ALAM MELAYU: Bila Sebak Meretak, Berlagu Remuk Merajuk
Penulis lirik Habsah Hassan, Almarhumah Sharifah Aini, penyanyi tersohor Siti Nurhaliza. (Gambar: mubi.com, genius.com, instagram/ctdk)
SINGAPURA: Manusia memang fitrahnya akan dirundung suka dan hiba, riang dan muram, atau bahagia dan sedih.
Malah perasaan manusia boleh berganda di saat senang dan susah. Itulah saat gundah rebah menjadi nestapa.
Rajuk meremuk menjadi duka. Hati sebak menjadi harapan meretak.
Dalam keadaan durja, naluri manusia akan mencari tempat agar kedukaan bisa terubat, atau setidaknya tidak terhimpit dan terseret.
Semuanya ini memerlukan kemampuan meluahkan perasaan.
Yang kuat bertahan dengan pahit. Yang tak kuat akan lari membawa diri. Yang cekal sedia menelan pahit sebagai teladan.
Pastinya juga ada yang pergi membawa hati, sehingga sampai berkeputusan agar nama atau diri seseorang itu “disebut jangan, dikenang pun jangan.”
Inilah suatu kalimat yang sering terungkap apabila perasaan di puncak hampa, dan harapan terhempas berderai.
Pelepas Hiba
Tidak menghairankan di kala sedih dan pilu, ramai yang akan mencari lagu-lagu sedih untuk mengiringi kita di saat-saat muram dan kecewa.
Setelah mendengar, pastinya kita semakin remuk, semakin sedih. Namun ia juga menjadi pelega. Setelah mendengar dan menangis, terasa kelegaan dari dalam. Seolah-olah lagu-lagu hiba ini menjadi pengubat duka, atau pelega hampa.
Penciptaan lagu-lagu ini, didendangkan pula dengan penghayatan yang hidup, akan menjadikan lagu-lagu ini sebagai khazanah klasik yang terus akan diingati dan diputarkan.
Lagu-lagu ini adalah bersifat puisi yang tersendiri. Kalimatnya ringkas, tapi apabila dilantun dalam nada muzik, tercipta getaran hati. Pasti dunia pantun dan madah telah menyumbang kepada dunia lagu-lagu Melayu. Terakam di dalamnya perasaan manusia.
Pastilah lagu-lagu Melayu tidak semuanya yang sedih hiba. Malah tidak wajar untuk menyifatkan lagu-lagu Melayu, khasnya lagu tradisional bersifat sedih-sedih belaka, dan kemudian dipanjangkan sebagai ciri kebudayaan dan peribadi Melayu.
Sebenarnya banyak lagi lagu-lagu Melayu yang berdendang ceria, bercanang bahagia. Namun yang dibicarakan di sini adalah lagu-lagu yang liriknya menyayat hati, namun setelah mendengar seketika, kegundahan akan mengalir tipis, sehingga kita mungkin boleh beroleh kekuatan dan semangat.
Mungkin, fenomena ini mirip dengan fungsi penglipur lara.
Setelah mendengar lantunan cerita dari tukang cerita yang mahir, akan terubatlah duka nestapa.
Kita tidak perlu takut dengan emosi. Jauh lagi melebihi emosi sebagai kelemahan atau kekurangan.
Menuangkan perasaan tatkala sedih boleh dibuat dalam banyak cara dan gaya. Ada yang menulis atau merakam kedukaan tersebut. Ada pula yang menyanyi bagi menghilangkan kehibaan di hati.
Dalam masyarakat Melayu, banyak pantun dan madah membilang hiba dan mengisahkan duka. Kemudian pantun-pantun ini dinyanyikan orang.
Sememang pun lagu-lagu tradisional Melayu seni katanya merupakan pantun. Kalau kita belek lagu-lagu ini sarat dengan nada yang mendayu, rintihan sedih, dan merajuk hampa.
Semaklah lagu “Patah Hati” oleh Sharifah Aini, serangkap madah mengisi lagu ini:
Merajuklah diri tak tentu haluan
Ku harap janjimu bahagia selalu
Rupanya patah separuhlah jalan”
Menariknya lagu ini berakhir dengan agak menderas, bagaikan patah hati yang tidak tertahan lagi dirasakannya sehingga, dua rangkap mengakhiri lagu.
Kenanglah jangan disebut pun jangan.”
Kalimat “dikenang jangan disebut jangan” sering terdengar dalam ujaran lisan. Inilah perasaan merajuk paling dahsyat, apabila kedukaan sudah tidak tertahan lagi, dan sebaiknya seseorang itu mengundurkan diri.
Yang duka bukan minta dipujuk, bukan mengemis merayu, tetapi sudah menerima kenyataan dalam kesedihan. Pergi jauh dari yang tak sudi. Tinggalkan pada yang tiada lagi keserasian.
Lagu “Patah Hati” dalam filem Lancang Kuning, nyanyian Rahmah Ali, hanya serangkap juga, namun kesan hiba sangat mendayu, dengan ulangannya memanjangkan kehibaan itu:
Langit mendung hujannya tidak
Apa dirajuk kepada orang
Entahkan kasih entahkan tidak.”
Watak Teratai, yang dilakonkan oleh seniwati Roseyatimah dalam tangisan mengatakan:
Filem Melayu telah mencipta watak Damak, hero yang dikagumi dan dikasihi.
Mendambakan kasih Damak yang tidak terbalas, terucap dalam lagu “Hai Damakku Sayang,” yang liriknya berupa dua rangkap pantun.
Muatan ikan dari Keriang
Kasih sayang pepatah orang
Bukanlah benda buat berian
Inderawasih burung di awan
Terbang tinggi tiada berkawan
Menumpang kasih orang ucapkan
Sayalah tidak orang rasakan”
Dalam lagu “Damak”, versi Siti Nurhaliza, rasa terkilan digambarkan dalam pantun:
Menyumpit burung di dalam hutan
Hati tak dapat melupakan tuan
Sedikit pun tidak hai tuan endahkan
Anaklah burung terbangnya malam sayang
Terbangnya hinggap di pohon lalang
Hatiku sedih merindu lah dendam
Orang ku nanti tak kunjunglah datang”
Dalam lagu “Seri Andalas,” lagu yang dibawa oleh Enah Yon, rasa kehilangan dan kepasrahan terbalut dengan kiasan yang sangat kuat. Perhatikan pantun yang cantik perumpamaannya:
Singgah berlabuh di Surabaya
Kasih ibarat setitis embun
Ditiup angin berderailah dia
Dari Andalas ke Tanjung Puri
Hendak membeli si asam paya
Jangan dikejar gunung berlari
Hilang kabus hai nampaklah dia.”
Seolah-olah ia menyampaikan suatu pesan: Benda yang menyayat itu betapa terhiris duka harus diterima, sebagaimana menerima perjalanan hukum alam. Dan kehidupan ini usah dipaksa-paksakan, bagaikan “setitis embun, ditiup angin berderailah dia.”
Dalam lagu “Sri Banang” dibawakan oleh Sharifah Aini, getaran hiba kesal jangan sampai berlarut. Betapa pedih, ia harus diterima, semoga bersurut ia bila masa berganti:
Jatuh tersangkut di pohon jati
Apa dikenang kesah nan lalu
Patahlah tumbuh hilang berganti
Putus sudah layang dilanggan
Dibawa angin jauh sekali
Kisah lama jadi kenangan
Jangan sampai berulang lagi”
Lagu “Rintihan Kamaruzzaman” dalam filem, "Lancang Kuning" adalah lagu unik dengan kuplet berirama. Nyanyian R. Ismail & Siti Mariam ini meninggalkan kesayuan hati:
Alam yang indah tiada ertinya,
Tiada ku duga, fitnah mendatang
Kasih yang suci, putus terhalang
Wahai awan bergulung putih
Bawalah pesan penyambut kasih
Angin bayu bertiup lalu,
Sampaikanlah rintihan kalbu.”
Kehibaan Diganda oleh Ritma
Lagu-lagu yang liriknya beritma, entah ia pantun, atau madah memiliki kekuatan bunyi yang terpadat dengan susunan kekata yang indah.
Dengan irama yang beralun, nada sayu akan memberatkan lagi rasa kegundahan.
Itulah yang dapat kita perhatikan daripada sejumlah lagu ciptaan Ahmad Baqi dari Medan. Lagu-lagunya yang dibawa oleh kumpulan orkes Melayu El-Suraya sangat terkenal dengan seni kata yang berseni dengan erti, berirama sepadan nada.
Lagu-lagu ciptaan Ahmad Baqi sangat diminati dalam kalangan santri dan kumpulan agama kerana ia kaya dengan pesan nasihat.
Rentak lagunya sering tenang, dengan latar muzik ala gambus Arab, memberi kesan mendalam kerana liriknya sering disusun seakan pantun, sangat berlirik.
Dengarkan lagu “Perpisahan” yang intinya sangat sedih kalau dilebihkan oleh getaran patah lagu:
Karena masa cukup bilangan
Ku harap engkau tidak gelisah
dan tidak merasa kehilangan
Lepaslah daku pergi melangkah
Mohon daku doa restumu
Maafkan daku mana yang salah
Di lain masa bertemu
Selamat tinggal teman dahulu
Juga ayah bunda dan sahabat
Semua rekan damai selalu
Dukaku bawa dapat terubat
Biarlah segala kegelisahan
Bersama ratap tangis semua
Menambah indahnya perpisahan
Dan mesranya masa bersua
Andai dengar hamba tak berpulang
Hilang Lenyap tidak kembali
Jenguk pusara taburkan kembang
Walau setahun hanya sekali.”
Ia dinyanyikan oleh Andriansyah Nasution dengan sangat bergetar sayunya, tanpa iringan muzik. Asalnya lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan El-Suraya, Medan.
Selain seni kata yang kalimatnya beritma, seni kata lagu-lagu Ahmad Baqi kaya dengan ungkapan lisan, yang kemudian digubah menjadi kalimat yang sederhana tapi mendalam.
Begitulah dalam lagu “Madah Terakhir.” Sesiapa yang membesar pada 1970-an pasti pernah mendengar lagu ini yang berkumandang dari radio pada pagi-pagi subuh.
Menariknya lagu ini sering dikategorikan sebagai lagu “dakwah” dengan unsur kerohanian, sebagaimana kumpulan El-Suraya dikenali.
Tapi kalau ditinjau antara kalimat dalam seni katanya, akan jelas terbayang bahasa lisan seharian yang intinya padat mengandungi makna.
Bergema sayu menjelang pagi
Dalam irama ku kirim pesan
Sebagai tanda aku dah pergi
Jangan ditanya sebab kerena
Mengapa aku pergi menghindar
Dari kau dekat tapi merana
Elok ku jauh tinggal mendengar
Biarlah aku pergi dahulu
Tidak tertahan lagi derita
Semoga yang tinggal senyum selalu
Yang pergi hilang lenyap berita
Bila kelak daku terkenang
Ku tatap bintang di malam kelam
Bila tak sanggup daku berenang
Ku relakan diri hanyut tenggelam.”
Kehampaan menjauhkan diri dari yang lainnya, adalah keputusan berat. Berat lagi apabila kalau tidak tertahan kedukaan ini, dibayangkan dengan barisan kalimat:
Ku relakan diri hanyut tenggelam.”
Inilah kekalahan di titik terakhir dan ia harus dijauhi.
Tapi ada juga yang kehibaan itu masih sedia menerima keadaan, dengan harapan masihlah ada kenangan dan doa dari orang yang tersayang.
Inilah yang tergambar dalam sebuah lagu dengan seni kata menyentuh. Lagunya “Kenang Daku Dalam Doamu,” nyanyian M Bakri, ciptaan Ahmad Wan Yet.
Lagu yang sama dinyanyikan semula oleh Sharifah Aini, berlenggok lagu Melayu tradisional, dengan sedikit sentuhan keroncong.
Berpisah untuk selamanya
Tiada lagi senyum mesra
Dan gurau senda
Ingin ku turut bersama
Apa daya, ku tak terdaya
Sudahlah memang nasib
Demikian rupa
Ku berdoa
Agar dikau hidup bahgia
Jangan bimbang padaku
Nan berduka
Tapi, bang, kau jangan lupa
Kenang daku dalam doamu
Itu yang ku pinta sedari dulu
Waktu bertemu
Tapi, bang, kau jangan lupa
Kenang daku dalam doamu
Itu yang ku pinta sedari dulu
Waktu bertemu.”
Kenang daku dalam doamu.”
Salah satu lagu klasik dari Rafeah Buang ialah “Disebut Jangan Dikenang Jangan”, juga sarat dengan kehibaan kerana ditinggal janji. Berundurlah diri adalah jalan pengubatnya, agar tiada lagi yang disebut diungkit:
Meresap ditelan bumi
Segala sumpah janjimu
Tak satu yang kau tepati
Tiada tuntutan, tiada ungkitan
Bagimu, tuan
Ku rela dilupakan, ku diumpat jangan
Dikenang jangan.”
Dari seni kata ilham Habsah Hassan, tercipta lagu “Jauh di Sudut Hati” yang dinyanyikan oleh Sudirman Hj Arshad.
Judul lagu ini sudah membayangkan sebuah kehilangan yang dahsyat, yang rela menyudutkan diri, betapa masih terbit harapan dan penantian.
Aku masih bermimpi
Mimpi yang indah
Esok kau kembali
Jauh di sudut hati
Ada waktu-waktunya
Aku berdoa
Kau pulang semula
Jauh di sudut hati
Aku masih bermimpi
Mimpi yang indah
Esok kau kembali
Jauh di sudut hati
Ada waktu-waktunya
Aku berdoa
Kau pulang semula”
Begitulah lagu yang sayu ini bertirai dengan kehampaan sampai ke penghujung hayat.
Biar ku gantung harapan
Hingga sampai waktu
Nafas terakhirku.”
Manakala yang jauh tersudut tersadai kerana kasih yang tidak sampai, dibawa sampai ke mati. Itulah manusia perasaan yang akan terus dirundung sedih dan rintih.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.