Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Dari Upah Menteri Ke Rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Dari Upah Menteri Ke Rakyat
Perdana Menteri Lawrence Wong menjawab soalan para Anggota Parlimen. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 15 Sep 2026 06:13AM
  • Artikel membincangkan semakan gaji menteri di Singapura yang menarik perhatian ramai serta perdebatan di Parlimen.
  • Penulis menyorot konsep upah dalam budaya Melayu, merangkumi aspek kebendaan dan kerohanian, serta peranan peribahasa dan tokoh seperti Dr Muhammad Ariff Ahmad dan Imam Al-Ghazali.
  • Upah dianggap lambang kemerdekaan dan keadilan, dengan penekanan bahawa ganjaran harus setimpal dengan mutu kerja dan ihsan.
  • Penulis menegaskan pentingnya upah yang berpatutan agar pemimpin menjadi teladan terpuji, selaras dengan nilai Islam dan adat Melayu.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Semakan gaji menteri atau penjawat politik menarik perhatian luas. Apakah erti upah menurut budaya Melayu? Mohd Raman Daud meninjau konsep upah antara ganjaran rohani sehingga kebendaan.

Dulu ada sembah, ada kurnia (peribahasa lama); tapi kini: ada kerja, ada gaji.

Itulah yang sering dinyatakan menerusi peribahasa Melayu yang menilai erti ‘upah’ yang selalunya dikaitkan dengan taraf si pembuat dan apakah hasil kerjanya dihargai oleh pengupahnya. Demikian, menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016) dalam adikaryanya, ‘Nilam’ (2007) dan buku peribahasanya, ‘Mutiara Bijaksana’ (2011).
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924 - 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Related article image
Buku 'Nilam' (2007) oleh Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Facebook/BOOK POINT PTE LTD)
Dua pekan lalu, semakan gaji menteri dilakukan selang 15 tahun. Bahas panas berlangsung di luar dan dalam Parlimen. Dalam pada itu, berlaku sorotan dunia pada Singapura kerana masih meneruskan amalan gaji menteri tertinggi di jagat ini.
Related article image
Para Anggota Parlimen di parlimen pada 10 September 2026. (Gambar: CNA)
KONSEP UPAH

Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia menyenaraikan banyak istilah yang berkaitan dengan ‘upah’ - daripada makna yang bersifat kebendaan kepada kerohanian (spiritual).

Umumnya, ‘upah’ ialah wang dan sebagainya yang diberikan kepada orang yang disuruh melakukan sesuatu. Ia boleh juga disebut ‘bayaran’, ‘ganjaran’, ‘imbalan’ sehingga ‘gaji’. Bahkan ‘hadiah’ juga dianggap upah walau diberi nama ‘sagu hati’ sehingga ‘cenderahati’. Namun setiap satu ada perbezaan halus atau ‘nuansanya’ menurut keadaan, tempat dan masa.

‘Makan (ambil) upah’ bererti bekerja untuk mendapatkan bayaran atau menerima upah daripada kerja yang dilakukan. ‘Mengupah’ bermakna menyuruh seseorang membuat kerja dengan memberikan bayaran. ‘Upahan’ ialah orang yang bekerja dengan menerima upah atau sesuatu yang diupah.

Amalan berbuat baik sesama manusia dinilai sebagai menabur ‘budi’ dan upahnya bersifat ‘sanjungan’ daripada masyarakat.

Tapi apabila dikaitkan hubungan manusia dengan Tuhannya, amalan baik itu dianggap dibayar sebagai ‘pahala’ yang boleh dirasai dalam bentuk ‘rezeki’ daripada Tuhan sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Demikian kata Prof. Hamka dalam karya klasiknya, ‘Lembaga Budi’ (edisi pertama: 1939, dan mutakhir: 2023).
Related article image
Prof Hamka (nama penuh Haji Abdul Malik Karim Amrullah, 1908 - 1981). (Gambar: Wikipedia/Vendolique)
Related article image
Buku ‘Lembaga Budi’ (Edisi pertama: 1939, dan mutakhir: 2023). (Gambar: Facebook/PTS)
EKONOMI MODEN

Konsep upah bagi pelbagai pekerjaan dalam menghasilkan barangan dan khidmat termasuk berdagang sehingga menyimpan telah lama dinilaikan dengan ‘wang’. Kaitan ini disorot Imam Al-Ghazali (1058 - 1111M), alim besar Islam, yang mengutarakan cerakinan luar biasa kerana mendahului zamannya. Malah, ada sarjana beranggapan bahawa beliau perintis bidang ekonomi moden.

Menurut Imam Al-Ghazali, ‘wang’ cerminan upah khidmat atau nilai benda. Wang mesti disalur dan dilaburkan. Ia tidak boleh disimpan begitu sahaja kerana akan menjejaskan kebajikan ramai. Oleh itu, tanpa ‘upah’ bersandarkan nilai wang, kepentingan khidmat dan barangan akan ‘lebur’ begitu sahaja.

Apabila ‘upah’ tidak diberi, maka suatu pekerjaan itu dianggap sebagai tindakan ‘perhambaan’ - ini berlaku luas pada zaman dahulu. Tetapi pada zaman mutakhir, perhambaan seks melalui pemerdagangan manusia (human trafficking) masih dapat dikesan.
Related article image
Sekiranya tiada upah diberikan, sesuatu pekerjaan boleh dianggap sebagai satu bentuk perhambaan. (Gambar: CNA)
Selain itu, jika kerahan dibuat ke atas rakyat seperti dilakukan oleh raja atau pembesar pada zaman feudal, maka ‘upah’ juga tidak diberikan. Penjajah atau penakluk juga menggunakan kaedah ini ke atas negeri yang dijajah.

Cikgu Ariff pernah menceritakan dalam memoirnya, ‘Perjalanan MAS’ bahawa beliau nyaris-nyaris ditawan untuk menjadi buruh paksa bagi pembinaan landasan kereta api ‘maut’ di sempadan Burma (kini Myanmar) dengan Siam (Thailand) sewaktu Pendudukan Jepun. Mujurlah seorang pegawai Jepun terlihat lencana bunga sakura yang dipakainya.

Jelaslah, ‘upah’ merupakan sesuatu yang melambangkan ‘kemerdekaan’. Namun setakat mana ‘merdeka’ seseorang itu? Para pujangga - dari ahli falsafah sehingga para pakar ekonomi semasa - masih membahaskannya.

Teras hukum Islam ialah adil dan ihsan. Maka itu, hujah Imam Al-Ghazali, upah haruslah mencerminkannya iaitu ‘ganjaran’ diberikan untuk kerja seseorang menurut ketentuan (spesifikasi) dari segi mutu dan tempohnya.

Contohnya, Ali seorang jurukimpal (welder) mengikat janji (kontrak) untuk menyiapkan sebuah bot dalam waktu sebulan. Namun tugasnya selesai dengan jitu dalam tempoh tiga minggu. Apakah Ali dibayar dengan ‘upah yang ditetapkan’? Menurut rumus Imam Al-Ghazali, Ali wajar mendapat upah tambahan sebagai ihsan menghargai kecekapannya.

UPAH MELAYU

Banyak peribahasa kita memancarkan peri penting ‘upah’ dalam urusan masyarakat seperti ‘upah lalu, bandar tak masuk’ yang bermaksud: Pekerjaan atau usaha yang tidak mendatangkan hasil atau keuntungan sedikit pun, melainkan membawa kerugian semata-mata.

‘Upah bidan pun tak terbayar’ bererti perihal anak-anak yang sangat nakal, degil, dan sentiasa menyusahkan ibu bapa mereka. ‘Besar bungkus tidak berisi, besar upah daripada kerja’ pula bermakna seseorang yang bercakap besar tetapi tidak mempunyai bukti atau kebolehan, atau orang yang menerima bayaran yang tinggi tetapi hasil kerjanya sangat sedikit.

Kita sudah terbiasa dengan simpulan bahasa seperti ‘makan gaji’ (erti: bekerja dengan orang lain atau firma untuk meraih upah atau gaji tetap). Di Jepun, banyak istilah Inggeris digunakan seperti ‘sarariman’ (salaryman) yang serupa dengan ‘makan gaji’.

Namun kita tentu juga faham bila disindir makan ‘gaji buta’ iaitu menerima upah atau gaji tetapi pada hakikatnya, culas atau ‘curi tulang’.

Islam dan adat Melayu mengajarkan kita agar ‘berpada-pada’ atau ‘patut’ dalam setiap tindakan, pesan budayawan Riau, Dr. Tenas Effendy (@ Pak Tenas, 1936 - 2015). Maka itu, ‘upah’ juga haruslah berpatutan - tidak berlebihan dan tidak berkurangan - iaitu setimpal pada kelayakan pelaku, tuntutan tugasnya dan mutu penghasilannya.
Related article image
Pak Tenas Effendy. (Gambar: YouTube/Gahara)
Related article image
Buku ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu’ oleh Tenas Effendy. (Gambar: Facebook/Bukuku Press)
Maka itu, dengan mengambil kira mesej buku Pak Tenas, ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu’, diharap ‘upah tinggi’ kepada menteri akan menjadikannya ‘pemimpin terpuji’:

Menjadi pemimpin dia terpuji
Dipuji orang baik budinya
Dipuji orang petuah amanahnya
Dipuji orang taat setianya
Dipuji orang hasil kerjanya
Dipuji orang kepemimpinannya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita