budaya harus melihat matlamat pendidikan bahasa yang menjangkau lebih daripada hal-hal yang sering dinyatakan seperti:

(a) memelihara Bahasa Ibunda agar si penutur dapat menghargai dan mendalami warisan kebudayaan dari generasi yang terdahulu

(b) Bahasa Melayu itu sebagai bahasa komunikasi dalam pelbagai keperluan individu dan sosial.

Pastinya yang kedua ini penting, tetapi membangunkan pemikiran kritikal dan kritis adalah salah satu tanggungjawab intelektual para pendidik, khasnya dalam konteks zaman yang pesat berubah ini, di mana para guru sendiri perlu terdedah dan memahami makna perubahan dalam masyarakat.

Pembelajaran Bahasa Melayu yang bermakna hanya akan ada pengertian sekiranya kita terlebih dahulu memahami kehidupan yang kita lalui.

Pemahaman tentang budaya, bukan sahaja harus bersifat apresiatif, tetapi juga harus ada segi kritis untuk merubah yang sedia ada ke tahap yang lebih baik lagi.

Sekadar menyebut bahasa dan budaya mesti dipelihara adalah klise (cliche) malah boleh menjadi kosong. Budaya itu harus dibaca ulang, ditinjau kembali dan digubah dengan tuntutan semasa.

Untuk membolehkan ini semua, bahasa kreatif dan kritis mesti tersedia, dan dimaksimumkan penggunaannya.

Di situlah budaya boleh terungkap baik, tercipta dan dilestarikan.

Selagi pendidikan bahasa diajarkan dalam bentuk yang formal/tradisional, maka di situlah letaknya antara rintangan mental dan struktur yang menghalang tumbuhnya pemikiran kreatif dan kritikal.

Malah bukan sahaja guru membolehkan budaya dicinta dan dicipta, tetapi juga mengingatkan kepada pelajar bahawa budaya jangan sekali disempitkan dalam bilik darjah.

Budaya harus didekati dalam kalangan masyarakat. Budaya mesti disentuh, didengar, diamal dan dirasa. Hidup berbudaya itulah yang harus disanjung dan ditampung.

Lebih penting lagi, pemikiran kritis dan kreatif akan berhasil sekiranya ada cara berfikir yang:

(a) menghadap masalah;

(b) tidak buta sosial/sejarah/politik;

(c) ada tanggungjawab etika/moral dan;

(d) berkeyakinan akan kemampuan individu seadanya.

Membangunkan pemikiran kritis dan kreatif dalam pengajaran kita adalah memastikan tumbuhnya sikap dalam kalangan anak-anak didik kita sifat keperibadian dan kepedulian dan kesedaran kolektif yang ampuh.
Related article image
Gambar fail para pelajar dalam bilik darjah di sebuah sekolah di Singapura. (Gambar: TODAY/Ernest Chua)
Hanya dengan adanya peluasan lapangan berbahasa, maka dengan itulah kemungkinan diperlukan konsep, istilah dan perumpamaan (metaphor) yang diperlukan untuk mengungkapkan idea-idea tadi dalam perbualan dan penulisan.

Dalam erti kata lain, guru Bahasa Melayu sebagai intelektual atau pekerja budaya harus melihat matlamat pendidikan bahasa yang menjangkau lebih daripada hal-hal yang sering dinyatakan seperti:

(a) memelihara Bahasa Ibunda agar si penutur dapat menghargai dan mendalami warisan kebudayaan dari generasi yang terdahulu

(b) Bahasa Melayu itu sebagai bahasa komunikasi dalam pelbagai keperluan individu dan sosial.

Pastinya yang kedua ini penting, tetapi membangunkan pemikiran kritikal dan kritis adalah salah satu tanggungjawab intelektual para pendidik, khasnya dalam konteks zaman yang pesat berubah ini, di mana para guru sendiri perlu terdedah dan memahami makna perubahan dalam masyarakat.

Pembelajaran Bahasa Melayu yang bermakna hanya akan ada pengertian sekiranya kita terlebih dahulu memahami kehidupan yang kita lalui.

Pemahaman tentang budaya, bukan sahaja harus bersifat apresiatif, tetapi juga harus ada segi kritis untuk merubah yang sedia ada ke tahap yang lebih baik lagi.

Sekadar menyebut bahasa dan budaya mesti dipelihara adalah klise (cliche) malah boleh menjadi kosong. Budaya itu harus dibaca ulang, ditinjau kembali dan digubah dengan tuntutan semasa.

Untuk membolehkan ini semua, bahasa kreatif dan kritis mesti tersedia, dan dimaksimumkan penggunaannya.

Di situlah budaya boleh terungkap baik, tercipta dan dilestarikan.

Selagi pendidikan bahasa diajarkan dalam bentuk yang formal/tradisional, maka di situlah letaknya antara rintangan mental dan struktur yang menghalang tumbuhnya pemikiran kreatif dan kritikal.

Malah bukan sahaja guru membolehkan budaya dicinta dan dicipta, tetapi juga mengingatkan kepada pelajar bahawa budaya jangan sekali disempitkan dalam bilik darjah.

Budaya harus didekati dalam kalangan masyarakat. Budaya mesti disentuh, didengar, diamal dan dirasa. Hidup berbudaya itulah yang harus disanjung dan ditampung.

Lebih penting lagi, pemikiran kritis dan kreatif akan berhasil sekiranya ada cara berfikir yang:

(a) menghadap masalah;

(b) tidak buta sosial/sejarah/politik;

(c) ada tanggungjawab etika/moral dan;

(d) berkeyakinan akan kemampuan individu seadanya.

Membangunkan pemikiran kritis dan kreatif dalam pengajaran kita adalah memastikan tumbuhnya sikap dalam kalangan anak-anak didik kita sifat keperibadian dan kepedulian dan kesedaran kolektif yang ampuh.
Related article image
Kelas Bahasa Melayu PEPS. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Cabaran-Cabaran Guru

Kita maklum bahawa kerjaya guru semakin mencabar masa kini, dengan terbangunnya sistem pendidikan yang semakin bersifat penyejagatan.

Profesionalisme guru juga semakin meningkat dengan pelbagai latihan dan keperluan yang harus dipenuhi oleh para guru.

Di saat sistem pendidikan mengembang dan meningkat menjadi kompleks, maka profesionalisme keguruan menjadi semakin spesifik ketukangan dan kemahirannya.

Dengan meningkatnya profesionalisme para guru sebagai pendidik, suatu segi yang tercabar ialah dari sudut komitmen sosial yang dituntuti dalam kalangan mereka.

Umumnya kita berdepan dengan situasi guru menjadi sibuk dengan kerjaya profesional sebagai guru di sekolah, mengelola urusan mengajar dan mentadbir.

Pastinya juga harus bersedia tampil dan berhubungan dengan ibu bapa atau waris para pelajarnya.

Akhirnya guru tiada dapat meluangkan masa untuk mempertingkatkan dirinya melalui wacana ilmu, (walau ada ikhtiar menajamkan kemahiran mengajar dalam kelas), masa membaca terabai dan terkesamping, dan selera intelektual semakin membantut.

Dalam kondisi ini, guru terpisah daripada budaya ilmu dan pewacanaan intelektual semasa. Ertinya, komitmen sosial para guru, dengan kepedulian dan bakti kepada masyarakatnya menjadi mengecil dan menyempit.

Apa yang lebih parah daripada gejala ini ialah -- dengan pemencilan intelektual ini, pemahaman dan tanggapan para guru tentang konsep-konsep asas mengenai masyarakat dan budaya terikut sama terperuk maknanya.

Inilah situasi yang tragis dan inilah yang kita saksikan hari ini, kalau tidak keterlaluan untuk kita menyebutkan di sini.

Sesungguhnya guru sebagai golongan intelektual, adalah aset terpenting dalam masyarakat.

Para guru pula seharusnya melihat ini bukan sebagai prestij tetapi suatu tanggungjawab yang dipikul di bahu dan pundak mereka demi membawa masyarakat ke tahap pembangunan dn kemajuan yang bermakna.

Pengiktirafan kerjaya guru, sekali gus meletakkan tanggungjawab kepada warga guru itu sendiri.

Dalam konteks moden ini, tugas guru Bahasa Melayu tidak boleh lagi disempitkan atau dibiarkan terhenti di peringkat "guardian of culture and language" - melainkan berperanan sebagai intelektual transformatif ataupun karyawan budaya.

Maka itu, tugas mendidik tidak sepatutnya dilihat sebagai pemindahan ilmu pengetahuan dari guru kepada para pelajar, melainkan tugasnya menumbuhkan sikap dan nilai menghargai proses belajar mengaitkan kata dengan ‘kita’ dan sekitarnya.

Ertinya, penguasaan ilmu yang kental dan kepekaan terhadap realiti sosial harus dibina dan diperkuatkan dari semasa ke semasa, termasuk mempunyai keberanian moral untuk menyuarakan sesuatu yang hak.

Guru intelektual harus bersedia untuk menjangkau lebih daripada kepedulian dan kemampuan berbahasa dengan baik (yang sering diukur berdasarkan kepetahan dan kesantunan) tetapi melihat bahasa itu sebagai wadah untuk menampung pemikiran yang utuh demi mempersiapkan manusia dalam aturan kehidupan moden yang serba mencabar.

Ertinya mereka harus cergas memantau apa yang berlaku dalam masyarakat.

Tidak segan silu untuk terkedepan bagi menyatakan yang hak, dan menegur yang batil, sedang ia saling berempati akan masalah yang dihadapi.

Itulah yang dimaksudkan guru yang bermata dan berhati.

Namun, memikul tanggungjawab intelektual ini, bukan bererti menjadikan guru terlepas daripada tanggungjawab asas untuk memastikan anak didik mereka menerima perhatian dalam hal akademik mahupun pembangunan sahsiah mereka. Yang terakhir ini, sama sekali tidak boleh diabaikan.

Guru dan Penciptaan Budaya Dinamik

Dalam kehidupan masyarakat moden yang mencabar ini, tentunya diperlukan para guru sebagai inteligensia dalam masyarakat (berfungsi sebagai intelektual transformatif) untuk terkedepan dalam memastikan penyebaran kreatif (creative dissemination) demi keberlangsungan budaya yang dinamik.

Ini kerana warga guru adalah perantara di antara idea-idea yang dicetuskan daripada golongan pemikir kepada khalayak ramai, teristimewa pada generasi baharu, iaitu anak didik mereka sendiri.

Jika ini tidak dilakukan, perkembangan budaya menjadi lembab, tidak bermaya malah tidak dapat membuat penyesuaian kreatif tatkala persikitaran sosioekonomi dan politik berubah dengan pantas.

Tugas dan tanggungjawab memastikan penyesuaian kreatif ini sayugia dipikul.

Namun betapa pun seseorang itu menguasai sesuatu ilmu untuk dimanfaatkan dalam masyarakatnya, ia tidak akan berkesan sekiranya beliau tidak mempedulikan struktur masyarakat.

Tanpa kepedulian terhadap struktur masyarakat, bererti kepincangan kesedaran sang intelektual itu tadi untuk mendiagnosis permasalahan dan kegencotan di sekelilingnya.

Dan salah satu asas untuk menjanakan pemikiran yang kritis-diagnostik itu, harus bermula dengan kepekaan terhadap bahasa yang transformatif sifatnya.

Akhirul kalam, guru sebagai pekerja budaya atau intelektual bukanlah sesuatu yang bersifat automatik, jauh lagi suatu 'privilege' (keistimewaan) tanpa syarat.

Mengabaikannya akan membelakangkan amanah yang telah diberikan kepada kita, kerana “suatu masyarakat tanpa kelompok intelektual yang berfungsi itu akan ketandusan suatu tingkat kesedaran dan pemerhatian yang mendalam akan masalah-masalah besar yang ada dalam masyarakat itu.”

Pemupukan dan perancangan ke arah pembudayaan ilmu dan amalan yang terkedepan dalam ranah awam oleh para guru, tidak dapat tidak, adalah persoalan kebudayaan, intelektual dan moral yang patut diberikan perhatian segera.

Karyawan budaya pastinya memerlukan cita dan imaginasi. Begitulah yang terungkap daripada seorang penyair-guru, yakni Masuri SN, yang berjudul “Imaginasi Budaya”:

Bernafaskan makna-makna
berudarakan suara-suara
begitu bahasa
menjadi keyakinan
semangat dan perkasa.


Itulah bahasa
membebaskan suasana
menjadi api bayangan
imaginasi,
membuat manusia
tahan merentasi
daerah pasir tak berbumi
menembusi hutan belantara mimpi
tahan menggali dasar lautan
menerokai bulan;
menjadi bererti
maknanya diri
hidupnya manusia bisa berbicara
suara batin suara jiwa
di tengah-tengah kebalauan dunia.


Itulah guru sang setia yang mendidik dan membudaya.

Selamat Hari Guru,
Yang membangunkan ilmu
Yang menerangi kalbu
Yang mengasuh maju
Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita