ALAM MELAYU: Global Selatan dan Keunggulan Sastera Serantau
Hari Mastera 2025 membuka tirai bagi persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) September ini. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Terdahulu istilah Global Selatan ini dikenali sebagai negara-negara membangun, dan selepas Perang Dingin, istilah ini sering terpakai untuk membezakannya dengan Global Utara.
Negara-negara dan masyarakat Asia Tenggara, umumnya boleh dikategorikan sebagai kawasan Global Selatan yang berdepan dengan hegemoni (pengaruh) politik, ekonomi dan budaya dari negara-negara Barat dan sekutu-sekutunya.
Di satu sisi, para penulis dan peneliti sastera semakin sedar akan kondisi yang membenarkan neo-kolonialisme, kebergantungan ekonomi dan imperialisme akademik, serta hegemoni kebudayaan.
Di satu sisi yang lain, para penulis dan peneliti semakin sedar bahawa suara dari Global Selatan harus hadir menyumbang dan mengambil pendirian di saat dunia kian terhumban ke dalam lembah konflik, peperangan, kemunduran, kekerasan dan kepunahan ekologi.
Kesedaran inilah yang menjadi penanda utama dalam konsep sastera Global Selatan, yang anjal bersifat berbilang disiplin, dengan sikap mengambil pendirian, dan menawarkan gagasan dan pemikiran alternatif, yakni suatu kesanggupan budaya dan intelektual.
Yang lebih penting suara dari dunia sebelah kita, terwakil dan terdengar dalam lembaran sastera dunia.
Bersolidariti dengan sastera Global Selatan, kita dapat bersekutu dengan majoriti pembaca sastera dari pelbagai belahan dunia yang mempunyai pengalaman sama, khasnya dalam konteks globalisasi yang tidak seimbang.
Tiga matlamat utama dalam membicarakan sastera Global Selatan:
(1) Akur mengiktiraf bahawa sastera harus berdepan dengan dunia global yang penuh dengan cabaran dan rintangan
(2) Mengafirmasi peranan sastera dalam menumbuhkan dan mempertingkatkan kesedaran nasional, serantau dan global
(3) Kesempatan bersolidariti dengan sastera Global Selatan di belahan dunia lain seperti di Afrika, Latin Amerika, Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Utara dan Pasifik-Oceania.
Umumnya semua usaha ini dapat memperkayakan khazanah dan visi sastera kita, dan berpotensi menjadikan kita penyumbang kepada korpus Sastera Dunia.
Semangat Global Selatan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Teristimewa para cerdik pandai yang menerajui wacana budaya dan sastera, yang memberikan kepimpinan pemikiran.
Pengalaman sejarah, kondisi ekonomi dan sosial yang umumnya mirip, mempermudahkan solidariti dengan rakyat dan negara Global Selatan. Lain-lain pengalaman yang serupa ialah:
(1) Sentimen antikolonial yang muncul dalam negeri terjajah masing-masing, akibat dari azab getir yang dibawa oleh kolonialisme;
(2) Tradisi humanisme yang terdapat dalam pelbagai tradisi Asia, Afrika, Latin Amerika dan Oceania;
(3) Keperluan untuk saling menimba tradisi dan ilmu dari merata dunia, saat pemodenan sedang berlangsung;
(4) Terdapatnya aliran atau pemikiran emansipatif, seperti aliran kiri yang menganjurkan solidariti dalam kalangan golongan yang tertindas demi mendapatkan hak dan martabat mereka.
Apapun aliran yang dipegang, terdapat kebulatan suara yang tidak boleh lagi membenarkan berlanjutnya penjajahan atau dominasi Barat ke atas kehidupan politik, ekonomi, sosial dan intelektual bangsa-bangsa Global Selatan.
Wacana Global Selatan
Wacana ini terbangun hasil daripada kesedaran akan kondisi masyarakat dan negara Global Selatan yang terhimpit dan terasak akibat daripada monopoli, hegemoni dan kekerasan yang dilakukan oleh kuasa Euro-Amerika.
Dunia kesarjanaan akademik menampung wacana sebegini. Pembicaraan Global Selatan dalam dunia academik, terangkum di dalamnya wacana pembangunan Dunia Ketiga, globalisme yang memangsa (predatory), imperialisme budaya, pasca kolonialisme, kritikan terhadap Orientalisme dan lain-lain. Pendekatan berbilang disiplin umumnya terpakai.
Sasterawan dan Naratif Sastera Global
Namun yang lebih menarik ialah para sasterawan kita yang mengangkat agenda Global Selatan, secara sedar ataupun tidak.
Sastera adalah dunia imaginasi yang mencerminkan pengalaman, cita-cita dan harapan manusia.
Di tangan sasterawan besar, wadah sastera menjadi alat pencerahan dan penyanggahan.
Ungkapan dari W S Rendra, memberi isyarat jelas betapa dunia kita masih dibelenggu kepentingan luar:
“Kita dikuasai oleh mimpi
menjadi orang lain
Kita orang asing di tanah nenek moyang kita
Kebingungan, orang desa mengejar mimpi
dan menjual diri ke Jakarta
Kebingungan, orang Jakarta mengejar mimpi dan menjual diri ke Jepang
Eropah dan Amerika.”
Pembicaraan sastera Global Selatan seharusnya dapat memperluaskan lensa dan penilian kita terhadap sastera, budaya, ilmu dan seni.
Dunia imaginasi melalui penceritaan boleh menerobos yang lama dan jauh. Metafora sastera lebih bertenaga kerana boleh berdenyut dalam ingatan dan bacaan.
Mewacanakan Sastera Global Selatan
Membicarakan sastera Global Selatan boleh kita lihat dalam beberapa sudut.
Pertama ia sebuah aliran kesedaran dalam kalangan penulis yang rasa perlu bersolidariti dengan belahan dunia lain yang dikenali sebagai Dunia Ketiga.
Kedua, ia sebuah hasil karya sastera, seni dan budaya daripada daerah Global Selatan yang memilki ciri-ciri utama seperti:
(a) menolak hegemoni Barat;
(b) melawan bentuk neokolonialisme baharu, termasuk rejim autoritarianisme yang bersekongkol dengannya;
(c) menolak dominasi neoliberalisme yang memberi kesan besar kepada kehidupan ekonomi, sosial dan budaya.
Ketiga, ia suatu gerakan kebudayaan yang longgar, dengan matlamat untuk berdepan dan menangani tantangan kontemporari seperti rasisme (perkauman), elitisme kemiskinan, sikap ketertawanan, politik antidemokrasi, imperialisme akademik, hierarki bahasa, diskriminasi jantina dan kaum minoriti, kerosakan ekologi yang menghimpit kehidupan rakyat kecil, makhluk dan lingkungan alam (alam sekitar).
Para sasterawan besar kita adalah antara yang awal mengkritik kolonialisme lewat karya dan pergerakan. Selain kepimpinan politik, sasterawan meniup semangat kebangsaan untuk menolak feudalisme dan kolonialisme.
Sebilangan sasterawan juga berani mengkritik nasionalisme mundur, khasnya apabila ia semakin galak dengan politik populis yang etnosentrik atau membawa ideologi haluan kanan yang melampau.
“Dalam bidang ekonomi negeri kita belum merdeka, kerana kita masih bergantung kepada Amerika Syarikat dan negeri-negeri blok Barat untuk kestabilan ekonomi kita. Dalam bidang ketenteraan kita belum merdeka, kerana kita terlalu banyak bersandar kepada Barat dalam lapangan buku-buku dan filem-filem yang kebanyakan lucah dan mengandung pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran yang menyinggung maruah dan nama baik bangsa kita dan bangsa Asia-Afrika lainnya dan yang menyalahi tradisi-tradisi ketimuran bangsa kita. Keadaan-keadaan ini menunjukkan sungguhpun kita mempunyai kemerdekaan politik, masyarakat kita masih banyak bercorak kolonial, dan ini salah satu ancaman besar terhadap kemerdekaan bangsa dan kesejahteraan masyarakat.”
Seiringan pendapat ini, Pramoedya Ananta Toer menyebut bagaimana satu ketika semasa era Sukarno, Indonesia berdiri dengan berani melawan kolonialisme, sedangkan era kita semakin bergantung kepada Barat:
“Zaman Soekarno, orang Indonesia dihormati oleh dunia internasional. Kita negara kedua yang membebaskan diri daripada imperialisme Barat setelah Vietnam. Bukan itu saja. Indonesia mendukung perjuangan antikolonial di Asia-Afrika. Soekarno menjadi mercu suar di dunia internasional. Sekarang, apa yang dikatakan? Kita minta dolar. Jauh bedanya.”
Malah Pramoedya gusar kerana Dunia Ketiga sudah menjadi pasaran konsumer (pengguna), dan terus terikat hutang dengan ekonomi Barat:
“Penduduk yang kini juga dinamai Dunia Selatan atau Dunia Ketiga, diperlakukan sebagai konsumen semata. Dunia Barat yang telah dibikin kaya, kuat dan maju oleh Dunia Selatan tetap memegang kendali dunia. Dan dengan kekayaan, kekuatan dan kemajuannya, mereka menjerat korbannya dengan hutang luar negeri dan diharapkan sampai dunia kiamat, mungkin juga setelah itu akhirat.”
Hari ini, segelintir sastera yang peka dengan kondisi sosioekonomi dan politik, berani dan mampu membedah sisi neoliberalisme yang menjerat berbagai aspek kehidupan.
Tantangan hati sesungguhnya semakin menjerat dan respons kebudayaan untuk menyanggah kesempitan dan gempuran yang ada mesti dibuat dengan sedar.
Di sinilah letaknya peranan sastera Global Selatan yang boleh bermanifestasi sebagai karya kreatif yang dihasilkan serta wacana sastera yang dibuat untuk membolehkan kita untuk menghargai dan menilai peranan dan sumbangan sastera kepada masyarakat dan umat sejagat.
Usaha Terdahulu
Solidariti Dunia Ketiga terungkap deklarasi Kemuncak Bandung 1955. Apabila negara-negara yang baru Merdeka bergabung sedar akan penyatuan melawan neo-imperialisme yang masih bermain catur dalam politik dalaman, sedangkan korporat-korporat gergasi dari Barat terus menjarah ekonomi negara-negara membangun.
Kebergantungan ekonomi terhadap negara-negara Barat harus digantikan dengan ekonomi mandiri atau bekerjasama sesama negara Dunia Ketiga.
Kesedaran bangsa yang terjajah untuk bangun menentang penjajahan dan hegemoni Barat, bertolak daripada kesedaran peringkat global apabila para pemimpin di Asia dan Afrika sedar bahawa kerjasama mereka penting.
Tercatat sebilangan penulis dari Asia yang memperlihatkan solidariti kepada penulis kulit hitam yang sedang berdepan dengan apartheid baik di Amerika mahupun Afrika.
Tantangan Masa Kini
Hari ini bukan sahaja dominasi Barat dalam ranah ekonomi, ilmu dan budaya, ia juga telah mencorakkan cara kita membaca dan meneliti sastera.
Sastera menjadi lembah bagi mereka yag mencari kepuasan estetika semata, sedangkan kehidupan yang dihimpit dari luar dan dalam tidak sudah tercabut kesedaran dan kepedulian.
Aliran yang konon berkecuali, seperti sudah dijangkiti pemahaman depolitisasi (menjauhi hal kekuasaan) dengan alasan sastera harus murni, indah dan malah tidak berpihak.
Kajian dan pendidikan sastera menjadi lebih formal dan kaku dengan deretan berteori tetapi tidak sanggup memperjuangkan apa yang telah diangkat oleh para penulis, entah ia wajar atau sebaliknya.
Inilah krisis yang melanda hari ini. Bandingkan dengan penulis besar kita daripada generasi sebelumnya, akan kita ketemukan jurang besar.
Singgungan tentang perkara ini oleh Rendra berguna kita pertimbangkan:
“Kalau orang kalah, pikirannya tidak berdaulat, tidak berani berpikir. Orang kalah itu mengalami depolitisasi. Depolitisasi itu menyebabkan deintelektualisasi. Pokoknya pembodohan, dan kepasifan masyarakat. Selama itu, materialisme berkembang tanpa imbangan…Kemerdekaan kita ini baru sampai pada kemerdekaan negara, belum kemerdekaan bangsa. Ukurannya bangsa merdeka atau tidak itu adalah apakah bangsa itu mempunyai hak hukum atau tidak. Baik yang vertikal atau horisontal."
Bandingkan Belahan Global Selatan
Dunia sastera kita memerlukan gagasan kritis yang ada sisi rekonstruktif (membina). Ini sekali gus mengajak kita mempertimbangkan signifikannya wacana sastera Global Selatan.
Menyebut tentang solidariti, Paulo Freire menegaskan “solidariti itu harus dibentuk dalam diri, kelakuan dan keyakinan kita.”
Bersolidariti dengan nasib rakyat Palestin, bererti kita berani menolak apa jua kekerasan, pembunuhan dan penafian hak.
Solidariti bukan sahaja kepada rakyat yang terazab ini, tetapi juga bersolidariti dengan penulis Palestin yang selama ini menjadi penyuara kepada hak dan maruah rakyat Palestin, seperti Ghassan Kanafani, Mahmoud Darwish dan Edward Said.
Maka barisan sasterawan dan pengkaji sastera kita yang peka dengan apa yang berlaku di merata dunia, maka mereka boleh menjadi jambatan untuk kita ambil tahu akan keadaan umat manusia yang lain.
Perhatikan keluhan Rendra:
“Bangsa kami masih menderita cacat kebudayaan: sebagai akibat dari penindasan kolonialisme Belanda yang bersekutu dengan raja-raja agraris bangsa kami sendiri. Kebudayaan dagang kami telah rusak dan belum pulih lagi sampai sekarang. Dominasi kekuatan ekonomi asing masih berat menekan bangsa kami, sehingga merembet menjadi pengaruh politik juga. Oh! Seribu satu masalah masih harus dibereskan.”
Kesejahteraan rakyat harus terbela, kemiskinan disuarakan, kesatuan masyarakat berbilang kaum ditegaskan, perbezaan kelas sosial ditegur, perundangan yang melindungi untuk setiap seorang terjamin.
Dalam sastera Melayu, tantangan seperti ini mendapat tempat dalam imaginasi penulis.
Contohnya, Harun Aminurrashid menawarkan sejarah dari kaca mata peribumi, Masuri S N yang berpuisi untuk kemanusiaan yang tidak mengenal latar budaya dan kelas, Kassim Ahmad bersolidariti dengan pejuang Afrika, Usman Awang melawan perkauman yang diwariskan dari penjajahan, Adibah Amin yang menyuarakan hak wanita, Shahnon Ahmad yang mengingatkan kemiskinan yang melaparkan anak bangsa.
Di Indonesia, Pramoedya dan Mochtar Lubis mengkritik feudalisme, kolonialisme dan imperialisme baharu. Rendra menghentam autoritarianisme yang seganding dengan pemodal luar. Toety Heraty menegur patriaki dan bias jantina, manakala Seno Gumira Ajidarma membingkiskan pelbagai naratif pembungkaman dan tentangan yang berlangsung.
Banyak lagi contoh yang kita berikan. Karya-karya Singapura pasca kemerdekaan banyak membawa tema masyarakat Global Selatan yang berdepan dengan cabaran pembangunan dan globalisasi.
Karya-karya daripada Muhammad Ariff Ahmad, Suratman Markasan, Mohamed Latiff Mohamed, Isa Kamari, Rasiah Halil, Hadijah Rahmat, Djamal Tukimin, Hamed Ismail, Jamal Ismail, dan Maarof Salleh adalah antara barisan karya kita yang wajar kita baca, tekuni, bedah dan dibawa ke dalam perbicangan sastera Global Selatan.
Harapan dan Perancangan
Para sasterawan ulung tidak dapat tidak menjadi pemikir dalam masyarakatnya. Mereka sering mengingatkan kita betapa pentingnya gerakan budaya yang mengangkat suara kritis menentang segala bentuk dominasi, serta dapat pula menawarkan jalan keluar atau alternatif.
Namun perlu diingat bahawa mengangkat wacana sastera Global Selatan, bukanlah sikap anti-Barat yang melulu, jauh lagi menolak setiap segala dari Barat.
Semangat Global Selatan mengajak kita berdialog, bekerjasama, berkongsi pengalaman dan inspirasi dan saling bekerjasama untuk membangunkan dunia yang lebih adil, aman, sejahtera, maju dan manusiawi.
Atas semangat kerjasama inilah kita menganjurkan kegiatan MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) yang dianggotai Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Tahun ini kita menjadi tuan rumah untuk dua kegiatan tahunan utama MASTERA, yakni Seminar Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT).
Semoga dunia sastera tanah air kita sama-sama maju berdepan dengan tuntutan dan cabaran masa kini.
Itulah dunia sastera yang membawa kita ke depan bersama budaya sastera dunia yang lainnya. Semoga kita membangunkan kemanusiaan sastera yang unggul untuk dunia.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.