Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Gelora Rindu Demi Tunaikan Haji

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Gelora Rindu Demi Tunaikan Haji

Para jemaah haji menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, pada 2 Jun 2025. (Gambar: Saudi Press Agency/Handout melalui REUTERS)

Diterbitkan : 25 May 2026 08:45PM
SINGAPURA: Di sebalik suasana tegang perang Timur Tengah kini, semangat menunaikan haji masih berkobar syahdu.

Malah angka giliran bakal jemaah di negara-negara Asia Tenggara, rantau terbesar kelompok umat Islam, sudah mencapai ‘ratusan tahun’.

Mohd Raman Daud menilai jerih rohani ummah.

Menyaksikan sepupunya, seorang wanita berusia 65 tahun, seorang balu tanpa teman, didakap erat anak, menantu dan cucu, di dewan keberangkatan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, tertusuk hatinya:

“Kesian Ani, dalam suasana perang belum selesai, pergi haji. Tapi, bila pula giliran aku?”

Pertanyaan itu diiringi lelehan air mata – gembira melihat sepupunya yang walaupun sukar berjalan akhirnya dapat menjadi Tetamu Allah, dan sayu pilu memikirkan bahawa detik gilirannya pula lagi 15 tahun!

“Entah-entah aku tak sempat?,” kata hati kecilnya yang menyesali tindakannya berlengah ketika diajak sepupunya mendaftar masa muda dahulu.

DILEMA PENANTIAN

Itu hanya satu daripada ribuan juta contoh resan hati orang Islam warak. Sebabnya, menunaikan ibadah haji adalah ‘pelengkap’ Rukun Islam Kelima. Maka itu, ia membuak-buak dalam jiwa.
Related article image
Sekitar 300 jemaah Singapura berlepas dalam penerbangan pertama bagi menunaikan ibadah Haji pada 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Aqil Ezat)
Hakikatnya, kuota haji amat terhad iaitu seorang dalam 1,000 Muslim. Kuota itu memang wajar ditegaskan kerajaan Arab Saudi selaku pemelihara dua Tanah Suci (Al-Haramain). Ia disepakati oleh majoriti negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hampir empat dekad lalu. Ketika itu jumlah umat Islam sekitar 870 juta jiwa. Kini, angkanya 1.8 bilion, dan pada 2050 pula diunjurkan sehingga 2.8 bilion jiwa, iaitu penganut agama terbesar di dunia!

Buat masa ini, hanya dua juta orang yang termuat di Padang Arafah seluas 18km persegi iaitu tempat utama rukun haji pada 9 Zulhijah. Bagaimana agaknya jika di padang ini dibina bangunan bertingkat-tingkat bak estet HDB kita?

Sebab itulah, tempoh menanti giliran haji umumnya terus melangit. Di Malaysia, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) menegaskan giliran “yang dahulu didahulukan”, tempoh menunggu sudah mencecah 146 tahun!
Related article image
Di Malaysia, tempoh tunggu untuk menunaikan haji sudah mencecah 146 tahun. (Gambar: Bernama)
Menanti memang satu ujian kesabaran besar. Ertinya, setiap Muslim yang memenuhi syarat iaitu mampu dari segi kewangan dan kesihatan, belum pasti sempat naik haji. Demi mencari jalan pintas, ada yang sanggup menempah pakej haji V.I.P atau Furoda yang amat mahal (50-100 peratus kos haji rasmi) walaupun di luar ‘urusan rasmi’ dan bahkan dicap ‘haram’ oleh pihak berkuasa Saudi.

Pakej terlarang itu pada mulanya tampak lolos sehinggalah berlaku kejadian tidak diingini seperti rempuhan, ketiadaan penginapan dan sebagainya. Kerajaan Saudi telah mengetatkan urusan melalui teknologi canggih seperti pendaftar menerusi telefon bijak. Pemantauan dan pengawalan diperketat. Akibatnya, ramai jemaah tanpa visa haji rasmi diberkas dan dihantar pulang gigit jari.

UJIAN KEADAAN

Suasana ‘perang’ seperti antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran kini bukanlah suatu yang asing dalam menjejas urusan haji. Antara lain, buku ‘Kapal Haji’ (2018) tulisan Anthony Green dan saya, menderetkan sekilas butiran sejarah cabaran haji.
Related article image
Buku ‘Kapal Haji’ (2018). (Gambar: Facebook/Singapura Stories)
  • Sengketa

Pada 629M iaitu tiga tahun sebelum wafat Rasulullah, ibadah haji telah dibatalkan buat kali pertama. Sebabnya adalah pembunuhan beramai-ramai di Bukit Arafah. Sekta Qarmatian pimpinan Abu Taher Al-Janabi mendakwa haji adalah upacara pagan dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Makkah dan laluan hajinya.

Kaumnya mencuri Hajar Aswad (batu hitam suci) dan ibadah haji ditangguhkan sekitar 10 tahun. Hajar Aswad hanya ditemui pada tahun 952M, selepas wang tebusan dibayar oleh Kerajaan Abbasiyah. Beberapa sejarawan melaporkan bahawa lebih daripada 30,000 jiwa punah akibat peperangan itu.
Related article image
Batu hitam suci, Hajar Aswad. (Gambar: Instagram/pilgrimsocial)
  • Wabak

Wabak maut melanda Makkah pada 967M yang mengakibatkan ribuan terkorban dan mendorong ibadah haji dibatalkan.

Pada tahun 1831, wabak yang mengerikan dari India telah menular ke Makkah. Sekitar 75 peratus jemaah haji maut akibat wabak dan urusan haji terpaksa digantung serta-merta.

Pada tahun 1837-1840, 1846 dan 1858, Makkah dilanda suatu wabak sehingga ibadah haji dibatalkan.

Wabak COVID-19 menyebabkan kerajaan Saudi menutup Masjidil Haram di Makkah. Pada Mac 2020, selepas mengambil langkah berjaga-jaga, Masjidil Haram dibuka secara terhad untuk sejumlah kecil penduduk tempatan sahaja.
Related article image
Para Jemaah menunaikan haji semasa penularan pandemik COVID-19. (Gambar: Bernama)
Saya masih ingat pengalaman (almarhum) bapa saya naik haji pada November, 1979. Berlaku pengepungan oleh 600 anggota kumpulan pengganas diketuai Juhayman al-Otaybi di Masjidil Haram. Sebutir peluru sesat tembus kain ihram bapa saya. Selepas dua minggu, pasukan keselamatan Saudi dengan bantuan Perancis, berjaya menumpaskan kepungan.

PERSIAPAN ROHANI

Dalam menelusuri tempoh menanti tunai haji yang panjang, umat Islam diuji dari sudut kesabaran dan keikhlasan. Demikian menurut pandangan ulama termasuk Dr Muhammad Haniff Hassan. Walaupun zahir belum sampai ke Makkah, persiapan rohani dan ilmu manasik (kaedah melaksanakan haji) boleh diperhalusi dari semasa ke semasa.

Selain itu, tempoh panjang ini membolehkan umat Islam untuk terus memperbaiki ibadah harian, membersihkan hati, dan memperbanyak amalan sunat lain yang pahalanya seperti naik haji.

Gelora perasaan itu juga boleh disalurkan dengan melakukan ibadah umrah terlebih dahulu sebagai pengubat rindu, sementara menunggu undangan Duyufurrahman (ضُيُوفُ الرَّحْمَٰن) atau ‘Tetamu Allah’ di Tanah Suci.

Tentulah ada hikmah besar lagi indah di sebalik kesabaran tadi. Antara lain, ia mendidik jiwa Muslim bahawa ibadah haji adalah undangan istimewa atau eksklusif hanya daripada Allah SWT.

Kerinduan yang memuncak itu juga secara tidak langsung meningkatkan nilai ibadah tersebut di mata umat Islam. Apabila seseorang terpaksa menunggu sekian lama, nilai pengorbanan itu menjadi lebih tinggi, dan mereka akan lebih menghargai setiap detik berada di bumi Haramain berbanding mereka yang mendapat “peluang mudah”.
Related article image
Gambar fail yang menunjukkan pemandangan di Makkah. (Gambar: Bernama)
Rasulullah telah mengerjakan umrah beberapa kali tetapi hanya SEKALI haji dalam hidupnya – bak isyarat agar umat Islam memahami hikmah ini dengan penuh teliti. Jika masih tidak kesampaian, ada banyak amalan dalam Islam yang pahalanya serupa haji, termasuk mengerjakan umrah yang lebih mudah diperolehi visanya.

PENAWAR AI

Hakikat bahawa ramai umat Islam perlu menunggu tempoh yang sangat lama untuk menunaikan haji adalah satu ujian realistik dalam dunia pascamoden ini. Ada seorang teman menyarankan agar diwujudkan gambaran realiti maya (VR) menerusi kecerdasan buatan (AI) untuk mengubati rasa rindu bakal jemaah yang menunggu terlalu lama dan mungkin tidak sempat. Dalam realiti maya ini, seolah-olah seseorang dibuai mimpi mengerjakan haji.

Waima, umat Islam perlu melihat penantian ini sebagai satu proses tarbiah (pendidikan) rohani agar apabila tiba masanya untuk menjadi Tetamu Allah, mereka hadir dengan kemampuan halal, sihat zahir, hati tulus dan bersedia sepenuhnya.
Related article image
Hakikat bahawa ramai yang perlu menunggu tempoh yang sangat lama untuk menunaikan haji adalah satu ujian realistik dalam dunia pascamoden ini. (Gambar: AFP)
MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita