Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Asatizah Kita Bukan Lebai Malang

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Asatizah Kita Bukan Lebai Malang

Pelajar madrasah di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 05 Mar 2025 10:28PM Dikemas Kini : 17 Apr 2025 10:57AM
  • Seruan Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid @ Mizi Wahid, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) lewat FBnya menambat simpati meluas.
  • Data Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menunjukkan pada Julai 2022, 62% asatizah berijazah universiti menerima antara S$2,001 hingga S$3,000 sebulan; 30% menerima S$3,001 dan S$4,000 sebulan dan 7% meraih S$4,001 atau lebih sebulan.
  • Namun penghormatan ini dikatakan tidak setimpal dengan imbalan mereka, ujar Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016) dalam memoirnya, 'Perjalanan MAS' (2003).
  • Waima, sempena hari baik bulan baik Ramadan, seruan Ustaz Mizi wajar disambut dengan peka dan muhibah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mengapa pernah ustaz dicap ‘Lebai Malang’ dalam cerita rakyat dan apakah ia berulang dalam konteks zaman digital kini. Mohd Raman Daud mengupas peri penting menyokong kerjaya sebagai asatizah.

Di ambang Ramadan tahun ini, tercetus dialog agak panas di media sosial berikutan seruan agar masyarakat setempat memberikan imbalan setimpal untuk asatizah watan.

Seruan Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid @ Mizi Wahid, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) lewat FBnya menambat simpati meluas. Maklumlah Singapura merupakan kota raya ‘termahal’ di dunia.

Isu imbalan atau gaji asatizah bukanlah baharu. Pada 2023, ia dipaparkan dalam sidang Parlimen. Data Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menunjukkan pada Julai 2022, 62% asatizah berijazah universiti menerima antara S$2,001 hingga S$3,000 sebulan; 30% menerima S$3,001 dan S$4,000 sebulan dan 7% meraih S$4,001 atau lebih sebulan.

Sejak itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dilaporkan gigih menyelaraskan dengan semua pihak berkepentingan mengenai Panduan Gaji Umum untuk Asatizah. Ini suatu hal yang genting memandangkan peranan sekitar 5,000 guru agama dalam kalangan umat Islam di Singapura.
Related article image
Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura
DAHULU ‘LEBAI’

Menyusuri sastera Melayu klasik (antara abad ke-14 hingga 19 Masihi), istilah ‘lebai’ digunakan untuk profesi (kerjaya) guru agama Islam. Ia berasal daripada ungkapan Islam/Arab – lebay, lebay talbiyyah (لَبّّى يُلَبِّي تَلْبِية) yang antara lain ertinya menyahut seruan (kebaikan). Labaika ( لَبَّيْك ) tertinta dalam talbiyyah iaitu bacaan semasa melaksanakan ibadah haji atau umrah.

Syeikh Abd Kadir al-Mandili (1910-1965), antara ulama tersohor rumpun Melayu dan pernah mengajar di Makkah, ada menyebut perkara ini dalam bukunya, ‘Senjata To’ Haji dan To’ Lebai’.
Related article image
Syeikh Abd Kadir al-Mandili. (Gambar: Sumber web)
Jelas, istilah ‘lebai’ sangat murni dan baik. Namun, ada juga erti negatif seperti dalam cerita rakyat menjadi sindiran iaitu ‘Lebai Malang’ yang mengisahkan seorang lebai yang bingung dalam memutuskan ke manakah hendak dituju antara dua kenduri, tetapi akhirnya dia kecewa kerana tidak kesampaian. Kemudian ada ungkapan seperti ‘lebai tembolok’ dan lain-lain yang menunjukkan sikap serakah atau kuat makan’.

Di beberapa bahagian rantau ini, istilah ‘lebai’ mungkin masih digunakan. Tetapi ia kian digantikan dengan 'ustaz' (guru agama lelaki) dan ‘ustazah’ (guru agama perempuan). Kata jamak (plural)-nya ialah ‘asatizah’.

Dari segi sejarah, memang cukup besar peranan asatizah dalam gerakan pembaharuan dan pembangunan di rantau ini sejak kemasukan Islam pada akhir abad ke-7M, era Wali Songo (abad ke-15M) di Jawa sehingga Tok Kenali (Hj Muhammad Yusuf bin Ahmad, 1868-1933) di Kelantan, Prof Hamka (1908-1981) di Indonesia. Di Singapura, (Dr) Hj Ya’acob Mohamed (1925-1989) ialah mantan ustaz (juga tukang gunting rambut) yang kemudian berjaya dalam politik.
Related article image
(Dr) Hj Ya’acob Mohamed. (Gambar: NLB)
OBOR UMMAH

Pencapaian asatizah setempat terakam dalam tiga jilid 'Obor Ummah' terbitan PERGAS. Tahukah anda: Singapura telah menyaksikan tiga ahli tafsir Quran secara lengkap? Mereka ialah Ahmad Hassan (A.Hassan atau Hassan Bandung, 1887-1958), Abdullah Basmeih (1915-1996) dan Ahmad Sonhadji Mohamed (1922-2010).

Pernah berlaku zaman perselisihan asatizah (1930-an sehingga akhir 1950-an) antara Kaum Muda (golongan pembaharuan yang pernah belajar di Universiti Al-Azhar) yang cuba menampilkan pemodenan pemikiran dan Kaum Tua (golongan alim konservatif) di Singapura.

Umumnya, asatizah setempat merupakan lulusan madrasah nusa seperti Aljunied dan Alsagoff, yang sebahagiannya sempat belajar di Al-Azhar atau varsiti di Timur Tengah dan juga di rantau ini terutama Indonesia.
Related article image
Universiti Al-Azhar. (Gambar: Shutterstock)
Pada umumnya, asatizah diberi penghormatan tinggi oleh masyarakat. Namun penghormatan ini dikatakan tidak setimpal dengan imbalan mereka, ujar Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016) dalam memoirnya, 'Perjalanan MAS' (2003).

“Saya raih dua sijil sebagai guru agama/naib kadi dan sebagai guru daripada Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Memandangkan, kerja guru agama rendah ganjarannya, maka saya pilih menjadi guru. Lagipun saya cenderung pada bahasa Melayu,” kata Dr MAS.

Almarhum Ustaz Syed Abdillah Aljufri (1938-2003) pernah menyatakan hal serupa. Namun beliau dan segelintir asatizah dikatakan ‘bertuah’ kerana mengikuti skim guru untuk sekolah aliran Melayu dan sekali gus mendapat gaji seperti guru biasa.

“Namun, ramai asatizah perlu bertungkus lumus mengajar sama ada di madrasah, kursus umrah dan haji sehingga larut malam di rumah orang demi mencukupkan rezeki untuk rumah tangga mereka,” ujarnya.
Related article image
PEMBELAAN

Jerih payah asatizah pernah ditonjolkan ketika Bahas Pendidikan Wajib pada tahun 2000.

Badan Melayu seperti Angkatan Sasterawan ’50 turut menyuarakan keprihatinan menerusi kenyataan akhbar tentang masa depan madrasah setempat dan mutu lulusannya. Ini kerana ia berkaitan dengan penakatan umat Islam yang majoritinya adalah Melayu, di Singapura.

“Adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah,” ujar Dr MAS yang menekankan peri penting asatizah yang bukan sahaja faham ilmu Islam tetapi peka dan arif akan kebudayaan Melayu.

“Tetapi ulama juga boleh jadi saintis dan tokoh perubatan seperti Ibn Sina. Jadi, kita mesti melihat lulusan madrasah atau asatizah dalam ruang lingkup yang luas,” kata ‘abang’nya Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji yang dikunjungi Dr MAS di flatnya di Toa Payoh North pada 2008.

Ertinya, asatizah perlu dinilai sebagai profesional (karyawan) dengan imbalan (remuneration) yang setimpal dengan kelayakan, kebolehan dan tugas mereka. Mentelah kini segelintir lulusan Madrasah Aljunied sudah diterima di universiti bertaraf dunia.

Yang jelas, imbalan untuk sesuatu pekerjaan bergantung kepada permintaan dan penawaran (demand and supply) atau kuasa pasaran. Memandangkan taraf ekonomi umat Islam di Singapura masih rendah berbanding dengan kaum Cina misalnya, maka begitulah cerminannya pada imbalan asatizah.
Related article image
Gambar fail asatizah bersama pelajar madrasah.
KERJA IKHLAS

Hakikatnya, profesi asatizah telah melalui leliku perkembangan yang pesat dari segi ilmu dan disiplin kerja sehingga ada persyaratan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Selanjutnya, dengan tertubuhnya Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), bermakna asatizah akan mendapat peluang untuk mempertingkatkan diri di dalam negeri sendiri.

Namun, tuntutan asatizah berkhidmat dengan ikhlas tanpa mengharapkan imbalan, masih lagi didamba sesetengah masyarakat. Apatah lagi, guru ngaji yang berkunjung ke rumah-rumah. Ini pun cerita sejak zaman silam iaitu lebai mestilah tulus berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran. Wajarkah begitu?

Seorang ustazah ngaji menceritakan kepada saya tentang imbalannya yang diterima ikhlas daripada S$10 sehingga S$50 sejam – bergantung kepada muridnya sama ada remaja sehingga dewasa. Walhasil, hidupnya cukup-cukup sahaja.

Waima, sempena hari baik bulan baik Ramadan, seruan Ustaz Mizi wajar disambut dengan peka dan muhibah. Semoga ramai yang akan bersedekah dan berzakat harta dengan PERGAS untuk diagihkan kepada ahlinya yang kesempitan. Diharap PERGAS juga mempunyai rancangan jangka panjang agar kebajikan ahli dan asatizah umumnya lebih terpelihara dengan tersusun atau sistematik seperti mewujudkan insurans takaful untuk menanggung ahli yang dilanda kepincangan.
Related article image
Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid. (Gambar: PERGAS/Facebook)
Di peringkat lebih tinggi, MUIS tentu sekali diharap akan dapat menampilkan pelan induk pragmatik demi jangka panjang asatizah agar mereka terus diperlukan dan mendapat imbalan setimpal.

Kos sara hidup tinggi di Singapura bukanlah lagi suatu pilihan, tetapi hakikat hayat. Dan kita sebagai umat Islam perlu menunjukkan kesediaan untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan yang sudah lama dijulang sebagai ‘obor’ ummah.
 
Related article image
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita