ALAM MELAYU: Arab Dalam Alam Melayu
Majoriti masyarakat Arab Singapura (SG) boleh dikatakan berketurunan Hadhrami iaitu dari selatan Yaman.
Jalinan Arab dengan rantau Asia Tenggara, khususnya Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara, dikatakan berlaku beberapa abad sebelum kedatangan Islam.
Buku ‘Sejarah Melayu’ susunan Tun Seri Lanang (1565-1659M) ada menceritakan seorang pendakwah bernama Tun Jana Khatib yang hendak dihukum mati di Singapura kerana kegiatan dakwahnya. Ketika itu, kerajaan Singapura yang bertahan seabad (sekitar 1299 hingga 1398) mengamalkan agama Buddha.
Namun diceritakan bahawa Raja Singapura terakhir, Parameswara (@ Permaisura) dan para pengikutnya telah lari meninggalkan Singapura yang diserang Majapahit. Namun raja itu telah memeluk Islam dan berjaya mendirikan Kesultanan Melaka. Kuburnya dikatakan di kaki Bukit Larangan (Fort Canning).
CIRI UTAMA
Selepas dwiabad (sejak 1819 ketika Thomas Stamford Raffles, wakil Kompeni Inggeris Hindia Timur, menjejakkan kaki di Singapura), kaum Arab – dari pedagang sehingga pendakwah – dinilai berperanan besar dalam mencorak sejarah watan ini. Namun dari segi perangkaan rasmi, bilangan mereka yang mengaku berketurunan Arab boleh dikatakan kecil sahaja iaitu dari 465 jiwa (tahun 1871) sehingga 3,471 (1957) dan kini sekitar 10,000 jiwa.
Mereka telah dapat mengekalkan banyak unsur budaya Arab, termasuk sapaan dalam keluarga. Namun, ia juga telah disesuaikan dengan konteks Alam Melayu atau tempatan. Kesannya: timbullah apa yang disebut ‘peranakan’.
Hakikatnya, proses pemajmukan itu juga terjadi pada kaum-kaum lain seperti Cina, India dan Serani yang turut menerima konsep serapan dan penyesuaian demi menakat di rantau ini.
Pola pencorakan ini, menurut buku ‘Becoming Arab: Creole Histories and Modern Identity in the Malay World’ (2017) oleh Sumit K. Mandal ‘membezakan’ jurai keturunan mereka yang kian tidak lagi sama dengan di tanah leluhur masing-masing.
Dalam kalangan masyarakat Arab yang lama bermastautin di Singapura, terpapar jaringan sosial, budaya dan ekonomi. Antara ciri utama mereka ialah:
- Keluarga besar lagi berpengaruh
Keluarga Arab di Singapura dahulu terkenal dengan peranan mereka dalam ekonomi (perniagaan rempah sehingga hartanah) dan kebajikan Islam. Contoh keluarga besar ialah:
- Aljunied – banyak menyumbang kepada pendidikan dan agama termasuk Madrasah Aljunied dan turut mendirikan Masjid Omar Kampung Melaka di Havelock Road.
- Alkaff – terkenal dengan Alkaff Mansion dan pembangunan perumahan.
- Alsagoff – terkenal dengan pembangunan tanah wakaf, sekolah agama termasuk Madrasah Alsagoff serta kepimpinan di peringkat nasional seperti Syed Ibrahim Omar Alsagoff (1899-1975), presiden pertama Jamiyah Singapura dan Syed Ali Redha Alsagoff (1928-1998) yang hampir menjadi datuk bandar pertama Singapura dan presiden pendiri Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
- Sistem kekeluargaan yang kuat
“Alam keluarga” Arab meliputi amalan menjunjung nilai-nilai seperti nasab (keturunan), syaraf (kemuliaan keluarga), dan ukhuwah (persaudaraan). Semuanya dijaga rapi. Perkahwinan dahulu sering diatur dalam kalangan keluarga Arab sendiri untuk mengekalkan keturunan dan harta.
Menurut kajian sarjana antropologi (mengkaji asal manusia) Belanda, Huub de Jonge mengenai orang Arab di Indonesia (1900-1950), terdapat tiga lapisan dalam kaum Arab di Asia Tenggara – yang berketurunan Rasulullah, berketurunan Sahabat dan yang umum atau kabilah terutama dari Yaman.
- Gabungan budaya Arab dan Melayu
Namun di rantau ini, termasuk di Singapura, masyarakat Arab beradun dengan bijaksana dengan budaya Melayu/Islam — dari bahasa, pakaian, hingga adat perkahwinan. Maka itu, “alam keluarga Arab” di Singapura sering mencerminkan identiti campuran Arab-Melayu yang unik.
SAPAAN
Umumnya, pangkat ‘datuk’ disapa ‘jadd’ iaitu sebagai gelaran untuk ketua keluarga yang dihormati. Ada kalanya sapaan Bahasa Melayu iaitu ‘datuk’ dan ‘tok’ digunakan.
Sementara pangkat ‘nenek’ dipanggil ‘jaddah’ dengan penghormatan sebagai penjaga nilai tradisi keluarga dan ada kalanya ‘nenek’ atau ‘nek’ dipakai.
Ayah atau bapa disapa ‘ab’ atau ‘abi’. Sering juga panggilan ‘baba’ atau ‘abah’ digunakan. Bagi ‘ibu’, sapaannya ialah ‘umm’ atau lebih popular ‘ummi’ yang sering digunakan kerana nuansanya lunak.
Paman atau bapa saudara (sebelah ayah) dipanggil ‘ammi’ namun sering juga sapaan Inggeris iaitu ‘uncle’ digunakan juga untuk kenalan rapat keluarga.
Makcik atau ibu saudara (sebelah ayah) disapa ‘ammah’ (ammati) dan ada kalanya sapaan Bahasa Inggeris ‘aunty’. Paman (sebelah ibu) disapa ‘khali’ atau sekadar ‘uncle’ sahaja, sementara makcik (sebelah ibu) disapa ‘khalah’ atau adakalanya ‘aunty’ (Inggeris).
Anak lelaki disapa ‘walad’ dengan nama-nama lazim seperti Ahmad, Ali, Hassan dan sebagainya. Ada juga yang mempunyai nama timangan.
Anak perempuan disapa ‘bint’ dengan nama-nama lazim seperti Aisha, Fatimah, Zainab dan sebagainya.
GELAR
Terdapat susunan ‘gelaran’ (Inggeris: title) dalam bangsa Arab. Dari keturunan Rasulullah (s.a.w.) menerusi cucunya Hassan, gelaran diberikan untuk zuriatnya ialah ‘syarif’ bagi lelaki (wanita: syarifah), dan dari cucunya Hussin pula, sayyid atau ‘siddi’ (gelaran wanita: ‘syarifah’ atau ‘sayyidah’).
Kebanyakan keturunan Arab Hadrami yang berada di rantau ini dari keturunan Hussin, menurut Ketua Umum Rabithah Alawiyah di Indonesia, Sayyid Zen Umar bin Semait, yang dipetik oleh media Indonesia.
Lazimnya, keturunan Rasulullah amat dimuliakan sehingga dijodohkan dengan keturunan diraja. Namun ada kalanya kaum wanitanya mengahwini ‘lelaki biasa’ tetapi anak mereka pula mendapat gelaran seperti ‘wan’, ‘megat’ atau ‘nik’.
Menurut Kamus Dewan dan beberapa sumber lain, gelaran ‘wan’ (misalnya di Johor), ‘megat’ (di Perak dan Aceh) sehingga ‘nik’ (di Kelantan) juga diberikan kepada anak yang ibunya asalnya wanita bangsawan (keturunan raja) sehingga ulama, tetapi menikahi lelaki biasa.
JATI DIRI
Umumnya kepimpinan keluarga biasanya dipegang oleh lelaki tertua (jadd atau baba) tetapi wanita tua (jaddah) berperanan besar dalam menjaga hubungan kekeluargaan dan adat.
Dahulu terdapat sistem keluarga besar atau berangkai (al-‘āilah al-kabīrah) yang merangkumi bukan sahaja ibu bapa dan anak tetapi juga sepupu, bapa/ibu saudara dan keturunan jauh.
Nasab dan kehormatan (syaraf) sangat diutamakan oleh masyarakat Arab SG terutama yang mempunyai jurai keturunan keluarga Rasulullah (s.a.w) atau ‘Ahlul Bait’. Terdapat kitab besar nasab yang mencatatkan jalur keturunan ini. Sebuah pertubuhan eksklusif di Indonesia, Rabitah Al-Alawiyah telah ditubuhkan pada 1928, demi antara lain, berperanan dalam membuat catatan sedemikian dan memelihara kebajikan para ahlinya.
Dahulu, perkahwinan dalam keluarga Arab di sini lazimnya berlaku untuk mengekalkan keturunan dan harta keluarga. Namun ia kian berkurangan dan mutakhir ini sering juga berlaku perkahwinan campur.
Menerusi Persatuan Arab Singapura (Al-Wehdah Al-Arabiah Bi Singhafura atau lebih dikenali sebagai ‘Al Wehdah’, aktif sejak 1946), terdapat usaha gigih untuk memperkukuh jati diri masyarakat Arab di sini menerusi kelas Bahasa Arab, biasiswa pendidikan sehinggalah menggalakkan kesenian seperti muzik.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.