Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Erti Lanjutan Melestari Villa Raja Bedok

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Erti Lanjutan Melestari Villa Raja Bedok

Villa 'Raja Bedok' yang terletak di Jalan Haji Salam, Bedok. (Gambar: Instagram/thelionbricks)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 15 Jun 2026 08:08PM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 08:10PM
SINGAPURA: Pengumuman Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bahawa Villa Haji Kahar bakal dilestari, bak menyingkap kisah Bedok, antara kawasan bersejarah di timur Singapura.

Mohd Raman Daud menilai maknanya sesudah buku sejarah lebih 142 tahun Masjid Al-Taqua dilancarkan pada 26 April lalu.
Related article image
Buku ‘Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura'. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Setiap kali melalui Jalan Haji Salam, Bedok, hati saya terasa sayu melihat keadaan sebuah rumah sebandung (banglo) peninggalan tokoh yang pernah digelar ‘Raja Bedok’.

Dan pada 5 Jun lalu, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mewartakan cadangan bahawa ia bakal “dilestari” – merecup rasa syukur bahawa pemerintah cukup peka akan erti sejarah berbanding tuntutan laba niaga belaka.

Villa Haji Kahar (nama asal pemiliknya: Kahar bin Abdul Ranee (ikut ejaan kajian Dr Hadijah Rahmat tapi dieja ‘Ghani’ dalam media) berada dalam sebidang tanah seluas 5,963.2 meter persegi, bertaraf pegangan bebas (freehold) milik HR Property Development, di bawah Hong Realty, iaitu firma dalam Kumpulan Hong Leong.

Ia bakal dimajukan dalam kawasan kediaman privet.

Selain keluarga Haji Kahar, ia pernah didiami keluarga Dr Lee Choo Neo (1895 - 1947), doktor wanita perintis (pertama) di Singapura. Keluarganya telah menjual hartanah ini.
Related article image
Dr Lee Choo Neo (1895 - 1947). (Gambar: Wikipedia/Song Ong Siang/CC BY-SA 4.0)
USAHAWAN MELAYU

Kisah Haji Kahar (1862 - 1940) tersaji dalam buku ‘Kilat Senja’ (2005) karangan dan terbitan Dr (Prof Madya Emeritus) Hadijah Rahmat, dan juga buku ‘Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura' yang juga suntingan pimpinan Dr Hadijah dan baru saja dilancarkan.
Related article image
Buku ‘Kilat Senja’ dan buku ‘Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura'. (Gambar: Raman Daud)
Beliau dipercayai berdarah Banjar (Kalimantan Selatan) dan pernah tinggal di Palembang, Sumatra, dan merantau bersama abangnya, Zainal Abidin (@ Bidin) untuk mencari rezeki di Singapura pada 1882. Sekilas kisahnya terpapar pada Pameran ‘Urang Banjar’ di Taman Warisan Melayu pada 2020.

Bersama abangnya, beliau gigih menerima apa jua pekerjaan sukar untuk memulakan hidup di alamat 900-902 North Bridge Road, termasuk terlibat dalam dagang tukar barang (barter trade). Selepas 20 tahun, beliau berhasil mengumpul modal besar termasuk menjadi pengedar tempatan yang pertama bagi piring hitam gramofon syarikat His Master's Voice (HMV) di kedainya di Muscat Street (depan Masjid Sultan).
Related article image
Sedutan daripada buku ‘Kilat Senja’ mengenai keluarga Haji Kahar. (Gambar: Facebook/Singapura Stories)
Kejayaan ini membariskan beliau bersama para usahawan Melayu gemilang dalam zaman penjajahan British (Barat) di rantau ini. Beliau dan abangnya dikatakan membeli banyak tanah di Bedok, termasuk yang menampung rumah gedungnya (@ gadang) di 1 Bedok Avenue.

Haji Kahar mempunyai dua isteri – yang pertama dari Palembang dan kedua ialah anak saudara (kepada isteri peneroka Bedok, Haji Abdul Salam bin Syed Sulaiman (1805 - 1923). Beliau dikatakan ingin semua anak cucunya berada di bawah satu bumbung di villa gahnya.

Bedok pernah menampung beberapa bangunan milik beberapa Raja Melayu termasuk Pahang. Namun kegigihan Haji Kahar dianggap unggul sehingga digelarkan ‘Raja Bedok’. Beliau dikatakan tawaduk (rendah hati) sehingga menolak saranan agar namanya diabadikan pada nama jalan. Sebaliknya, jalan utama bersempena Haji Abdul Salam (kisahnya juga tertuang dalam ‘Kilat Senja’ dan buku Masjid Al-Taqua).

KEUNGGULAN

Banglo dua tingkat itu terpaksa dijual kepada pihak Tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua (1942 - 1945) dengan bayaran teramat rendah. Selepas itu, ia dikatakan bertukar tangan.

Menurut pakar sejarah dan seni bina, termasuk Dr Imran Tajudeen yang ditukil akhbar The Straits Times, baru-baru ini, villa seabad ini merupakan contoh klasik rumah jenis kompaun (compound – asalnya dari kekata ‘rumah kampung yang berlaman’) iaitu rumah bumbung limas Melayu yang cernakan dengan konsep seni bina Barat, dalam zaman abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Related article image
Villa 'Raja Bedok' terpaksa dijual kepada pihak Tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua (1942 - 1945). (Gambar: Instagram/thelionstories)
Rumah Limas Melayu lazimnya berlantai tinggi (antara lain untuk mengelak banjir dan serangan binatang buas). Kolongnya digunakan untuk keperluan seperti pertemuan tidak rasmi atau menyimpan barangan besar. Sementara lantai pertama untuk menerima tetamu dan bahagian dapur. Lantai kedua untuk kamar tidur.

Tidak syak, villa ini adalah penanda terakhir yang masih utuh yang menceritakan kewujudan Kampung Bedok lama. Ia berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi masa kini dengan sejarah perdagangan dan keusahawanan kaum Melayu pada masa lampau.

TELADAN

Selain kejayaan bidang niaga, Haji Kahar dikisahkan memiliki nilai keperibadiannya yang tinggi iaitu kedermawanan.

Walaupun sibuk menguruskan bidang niaga, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial dan agamanya. Menjelang usia separuh abad, beliau banyak menyumbangkan masa dan tenaganya untuk mengajar al-Quran, termasuk di Masjid Al-Taqua di Jalan Bilal.

Sifat beliau yang sentiasa berbakti kepada masyarakat sekeliling memperlihatkan erti sebuah kejayaan yang sejati. Baginya, kekayaan yang diperoleh turut dimanfaatkan untuk membentuk masyarakat yang berbudi, berilmu dan sejahtera.

Kelestarian Villa Haji Kahar sebagai bangunan warisan dalam transformasi sebuah kelab atau yang bersesuaian, bak jambatan sejarah menyusuri sumbangan tokoh-tokoh awal Melayu agar terus diiktiraf dan dihargai.
Related article image
Villa 'Raja Bedok' yang terletak di Jalan Haji Salam, Bedok. (Gambar: Instagram/thelionbricks)
LANGKAH SELANJUTNYA

Selain menderetkan para tokoh kenamaan Melayu (Prominent Malays) menerusi jalinan laman Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), wajar dipinta sarjana setempat untuk mendokumentasikan kisah mereka.

Malah, cerita mereka didramakan sebagai filem atau siri TV. Dalam ehwal Bedok, kita beruntung kerana masih ada “orang tua-tua” seperti Dr Hadijah yang boleh dipinta sebagai narasumber dalam usaha selanjutnya.

Misalnya, kisah Bedok boleh disusuri dalam rangka pembentukan Singapura sesudah zaman Sang Nila Utama, catatannya dalam peta 1604 oleh pemeta Portugis kelahiran Melaka, Manuel Godinho de Eredia sehingga usaha peneroka Haji Abdul Salam dan usahawan Haji Kahar, kaitan mereka dengan dua masjid, Masjid Laut dan Masjid Darat (Al-Taqua). Ini tentu rempah ratus bagi suatu drama TV bersiri yang menarik.

Ertinya, sejarah Singapura tidak sekadar pada bangunan, nama jalan, catatan buku sejarah, tetapi dipaparkan secara kreatif, apatah lagi dalam zaman kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan proses pembuatan filem.

Antara lain, ini akan “menghidupkan” kerancakan nusa ini sebagai negara yang bukan sahaja berjaya secara ekonomi tetapi mempunyai jati diri warisan berbilang kaum yang teguh dan harmoni.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita