Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Bahasa Milik Siapa?

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Bahasa Milik Siapa?
Bahasa menjadi antara penanda jati diri kaum dan insan. (Gambar: MOE)
SINGAPURA: Bahasa menjadi antara penanda jati diri kaum dan insan. Jadi, adakah bahasa boleh dimiliki dari segi perundangan? Mohd Raman Daud mencerakin persoalan setua tamadun manusia.

Ketika disuakan petikan video Anggun, penyanyi asal Bali, Indonesia, mengalunkan ‘Malam Kudus’ (Silent Night) dalam Bahasa Indonesia (BI) di sebuah gereja Vatican City pada Krismas lalu, seorang teman menanyakan pendapat saya.

Jawapan saya: nyanyiannya baik dan sekali gus turut mengangkat Bahasa Indonesia ke taraf antarabangsa.

Hakikatnya, lagu itu sudahpun dinyanyikan dalam pelbagai bahasa kerana umat Kristian membentuk jumlah penganut terbesar di seluruh dunia.
Related article image
Tulisan khat yang halus serta hiasan muka hadapan berwarna yang indah menjadikan ‘Hikayat Abdullah’ antara karya Melayu bercetak yang paling mengagumkan yang pernah dihasilkan di Negeri-Negeri Selat. (Gambar: NLB)
Dalam memoirnya, ‘Hikayat Abdullah’, Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (1796 - 1854) menceritakan kisahnya disuruh ‘menyunting’ terjemahan Bible dari Bahasa Inggeris ke Melayu. Beliau menyanggupi kerana terjemahan yang ada simpang-siur. Akibatnya, beliau diselar sebagai ‘Abdullah Paderi’ - walaupun tutup usianya ketika dalam kembara naik haji.

WAHANA NEUTRAL

Asas BI ialah Bahasa Melayu (BM). Ini disepakati para pemimpin dari Hindia Timur Belanda (ketika Indonesia dijajah Belanda) dalam pertemuan Sumpah Pemuda pada Oktober 1928.

Namun sejak itu, BI telah berubah dengan pesat sehingga ada sebahagian istilah asal BM berubah makna asalnya. Maka itu, sejak 1980-an karya sastera Indonesia perlu ‘diterjemah’ ke BM dan begitu sebaliknya.

Mengapa ini berlaku?
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS, 1924 – 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ramai bahasawan termasuk Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924 - 2016) berpendapat bahawa bahasa adalah wahana komunikasi milik kemanusiaan sejagat. Jika bahasa tidak lagi dinamis atau cergas, ia akan pupus atau dianggap ‘mati’. Hal ini berlaku pada bahasa tamadun seperti Bahasa Sumeria dalam zaman tamadun terawal, Mesopotamia di Iraq, Bahasa Latin (dalam zaman Empayar Rum awi) sehingga Bahasa Sanskerta dari Asia Tengah.

BAHASA DUNIA

Terdapat 10 bahasa utama di dunia kini, didahului Inggeris (1.5 bilion penutur), diikuti Mandarin (1.2 bilion) dan Hindi (602 juta). Di anak tangga ke-11 barulah BI (155 juta penutur). Demikian data Ethnologue yang dianggap ‘berwenang’ dari segi bahasa jagat.

Secara harfiah, manusia secara bersama merupakan pemilik semua bahasa di dunia yang kini berjumlah 7,146. Ini kerana bahasa dianggap ‘anugerah unik’ untuk insan agar dapat berhubung.

Dari segi angka, ada negara menaungi jumlah bahasa daerah terbanyak di wilayah kedaulatan mereka, antaranya, Papua New Guinea (terbanyak dengan 839 bahasa) diikuti jirannya, Indonesia (718 bahasa) dan Nigeria (lebih daripada 500 bahasa).

RASA MEMILIKI

Bahasa dimiliki oleh kaum yang memulakan dan menuturkannya, kemudian dirakamkan dalam tulisan serta seterusnya. Rasa memiliki (ownership) atas suatu bahasa sangat penting bagi setiap etnik atau kelompok masyarakat agar bahasa itu kekal digunakan.

Misalnya, Inggeris asalnya bahasa negeri yang dipanggil ‘England’. Setelah England menguasai seluruh kepulauan Inggeris, Bahasa Inggeris berkembang. Ia terus berkembang pesat apabila British (terasnya England) menjadi empayar sejagat dari Amerika Utara, ke Afrika, India dan Asia Tenggara.

Inggeris kemudian digarap sebagai bahasa kebangsaan sesebuah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Australia sehingga diolah ke konteks tempatan (proses dinamakan kreolisasi) seperti Singlish di Singapura. Misalnya, Kamus Inggeris Oxford (OED) telah menyerap banyak istilah Singlish termasuk ‘alamak’ (asal Melayu) sehingga ‘tapau’.

Demi memelihara ‘bahasa’ agar berpiawai (standard), maka perlu wujud sekurang-kurangnya bidang yang dinamakan ‘Perkamusan’ ujar bahasawan Prof Yang Quee Yee (1931 - 2024), warga Malaysia (anak Batu Pahat) dan Penduduk Tetap (PR) Singapura. Dengan kejelasan bahasa, antara lain, dapatlah proses undang-undang terlaksana dengan adil.
Related article image
Prof Yang Quee Yee bersama isteri beliau, Chan Maw Woh. (Gambar: Majlis Buku Singapura)
Pak Yang bersama isterinya, Puan Chan Maw Woh, telah mula menghasilkan kamus bermula dengan dwibahasa (Cina-Melayu) sehingga tribahasa (Cina-Inggeris-Melayu) sejak awal 1960-an. Antara lain, usaha Yang-Chan dan para ahli kamus yang lain menjadi modal dalam membina perkamusan digital untuk mesin besar bahasa (large language machine) iaitu asas ‘kecerdasan buatan’ (AI). Tidak hairanlah AI menguasai banyak bahasa dunia!

PENGIKTIRAFAN

Untuk diterapkan dalam kamus, bahasa dari segi ejaan (menentukan sebutan), makna sehingga nahunya perlu diiktiraf. Ini dilakukan hasil kesepakatan bahasawan dan pencinta bahasa lewat menerusi pelbagai pertemuan.

Dr MAS merupakan antara insan ‘tulang belakang’ bagi tiga kongres bahasa di Singapura (1952), di Seremban (1954) dan Singapura-Johor Bahru (1956). Hampir kebanyakan catatan dan rekod beliau untuk tiga kongres awal tadi dimanfaatkan dalam buku ‘Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI’ (DBP, 2007) susunan Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dari Malaysia.
Related article image
Buku ‘Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI’ (DBP, 2007) susunan Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan. (Gambar: Raman Daud)
Dari kongres seperti ini, dibentuk badan yang diiktiraf pemerintah, untuk melaksanakan mandat rakyat. Di Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia), ia dinamakan Dewan Bahasa dan Pustaka yang kekal hingga kini. Singapura pernah mempunyai badan serupa iaitu Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan (1960-1969).

Di peringkat rantau, terdapat kerjasama kebahasaan antara MABBIM (Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia) dengan Singapura sebagai pemerhati. Di peringkat sejagat iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), diiktiraf enam bahasa rasmi - Inggeris, Perancis, Sepanyol, Rusia, Mandarin dan Arab.

Selain bahasa-bahasa utama tadi, BI telah ditetapkan sebagai antara bahasa rasmi persidangan umum Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2023. Seyogia, UNESCO juga bertindak sebagai penjaga bahasa-bahasa unik di dunia dalam rangka Warisan Budaya Tidak Ternilai, seperti bahasa siulan Silbo Gomero dari Sepanyol, demi menjamin perlindungan pada bahasa yang terancam punah.

BUKAN PINJAM TAPI AMBIL

Bahasa memang melangkaui ras, kaum dan agama. Namun bahasa juga penanda jati diri, setidak-tidaknya bagi orang Melayu di rantau ini. Di Singapura misalnya, insan dari masyarakat Melayu yang ingin bertanding dalam politik masih lagi dinilai dari segi amalan bahasa dan budaya Melayu serta Islam. Ini terpapar semasa pilihan raya presiden khas untuk calon Melayu pada 2017.
Related article image
Almarhum Ustaz Hj Ali bin Hj Mohamad (1947 – 2023). (Gambar: Mediacorp)
Bahasa cuba neutral walau dapat disusur salutan unsur budaya dan agama. Misalnya, tokoh tasawuf setempat Almarhum Ustaz Hj Ali bin Hj Mohamed (1947 - 2023) pernah mengulas tentang istilah ‘zouk’ (dari Quran) yang sering digunakan dalam ilmu tasawuf. Ia diterjemahkan sebagai ‘rasa’ dalam BM. Anehnya, ‘zouk’ juga digunakan bagi nama kelab malam - bererti ‘keramaian’ yang diambil dari suku bahasa rantau Caribbean.

Terdapat ungkapan ‘kata pinjaman’ (loan word) dalam perkamusan. Ia merujuk kepada perkataan asing yang diserap ke dalam bahasa lain. Bagi BM, hujah Dr MAS, “pinjam itu perlu dikembalikan, maka itu lebih tepat gunakan ‘kata ambilan’ sahaja”. Demikianlah keunikan bahasa. Tapi bagi orang Melayu, terutama golongan senior, bahasa (yang bersalut budi indah) menunjukkan maruah bangsa.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita