Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Budi Mansor Dalam Gema Gong MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Budi Mansor Dalam Gema Gong MENDAKI
Kongres Mendaki dirasmikan Perdana Menteri Lee Kuan Yew pada Mei 1982. (Gambar: Facebook/Abdul Halim Kader)
SINGAPURA: Pelan kerja 5 Tahun Yayasan MENDAKI di bawah agenda MENDAKI 2030 yang didedahkan baru-baru ini memancarkan kejayaannya sejak ditubuhkan pada 1981. Mohd Raman Daud berkongsi sejarah sepintas lalu antara tokoh dan liku sejarahnya.

Sewaktu Yayasan MENDAKI (YM) dirasmikan pada kongres pertamanya, 28 hingga 30 Mei 1982, Tetamu Kehormat Perdana Menteri Pengasas, Lee Kuan Yew, telah memalu gong.

Dalam budaya Melayu, ‘gong dan canang’ bak digariskan oleh Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam karya klasiknya, ‘Bicara Adat dan Tradisi’ (PN, 1993) membawa makna mendalam, bergema dan menyelinap dalam jalinan sanubari zuriat.

Tampaknya paluan gong sulung pada detik bersejarah itu masih terasa. Pelan Kerja 5 Tahun (kedua) YM bertemakan ‘MENDAKI 2030: Sentiasa Bersamamu’ baru saja diumumkan. Ia melambangkan satu lagi titik peralihan genting dalam memperkasa masyarakat Melayu, khususnya dalam bidang pendidikan yang kini diwarnai kecerdasan buatan (AI) di Singapura.

PIKUL AMANAH
Related article image
Kongres Mendaki dirasmikan Perdana Menteri Lee Kuan Yew pada Mei 1982. (Gambar: Facebook/Abdul Halim Kader)
Related article image
Kulit depan dan antara halaman buku ‘Kongres Pendidikan Anak-Anak Islam’ (1982). Dua buku utama dibentangkan di kongres itu – enam kertas bincang (hijau pekat; tertera nama penulis) dan koleksi kertas saran dan mesyuarat (hijau muda). (Gambar: Raman Daud)
Ketika membelek-belek buku hijau pekat ‘Kongres Pendidikan Anak-Anak Islam anjuran MENDAKI’ (YM, 1982), saya dapati sekitar 85 peratus tenaga peneraju dan pendukung acara gah itu telah berpulang. Nama saya tertinta dalam senarai 27 penyusun enam kertas bincangnya.

Antara tokoh pendiri MENDAKI ialah Almarhum Mansor Hj Sukaimi (1943 - 2008), mantan Anggota Parlimen Kampong Kembangan (berkhidmat: 1976 - 1984) yang amat bertekad untuk memajukan pendidikan anak Melayu. “Kita tidak mampu gagal lagi,” pesannya.

Saya teringat ketika menemuinya secara kebetulan pada akhir 1977. Beliau sedang gigih mengkaji kesan kelas bimbingan oleh sejumlah pertubuhan. Itulah tahun pertama saya di Universiti Singapura. Senior saya, Hawazi Daipi, mantan Presiden PBMUS, telah meminta saya menjadi antara pengelola kelas Jawatankuasa Bersama Pelajaran (JBP) untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kelasnya diadakan di bekas sebuah ‘bangsal’ di laman rumah Pak Ismail Samat (@ Pak Mail), ketua Persatuan Sekawan Desa di Kampong Tekad, Onraet Road (dekat Akademi Polis yang lama). Tiada penyaman udara atau kipas angin. Ia terletak lebih 1km dari Whitley Road – masuk dengan berjalan kaki menerusi denai kawasan lalang yang ada kalanya dilalui ular dan biawak.

Aneh. Macam ‘waktu terbeku’. Sebabnya: lima tahun sebelum itu, iaitu 1972 (ketika di menengah dua), saya pernah “disuruh” hadiri perasmian kelas di situ oleh Dr Sharom Ahmat (selaku naib dekan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Singapura dan pengerusi JBP). Hadir saya atas gesaan guru darjah saya di Sekolah Menengah Swiss Cottage, Cikgu Rafeah Ismail yang juga puteri Pak Mail!

JBP dibentuk oleh Majlis Pusat, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Kesatuan Guru Melayu Singapura, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Majlis Pelajaran Melayu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nanyang.

Ketika mesyuarat JBP di pejabat Majlis Pusat di Penang Lane, saya nyatakan suasana kurang selesa kelas JBP. Akur, Hj Wan Hussin Zoohri, presiden KGMS, berjanji untuk mendapatkan tempat sesuai (di Sekolah Menengah Dunearn mulai 1979). Sewaktu peralihan, pada 1978, kelas JBP berpindah ke Nissen Huts (bangunan berhawa dingin semacam khemah) di kampus Universiti Singapura, Bukit Timah Road. Bukan ‘main suka’ para pelajar ketika itu kerana menjejak kaki di menara gading!

FAKTOR MANSOR

Kegiatan kelas bimbingan (KB) bukan baharu. Menyedari betapa daifnya pencapaian pendidikan dan sosioekonomi orang Melayu berbanding kaum lain, KB telah dirintis oleh Kesatuan Melayu Singapura (1926 - 1960) pimpinan Mohd Eunos Abdullah (1876 - 1932) dan rakan-rakannya.

Apakah kelas bimbingan?

Lazimnya ia adalah kegiatan membantu ‘murid lemah’ yang lemah dalam pelajaran utama iaitu matematik, sains dan Bahasa Inggeris untuk lulus peperiksaan ‘besar’ atau penentu seperti tamat sekolah rendah atau menengah (GCE). Pembimbing pula mungkin bertaraf guru bertauliah, profesional atau setidak-tidaknya mahasiswa.

Dalam memoirnya, ‘Langkah Liku Selayang Kenangan’, Hj Sidek Saniff (mantan menteri negara kanan dan antara pengasas YM) menceritakan pengalamannya mengikuti KB pada sebelah malam anjuran Anglo-Malay Evening School pada akhir 1940-an. Pembimbingnya bukan calang-calang orangnya iaitu Aminuddin Baki (juga digelar ‘bapa pendidikan Malaysia’, 1926 - 1965) yang ketika itu mahasiswa di Kolej Raffles (@ Universiti Malaya di Singapura).
Related article image
Mansor Hj Sukaimi. (Gambar Ihsan: NAS)
Pada awal 1970-an, sekitar 30 badan Melayu terlibat dalam kelas bimbingan. Atas permintaan Encik Mansor, banyak data daripada badan-badan itu, termasuk JBP, yang diproses untuk dikaji.

Usaha untuk ‘menyempurnakan’ KB menjadi lebih mendesak setelah terbitnya Laporan Goh mengenai sistem pendidikan Singapura yang baharu berteraskan penyaluran (streaming). Dengan sokongan 10 badan dengan 4PM sebagai urus setia (sekretariat), maka terbentuk Jawatankuasa Seminar Kelas Bimbingan yang mengadakan pertemuan bersejarah pada November 1978. Hasilnya, tatakelola (governance) kelas bimbingan telah dapat disusun dengan lebih bersistem.

Namun timbul desakan lebih kuat setelah data Banci Penduduk 1980 didedahkan – terpapar betapa luas jurang kemajuan antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Terpapar semacam kejutan bahawa langkah yang lebih besar perlu diambil sehingga membuahkan konsep Yayasan MENDAKI. Nama ‘MENDAKI’ disarankan oleh Cikgu Muhd Ariff Ahmad, antara pengasasnya.

Selaku setiausaha Jawatankuasa Pengelola YM, Encik Mansor antara tokoh yang amat tabah lagi telaten (teliti lagi gigih) – dari menyiapkan kertas perancangan konsep sehingga memastikan YM memiliki prasarana untuk terus membangun dan berkesan. Saya masih ingat digesa beberapa kali untuk ‘rewang’ di pejabatnya di premis NTUC, Dewan Persidangan Singapura.

PALUAN GONG

Setelah YM tertubuh, pelbagai cabaran dihadapinya. Namun satu persatu bak sebuah pendakian, YM berjaya ‘merobah’ tanggapan masyarakat Melayu sendiri dari kurang yakin kepada lebih yakin lagi teguh hati dari segi meraih ilmu. Ini termasuk mendorong munculnya ratusan sarjana muda kelas pertama.

Pada 1980, 32 orang Melayu dicatatkan sebagai siswazah dalam Banci Penduduk. Pada 1990, separuh anak Melayu lulus matematik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) – suatu lonjakan jiwa. Pada tahun lalu, jumlah orang Melayu berijazah universiti sekitar 5,000 jiwa!

Selepas meninggalkan kerjaya politik, Encik Mansor telah memajukan dirinya sebagai pakar pendidikan kanak-kanak bersama Institut Nury (Malaysia) dan pernah mengadakan siri bengkel asuhan bersama YM. Baginya, pendidikan perlu seumur hidup – dari rahim ibu hingga ke usia senja.

Walaupun masyarakat kita kian mengejar kemajuan watan, masih belum ada bangunan swasta tinggi milik hartawan atau syarikat Melayu di tengah kota. Namun keyakinan sudah tertancap dalam jiwa anak Melayu di sebalik masalah rumah tangga seperti perceraian atau penagihan dadah, bahawa pendakian kita sudah pasti. “Kita tidak mampu gagal lagi,” demikian pesan Encik Mansor, di katil wad Hospital Besar Singapura (SGH), dek derita sakit leukemia yang membawa maut pada 2008. Semoga pesannya terus terpalu dalam gema gong MENDAKI.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita