Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Erti ‘Selamat’ Berhari Raya dan Segalanya

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Erti ‘Selamat’ Berhari Raya dan Segalanya

Suasana di Pulau Ubin sempena perjumpaan Hari Raya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SINGAPURA: Ketika menyambut Hari Raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, kata ‘selamat’ sering saja terucap. Apakah ertinya?

Sepanjang Syawal ini, akan melimpah-ruah ucapan ‘Selamat Hari Raya’ yang bertali arus ketika bertemu sanak saudara, sahabat handai sehinggalah di wadah media sosial dan sebagainya.

Menurut budayawan, Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016), sambutan hari kebesaran Islam di rantau ini telah dibudayakan dan begitu juga dengan umat Islam di rantau lain. Maka itu, terpaparlah variasi atau ragam. Pokoknya, ia hendaklah sejajar dengan Syarak, tegas beliau.

Sambutan untuk menyatakan rasa gembira tentulah bersifat ‘doa’ atau ‘harapan’ tertinta pada kata ‘selamat’. Ia berasal daripada kata Arab, سَلاَمَةً. (salaamatan) yang kata akar atau kata dasarnya ialah salaam, سَلَامٌ , yang bermakna damai atau aman.

KATA AMBILAN

Menurut Dr MAS, kata ‘selamat’ merupakan antara ribuan kata ambilan daripada bahasa-bahasa lain yang dibolehkan dalam Bahasa Melayu asalkan ia tidak merosakkan tetapi mengukuhkan perhubungan.
Semakin banyak kedai emas tempatan dilihat menjual jongkong emas bertema Hari Raya tahun ini. (Gambar: Money Max/Facebook)
Hujah Prof Muhd Naquib Al-Attaas, Bahasa Melayu klasik yang menjadi asas Bahasa Melayu moden ‘dipengaruhi’ bahasa Quran kerana majoriti rumpun Melayu telah beragama Islam.

Tambah Dr MAS: “Saya lebih suka guna istilah kata ambilan daripada kata pinjaman atau Inggerisnya, 'loan words'. Sebab, jika dipinjam, maka mestilah dikembalikan. Tapi ini tidak, kita gunakan kata asing sampai bila-bila. Hakikatnya, ambil-mengambil bahasa merupakan perkara biasa.”

Di ruang siber, ‘selamat’ dikatakan asal Bahasa Jawa. Ternyata bukan begitu halnya. ‘Selamat’ disebut "selamet" dalam pelat Jawa yang seiras dengan kata asli Jawa, sugeng yang bererti keadaan aman dan terhindar dari bahaya, serta ucapan atau pernyataan yang disertai harapan dan doa.

Dipercaya ketika zaman dakwah Wali Songo (abad ke-15 hingga 16M) di Jawa, antara perkara yang ditimbulkan ialah konsep ‘selamat’ sehingga terdapat acara doa selamat yang dipanggil slametan.

LEKSIKAL DAN BUDAYA

Menyusuri Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (versi siber), erti ‘selamat’ adalah dwilapis yang luas maknanya tetapi secara ringkas sahaja:
Gambar fail kad Hari Raya. (Gambar: Mediacorp)
Pertama, keadaan aman, damai, tenteram, terhindar dari bahaya, atau ancaman.
Kedua, ucapan atau pernyataan yang biasanya disertai dengan harapan dan doa.


Contoh penggunaan:

• Selamat pagi yang bermakna ucapan/doa agar pagi itu beroleh aman. Waktu pagi: selepas subuh (matahari terbit) hingga tengah hari (pukul 12.00 tengah hari). Ia seiras dengan ucapan Inggeris, "Good Morning".

• Selamat petang/sore (Jawa) merujuk waktu antara pukul 1.00 tengah hari hingga matahari turun iaitu pukul 6.00 petang.

• Selamat malam merujuk waktu antara matahari masuk sehingga matahari terbit (pukul 7.00 malam hingga subuh)

Menurut Dr MAS, ada kala makna leksikal sesuatu perkataan tidak sama dengan makna budayanya. Misalnya, kata ‘juru selamat’ atau ‘saviour’ dalam Bahasa Inggeris sering dikaitkan dengan maksud ketuhanan tetapi ia juga boleh digunakan untuk penyelamat (lifesaver atau rescuer).

Nuansa atau perbezaan halus ini sering belum dapat dikesan oleh enjin carian komputer yang biasa atau kecerdasan buatan (AI).

MENDAMBA ‘SELAMAT’

Lazimnya rumpun Melayu mengharapkan ‘selamat’ hidup di dunia dan selepas itu. Hal ini terkait rapat dengan doa dalam Al-Quran yang memohon Tuhan memberikan keselamatan juga diterjemahkan sebagai ‘kebahagiaan’ atau ‘kesenangan’ hidup di alam ini dan akhirat (alam selepas alam dunia dimusnahkan).
Suasana kampung semasa Hari Raya di Pulau Ubin. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Kononnya konsep ‘selamat’ amat diutamakan oleh orang Melayu sehingga tidak mengapa datang lewat kerana peribahasa ‘biar lambat asalkan selamat’ .

Namun sejumlah peribahasa pernah disalahertikan sehingga dikritik lantang dalam buku Revolusi Mental (1971) susunan Senu Abdul Rahman. Padahal, maksud ‘lambat’ dalam peribahasa itu adalah melakukan sesuatu dengan teliti lagi hemat bak menarik rambut dari dalam tepung.

Begitu kemaruk orang Melayu tentang ‘selamat’ sehingga anak lelaki pun dinamakan Selamat agar hidupnya senantiasa bertuah atau tidak mengalami bencana besar.

UCAP SEBALIKNYA

Di Indonesia, kelaziman menyebut ucap tahniah juga menggunakan ungkapan ‘selamat’, contohnya “Selamat atas penganugerahan ijazah doktor falsafah”. Maka itu, ‘selamat’ bererti sesuatu yang baik. Ia mencakupi maksud ‘tahniah’ atau ‘dirgahayu’.

Maka itu, jangan sekali-kali gunakan ‘selamat’ untuk sesuatu yang negatif atau duka seperti: “Selamat atas pemergian ayah saudara”!

Hakikatnya, amat banyak ucap ‘selamat’ – dari detik lulus peperiksaan, mendapat pekerjaan, memasuki gerbang perkahwinan, menimang cahaya mata sehingga hari jadi. Hal ini menjelaskan peri pentingnya sebutan ‘selamat’ sebagai ucap dan doa.

Namun, ada juga kebalikannya. Inilah ironi dalam kehidupan yang senantiasa tidak sepi daripada gejolak dan cabaran. Mengapa hal ini terjadi?

Dalam cerita rakyat, antara teguran atau nasihat agung ialah jangan ‘menderhaka’ terhadap ibu bapa, terutama ibu. Antara lain, cerita Si Tanggang (Tanah Melayu), Malim Kundang (Minang) dan Nakhoda Manis (Brunei) tertancap dalam minda anak Melayu generasi lama seperti penulis. Seseorang anak tidak akan ‘selamat’ apabila membuat hati ibu bapanya terguris. Islam amat menegaskan hal sedemikian.

Dalam cerita Si Tanggang, seorang ibu tunggal dengan berat melepaskan satu-satu anaknya yang ingin belayar untuk mencuba tuah. Ternyata Tanggang berjaya menjadi nakhoda (malim) sehingga mengahwini seorang puteri.
Babak dalam filem Si Tanggang. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)
Tetapi apabila bahteranya berlabuh di perairan kampungnya, ibunya datang untuk bertanyakan khabar. Dek terlalu malu berdepan dengan seorang perempuan tua yang serba daif, Tanggang tidak mengaku dirinya. Kerana diusir, si ibu berdoa bahawa si anak tidak akan ‘selamat’. Maka turunlah bala dahsyat – dia dan seluruh bahtera/kapal dan isinya menjadi batu!

Oleh itu, diadatkan dalam masyarakat kita bahawa tidak lengkap segala ucap selamat (termasuk Hari Raya) tanpa satu syarat – saling bermaaf-maafan. Terutama lagi, selagi anak tidak berkunjung ke rumah ibu bapa untuk memohon ampun. Itulah sebabnya ada anak yang mencium kaki emaknya kerana syurga diibaratkan di bawah telapak kaki ibu.

Selamat Hari Raya....

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan