Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Cabaran Cipta Peribahasa Baharu

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Cabaran Cipta Peribahasa Baharu
Profesor Nor Hashimah Jalaluddin, dari Universiti Malaysia Perlis menyampaikan syarahannya yang bertajuk ‘Ta'dib, Ta'lim dan Akal Budi Masyarakat Melayu dalam Peribahasa: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik terhadap Konsep Kerendahan Hati dan Kebijaksanaan Sosial’. (Gambar: BERITA Mediacorp/Aqil Ezat)
Diterbitkan : 23 Oct 2026 06:07AM
MALAY WORLD: The challenge of creating new proverbs
  • Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin discussed Malay proverbs at the MAS IV Inaugural Lecture on 17 October in Singapore, attended by about 80 participants.
  • She explained that proverbs are not merely elegant expressions, but also preserve observations about nature, knowledge and philosophy, and teach society about etiquette, humility and social wisdom.
  • The examples of “batok or batuk” and “pagar or pegar” illustrate disputes over meaning and possible origins, including her interpretation that “pagar” refers to a spell or incantation.
  • Under the MAS heritage initiative, which began in 2013, the lecture encouraged the teaching of proverbs. Teachers and parents were urged to relate them to everyday life, while modern society can create new proverbs that reflect contemporary wisdom.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Peribahasa memang warisan lama atau pusaka. Tapi dapatkah pengamatan insan Melayu semasa dengan daya kreatif dan pencapaian ilmunya menghasilkan peribahasa baharu?

Mohd Raman Daud menyusuri persoalan ini dalam rangka mencerna isi Syarahan Perdana MAS IV oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin.

Peri pentingnya peribahasa sebagai cerminan falsafah dan warisan Melayu memanglah suatu kenyataan yang sukar dinafikan. Namun apakah warisan ini terus relevan dan apakah tiada usaha berhikmah untuk mencerna dan ‘menambah’ nilainya?

Itulah persoalan di benak saya ketika mengikuti penyampaian rancak dan mencuit hati Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin bertajuk ‘Ta'dib, Ta'lim dan Akal Budi Masyarakat Melayu dalam Peribahasa: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik terhadap Konsep Kerendahan Hati dan Kebijaksanaan Sosial’.
Related article image
Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin. (Gambar: Facebook/Institut Pendidikan Nasional (NIE))
Related article image
Syarahan Perdana MAS IV diadakan di The POD, Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Singapura pada 17 Oktober 2026. (Gambar: Facebook/National Institute of Education (NIE))
Beliau menyampaikannya sempena Syarahan Perdana MAS IV pada Sabtu, 17 Oktober lalu, di The POD, Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Singapura.

Acara anjuran Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dihadiri sekitar 80 peserta

Antara lain, mahaguru (profesor adjung) yang kini mengajar di Universiti Malaysia Perlis itu menyatakan:
 
  • Lebih Daripada Hiasan: Beliau menegaskan bahawa peribahasa Melayu bukan sekadar ungkapan indah yang berkias belaka. Ia sarat dengan khazanah ilmu, falsafah mendalam, dan nilai kehidupan yang tinggi.
  • Pengamatan Alam: Nilai-nilai di dalam peribahasa terbentuk daripada hasil penelitian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu lama terhadap alam sekeliling mereka.
  • Wadah Membentuk Adab (Ta'dib & Ta'lim): Peribahasa berfungsi secara berkesan sebagai wadah menyemai ilmu atau mendidik (Arab: ta'lim) dan membentuk adab (Arab: ta'dib), tingkah laku, serta mengukuhkan hubungan harmoni sesama manusia. Dua istilah Arab ini dipopularkan oleh Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib Al-’Attas (1931 - 2026).
Related article image
Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib Al-’Attas (1931 - 2026). (Gambar: Bernama)
  • Pedoman Masyarakat: Sebagai mahaguru bidang cerakinan (analisis) semantik (makna) dan pragmatik, beliau berhujah bahawa peribahasa mengajarkan konsep kerendahan hati dan hikmah masyarakat. Ini bertujuan melahirkan insan beradab, menyayangi alam, dan tahu membawa diri.

Syarahan Perdana ini merupakan sebahagian daripada prakarsa warisan (endowmen) Almarhum Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS) yang dibentuk sejak 2013, dalam rangka merangsang perkongsian ilmu serta memperkasakan pengajian bahasa, sastera, dan kebudayaan Melayu di peringkat serantau dan sejagat.

TENGKARAH

Prof. Dr. Nor Hashimah, 65 tahun, anak Pontian, Johor, memang prolifik dalam menghasilkan makalah dan buku mengenai bahasa dan persuratan Melayu, terutama dalam merungkai ‘makna’ dalam peribahasa seperti buku, ‘Semantik dan Akal Budi Melayu’ (2014).

Beliau gigih membuat kajian di lapangan, misalnya mengkaji dialek masyarakat Melayu Satun di sebuah pulau kecil tidak jauh dari Langkawi berbanding dengan Melayu di Satun, selatan Thailand.
Related article image
Buku ‘Semantik dan Akal Budi Melayu’ (2014). (Gambar: Facebook/KOLEKTOR BUKU2 SEMALAYSIA)
BATOK atau BATUK?

Menurutnya, orang Melayu Dulu sering mengamalkan ‘basuh kaki’ sebelum masuk ke rumah. Gayung yang digunakan diperbuat daripada tempurung kelapa atau batok. Maka terhasillah peribahasa ‘seperti melepaskan batok di tangga’ yang bermaksud bersikap sambil lewa atau tidak serius terhadap sesuatu hal penting.

Timbul tengkarah atau kontroversi, apakah ‘batuk’ (batuk kecil tanda ‘sudah tiba’) atau 'batok' (tempurung yang dibuat gayung). Tanggapan popular menyatakan ia berasal daripada kesilapan ejaan Jawi (باتوق) ke Rumi.

Perkataan asal dipercayai ‘batok’ (daripada Bahasa Jawa). Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924 - 2016) yang menyifatkan “peribahasa sebagai hadis orang Melayu” kepada penulis:
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924 - 2016). (Gambar: Mediacorp)
“Orang Melayu Dulu pakai tempurung atau batok untuk mencedok air daripada tempayan di kaki tangga bagi membasuh kaki.” Selepas digunakan, sering batok tadi dibiar atau dilepaskan begitu sahaja di tangga tanpa ditaruhkan kembali ke tempat asalnya. Ini melambangkan kerja yang tidak sempurna atau sambil lewa.”

‘Batuk’ (berdehem) adalah amalan bertamu pada zaman dahulu. Iaitu, seseorang yang mahu naik (tangga) ke rumah orang akan berdehem atau membuat batuk kecil di tangga sebagai tanda isyarat atau salam kehadiran sebelum naik.

PAGAR atau PEGAR?

Bagaimana pula dengan peribahasa ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’ yang bermaksud mendamba bantuan seseorang, tetapi bantuan itu memburukkan keadaan atau menambah kesukaran.

Sekali lagi, masalah ejaan Jawi lama (ڤݢر) ke Rumi timbul. Menurut cerita, bersawah di Kedah menuntut si pesawah memasang pagar sebagai lambang kawasan miliknya. Tetapi adakalanya pagar tadi tumbang sehingga merosakkan padi yang ditanam. Namun timbul pandangan bahawa ia dimaksudkan burung pegar yang dipelihara dan diharapkan memakan serangga yang merosakkan padi. Tetapi burung ini ternyata memakan hasil padi.

Prof. Dr. Nor Hashimah pula berpendapat bahawa ‘pagar’ bermaksud jampi atau mantera yang dibacakan demi ‘memagari’ kawasan agar selamat atau terlindung. Tetapi ‘salah’ mantera membawa padah.

MENJANA MAKNA

Lazimnya, perkataan daripada sesuatu bahasa tidak wujud statik atau kaku. Ia berkembang daripada makna harfiah kepada makna kognitif sehingga makna akal budi dan falsafah. Ini sejajar dengan perkembangan atau peradaban sesebuah masyarakat yang menggunakan bahasa itu.

Sebagai pakar menekuni bidang pemaknaan dalam rangka ilmu linguistik, Prof. Dr. Nor Hashimah (juga Presiden Persatuan Linguistik Malaysia), menekankan peri pentingnya masyarakat mempunyai pemikiran waras atau rasional. Membina pemikiran menerusi ilmu menjadi teras kepada pembentukan hikmah atau akal budi. Oleh itu, pendidikan amat mustahak dari kecil sehingga menjadi amalan sepanjang usia.

Dari segi peribahasa, para guru dan ibu bapa yang prihatin perlu membimbing anak didik mereka untuk menghargai warisan ini. Pembelajaran di sekolah, misalnya, harus menjadikan ia seronok lagi menarik untuk mengupas konteks maknanya dengan kehidupan masa lalu dan kini serta akan datang.
Related article image
Pak Tenas Effendy. (Gambar: YouTube/Gahara)
Menurut budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936 - 2015), di kawasan Riau Lingga sahaja mungkin ada 10,000 kuntum peribahasa.

Oleh itu, warisan ini perlu terus digali. Namun Prof. Dr. Nor Hashimah akur peribahasa boleh berkembang. Ia boleh diciptakan oleh masyarakat pascamoden, termasuk di kota raya metropolitan seperti Singapura selagi ada hikmah semasa tentang keadaan masyarakat dan sekitarannya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita