ALAM MELAYU: BersemaRak Cinta Membaca
Projek SemaRak bertujuan meningkatkan pencapaian keluarga Melayu/Islam dengan mewujudkan sebuah perpustakaan kecil di rumah. (Gambar: Iskandar Wachi, Pengerusi Projek SemaRak Buku)
BACALAH!
Inilah himbauan universal yang antara lain terdapat dalam perkataan pertama Al-Quran dan juga dalam seruan untuk mengatasi buta huruf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kempen perpustakaan.
Ketika dilancarkan pada Ahad, 21 September lalu sempena Pesta Buku Melayu di Wisma Geylang Serai (WGS), terpapar sambutan luar biasa termasuk dari tetamu kehormat, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Mengapa projek SemaRAK perlu?
Dari satu segi, ia terkait dengan soal ‘kemiskinan’. Menurut kajian Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan para pakar ekonomi termasuk Dr Ng Kok Hoe, sekitar tiga peratus rakyat Singapura berada dalam keadaan kemiskinan mutlak dan sehingga 25 peratus dalam keadaan kemiskinan relatif seperti jatuh sakit, lama menganggur, tua renta dan sebagainya.
Belum terdapat kenyataan rasmi apakah garis kefakiran di Singapura. Namun umumnya diterima seseorang perlu sekurang-kurangnya dapat hidup S$1.25 sehari! Demikian menurut Jabatan Statistik Singapura (DOS) yang memaparkan pada laman webnya pelbagai usaha mengatasi kemiskinan.
Memang agak tidak munasabah angka tadi memandangkan segelas air kosong dan prata kosong kini bernilai S$2!
Hakikatnya, terdapat pelbagai usaha pemerintah untuk mengatasi kemiskinan dari pemberian baucar sehingga menyediakan bantuan pekerjaan, flat sewa sehingga subsidi persekolahan dan sebagainya?
Tapi apakah kemiskinan boleh diatasi sama sekali di Singapura yang dilaporkan mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia dan cuba mengelakkan daripada ‘jerat kebajikan’ seperti negara-negara Barat?
Jawapan: tidak pasti. Dalam kajian pelbagai tamadun dunia, golongan miskin pasti ada di negara Dunia Pertama, termasuk Singapura. Yang berjaya dan berada perlu membantu mereka demi mengelakkan kesan negatif kesenjangan (iaitu jurang kaya-miskin). Tapi untuk maju dengan bermaruah, si miskin juga perlu belajar berdikari untuk keluar dari lingkaran musibah (vicious cycle) hujah Karl Gunnar Myrdal , pakar ekonomi dan penulis buku klasik terkenal, Asian Drama: An Inquiry into the Poverty of Nations (1968).
ILMU SULUH HIDUP
Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), teras utama pembeza manusia ialah pada ilmunya yang boleh mempengaruhi akhlak dan pandangan hidupnya. Itulah sebabnya beliau menciptakan cogan kata ‘Ilmu Suluh Hidup’ yang pernah digunakan oleh alma maternya, Sekolah Melayu Tanglin Besar. “Ilmu itu perlu dijana menerusi amalan baca demi membangun jaya diri,” katanya.
Projek SemaRak Buku adalah hasil kerjasama Ombak Scripthouse dengan Alumni Sekolah Menengah Jin Tai. Strateginya ialah memupuk budaya membaca dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Difahamkan lebih 50 keluarga begini sudah memanfaatkannya. Buku dan rak-rak percuma dihantar ke rumah-rumah. Sekitar 18 buku didermakan atau dibeli pada potongan harga yang ditampung oleh penganjur dan penaja, penulis serta penerbit buku.
"Setelah terima buku dan rak-raknya sekali, anak-anak itu terus baca buku-buku tersebut. Ada pula yang terus melukis, ada yang melukis daripada perkakas yang diberikan dan mereka gembira. Dan kami pun gembira campur terharu,” kata Pengerusi Projek SemaRak Buku, Encik Iskandar Wachi, ketika menceritakan pengalamannya kepada penulis.
Setakat ini, SemaRak didukung enam pihak bantu diri seperti Tabung Pendidikan Harun Ghani, Projek Pensil SG, HUFI, Madrasah Masjid Mujahidin dan lain-lain lagi. Kerjasama ini mencerminkan nilai luhur itu bersama semangat gotong-royong masyarakat Melayu di sini. Ia tampak berterusan di sebalik kebimbangan bahawa kehidupan kota raya boleh menghakisnya sebagaimana terungkap dalam karya Mohd Latiff Mohamed, Suratman Markasan dan lain-lain.
TAMAN BACAAN
Difahamkan bahawa usaha mencelikkan masyarakat Melayu menerusi pembacaan bukanlah baharu. Ini tercatat dari zaman Mohd Eunos Abdullah (1876-1932) yang mengasaskan Kesatuan Melayu Singapura (1926-1960) sehingga Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura (1969-2024) yang membantu orang Melayu terbelakang di Kampung Berih pada awal 1970-an.
Misalnya usaha menggalakkan masyarakat suka membaca, saling meminjam buku merupakan rintisan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu (1959 - ). Sebelum itu, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM, 1948 - ) pernah meneroka hal yang sama. Namun lama-kelamaan tumpuan pertubuhan sedemikian berubah iaitu tidak fokus lagi dari segi pembacaan sahaja, tetapi meluas kepada kelas bimbingan sehinggalah membantu secara langsung keluarga susah di kawasan kejiranan masing-masing.
Mengambil kira kemerosotan membimbangkan penggunaan Bahasa Melayu iaitu Bahasa Ibunda di rumah Melayu dan peri penting bahan bacaan Melayu disebarluaskan, projek SemaRak wajar diberikan sokongan padu.
Bahkan jika dapat, SemaRak wajar dibentuk menjadi sebuah ‘perikatan’ berdaftar dan bertaraf amal dengan firma-firma penerbit buku menjadi ahli bersekutunya, mempunyai segelintir pegawai bergaji dan sejumlah besar relawan.
Keteguhan SemaRak sebagai gerakan yang absah (legitimate) lagi teguh dapat membantu dalam memastikan pembelaan keluarga Melayu yang susah.
Ia boleh merangsangkan anak-anak mereka mencintai Bahasa Ibunda dan bangkit berjaya pada hari muka. Ini berpotensi memecahkan lingkaran sukar agar mereka dapat menakat dan bersaing secara berdikari. Inilah antara Kisah Singapura untuk tahap selanjutnya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.