ALAM MELAYU: Di Sebalik ‘Majulah Singapura’
Lembaran muzik asli pertama Majulah Singapura. (Gambar: Zubir Said 'Majulah Singapura'/Facebook)
This audio is generated by an AI tool.
Pada suatu hari dalam awal 2002, saya bertanyakan Pendeta Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016) atau lebih mesra dengan sapaan ‘Cikgu’ Ariff, apakah ertinya Hari Kebangsaan pada dirinya. Waktu itu, kami sedang menyusun memoirnya, ‘Perjalanan MAS’ (terbitan 2003).
“Singapura lain daripada negara lain. Kita merdeka tanpa diduga setelah berpisah daripada percantuman yang sukar dalam Persekutuan Malaysia. Negara lain hendak merdeka, kena berjuang bermati-matian dengan angkat senjata. Tapi tuah kita lain. Maka itu, kelahiran Singapura diperingati sebagai Hari Kebangsaan yang sebenarnya seiras dengan Hari Kemerdekaan,” katanya.
Kemudian, saya bertanya kepadanya tentang peranan beliau dalam menghasilkan Lagu Kebangsaan, ‘Majulah Singapura’. Beliau agak tersentak dan merenung jauh.
PENGGUBAH HEBAT
“Lagu itu gubahan Pak Zubir (Said). Saya cuma bantu sekadar saja,” jawabnya ringkas. “Tak perlulah masukkan dalam memoir saya,” pintanya.
Sebelum ‘Majulah Singapura’, Pak Zubir juga telah diminta menggubah lagu kebangsaan Tanah Melayu yang bakal diisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Namun ia tidak terlaksana kerana antara lain, salah faham antara beliau dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (PTM), Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj (1903-1990). Daripada empat ‘calon’ lagu, akhirnya, kerajaan PTM menerima lagu ‘Negaraku’ (asalnya lagu ‘Terang Bulan’ yang pernah menjadi lagu popular sejak 1920-an dan kemudian dipadankan iramanya dengan seni kata berbeza sebagai lagu rasmi kerajaan negeri Perak).
Sebelum ‘Majulah Singapura’, rakyat Singapura yang dijajah British ini pernah menyanyikan lagu rasmi, ‘God Save the King (kemudian Queen)’ sebelum dan sesudah Perang Dunia II, serta lagu kebangsaan Jepun, ‘Kimigayo’ ketika Pendudukan Jepun (1942-1945).
Pada tahun 1951, Singapura dinobatkan taraf ‘bandar’ oleh Piagam Diraja daripada Raja George VI. Selang tujuh tahun kemudian, barulah pada Julai 1958, Encik Ong Pang Boon (selaku Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Singapura) meminta Pak Zubir Said agar menggubah lagu tema untuk majlis rasmi yang bertajuk ‘Majulah Singapura’. Ungkapan ini dipilih sebagai cogan kata Panggung Victoria yang baru diubah suai pada tahun 1958.
Pak Zubir sudah mengharumkan namanya ketika menjadi penggubah dengan Cathay-Keris Film Productions (1952-1964) dan sebelum itu dengan Shaw Brothers Malay Film Productions, 1949-1952). Begini seni kata asalnya:
Mari kita ra'yat Singapura,
Bangun dĕngan bĕrsatu sama-sama.
Rukon damai dan bantu mĕmbantu,
Supaya kita sama-sama maju.
Kita hidop aman dan sĕntosa,
Kĕrjă samă mĕnuju bahagia !
Chita-chita kita yang muliă :
Bĕrjaya Singapura !
Mari-lah kita bĕrsatu,
Dĕngan sĕmangat yang bahru.
Samua kita bĕrsĕru :
Maju-lah Singapura !
Maju-lah Singapura !
Pada 1959, Singapura mencapai pemerintahan sendiri dan Majlis Bandaraya dibubarkan. Pemerintah berasa amat perlu sebuah lagu kebangsaan demi menyatukan pelbagai kaum di Singapura. Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri Dr Toh Chin Chye (1912-2012) telah ditugaskan dan telah memilih lagu Majlis Bandaraya yang sudah popular. Atas permintaan Dr Toh, Pak Zubir diminta mengubah suai lirik dan rentak lagu itu agar lebih bersemangat.
Dalam wawancara NAS pada 1984, Pak Zubir menceritakan bahawa beliau telah diminta untuk merujukkan karya kepada beberapa orang termasuk ahli bahasa, Cikgu Ariff yang ketika itu (1959) adalah pensyarah di Maktab Latihan Guru (TTC) di Paterson Road.
“Antara lain, Pak Zubir bertanya saya kenapa lagunya perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan. Bukankah Bahasa Kebangsaan itu juga Bahasa Melayu. Saya jelaskan lagu Melayu yang digunakan Pak Zubir dalam lagu-lagunya difahami oleh orang Melayu. Tapi dengan Bahasa Kebangsaan, bermakna Bahasa Melayu yang difahami oleh pengguna Bahasa Melayu dari kaum-kaum lain."
SOLMISASI
“Beliau serahkan kepada budi bicara saya untuk menghalusi seni kata lagunya agar lebih ringkas, padat dan bernas.
“Saya beritahu yang saya ada pengalaman sedikit tentang nota lagu bernombor yang dipanggil solmisasi yang saya pelajari di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kaedah solmisasi juga digunakan Pak Zubir,’’ cerita Cikgu Ariff.
Mari kita rakyat Singapura
Sama-sama menuju bahagia
Cita-cita kita yang mulia
Berjaya Singapura
Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura (x2)
‘Majulah Singapura’ telah diperkenalkan secara rasmi kepada negara ini pada 3 Disember 1959 apabila Yusof bin Ishak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura, ketua negara Singapura. Pada majlis yang sama, yang turut menandakan pelancaran "Minggu Kesetiaan", bendera kebangsaan dan lambang negeri diperkenalkan. Selepas kemerdekaan penuh Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, ‘Majulah Singapura’ secara rasmi menjadi Lagu Kebangsaan republik ini.
DOA MUSTAJAB
Sejak perkenalan itu, jalinan Pak Zubir dengan Cikgu Ariff agak akrab. Malah Cikgu Ariff menghantar puterinya, Shahrulbariah untuk belajar main piano di bawah bimbingan Pak Zubir. Sejumlah lagu, termasuk lagu Maktab Rendah Kebangsaan
(NJC) dan Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) mengalunkan seni kata Cikgu Ariff dengan iramanya gubahan Pak Zubir.
“Pak Zubir memang tokoh besar dengan lebih seribu lagu tapi merendah hati. Hubungan kami mesra macam pakcik dengan anak saudara. Beliau menghasilkan kad hari raya yang terus dikirimkan kepada saya sehingga menjelang akhir hayatnya,” ujar Cikgu Ariff yang menyebut seorang dua komposer yang menolong dalam ‘menyemarakkan’ Lagu Kebangsaan itu.
“Saya nilaikan Lagu Kebangsaan kita sebagai sederhana tanpa kata-kata patriotik yang membakar jiwa. Namun isinya seperti kata Pak Zubir tetap sebagai doa atau pengharapan untuk negara ini agar terus maju dan membina peradaban,” tambah Cikgu Ariff.
Pernah timbul permintaan pada 1990-an agar Lagu Kebangsaan Singapura sewajarnya dalam bahasa kerja, Bahasa Inggeris, ketika banyak lagu pertiwi digubah dalam bahasa antarabangsa itu. Namun kempen pemerintah untuk menyedarkan warga tampak berhasil setakat ini.
Yang pasti dan lebih utama pada teras ‘Majulah Singapura’ yang menjadi ikatan antara warga Singapura dari Generasi Perintis sehingga kini ialah pegangan falsafah Pak Zubir yang tersulam halus daripada peribahasa Minang – ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.