Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Alam Dipelihara Insan Sentosa

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Alam Dipelihara Insan Sentosa

Anggota bomba daripada unit taktikal khas Indonesia bagi menangani kebakaran hutan di kawasan tanah gambut menyembur air untuk memadamkan kebakaran di Ogan Ilir, wilayah Sumatra Selatan, Indonesia, pada 25 September. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Oct 2026 09:30PM Dikemas Kini : 30 Oct 2026 09:41PM
MALAY WORLD: A well-preserved environment, a peaceful society
  • Forest and land fires in Sumatra and Kalimantan since Jan 1, 2026, have caused regional haze. Dry weather due to a Super El Niño has worsened the situation, while monsoon rain began falling on Oct 27.
  • Firefighters and volunteers are working tirelessly to put out the fires, which could damage peatland areas and wildlife habitats, and harm the health of people and animals.
  • Japan sent helicopters, equipment and personnel to West Kalimantan until Sep 29, but the mission was halted after Indonesia said it could manage the situation on its own. This stance caused disappointment among its neighbours.
  • Singapore is taking legal action against firms suspected of being involved, while the writer urges neighbouring countries and ASEAN to expand assistance, expertise-sharing and funding to prevent fires and build harmonious regional relations.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dapatkah rantau Asia Tenggara menjadi sebuah kejiranan mesra tanpa cemar seperti suasana berjerebu kini. Mohd Raman Daud meninjau amalan memelihara alam serantau.

Hujan dibawa angin monsun mulai turun di Sumatra dan Kalimantan. Ia disambut sejak Selasa lalu (27 Okt) dengan rasa syukur dan ria lagi lega oleh para ahli bomba dan relawan pemadam api.
Related article image
Para sukarelawan yang memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan Selatan melakukan sujud syukur ketika hujan lebat turun. (Gambar: Threads/naim701_)
Lama sungguh mereka berhempas-pulas memadamkan api di hutan dan lahan, terutama yang bertanah gambut yang menyimpan bara hingga ke dasarnya. Apakah kebakaran hutan dan lahan atau dikenali dengan akronim ‘karhutla’ akan terhenti selamanya?

Sejak 1997 hingga kini, rantau Asia Tenggara sering dicengkam jerebu akibat pembakaran hutan dan lahan yang tidak terkawal (Inggeris: wildfires) di Sumatra dan Kalimantan, Indonesia.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca Malaysia yang menukil Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), jerebu (Inggeris: haze) merupakan zarah (partikel) kering yang terampai di udara dan tersebar luas serta tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Akibatnya, lapisan udara menjadi kabur. Zarah halus yang terhidu lama terbukti menjejaskan sistem pernafasan manusia dan haiwan dan boleh membawa mudarat atau maut.

KESULITAN PERIT

Istilah ‘karhutla’ mula digunakan pada akhir zaman bergelora kejatuhan Orde Baru (pemerintahan Suharto, 1967 - 1998). Istilah dilembagakan pada pertengahan 1990-an dengan terbentuknya PUSDALKARHUTNAS (Pusat Pengendalian Kebakaran Hutan Nasional) di tingkat pusat pada tahun 1994. Kemudian terbentuk pula PUSDALKARHUTLA (Pusat Pengendalian Kebakaran Hutan dan Lahan) di tingkat provinsi atau wilayah.
Related article image
Anggota polis menggunakan hos air dalam usaha memadamkan kebakaran hutan di Ogan Ilir, wilayah Sumatra Selatan, Indonesia, pada 20 September 2023. (Gambar fail: Antara Foto/Nova Wahyudi menerusi REUTERS)
Sebelum istilah ini popular, masyarakat dan media Indonesia lebih sering menggunakan istilah "kebakaran hutan" sahaja.

Istilah ‘karhutla’ diciptakan kerana ada aspek teknikal dan perundangan, iaitu:
 
  • Daerah Terbakar: Menurut kalangan media Indonesia, banyak peristiwa kebakaran sebenarnya tidak terjadi di dalam kawasan hutan lindung atau hutan rimba, tetapi di lahan gambut terbuka, semak belukar, perkebunan sawit, dan kebun atau lahan yang diusahakan petani. Namun jika karhutla tidak terkawal, ia terbukti merebak ke hutan lindung seperti kawasan orang utan (haiwan terancam) di Kalimantan.
  • Kepastian Hukum: ada pembezaan antara ‘hutan’ dan ‘lahan’ dari segi perundangan. Istilah gabungan ini dikatakan “mempermudah penyelarasan lintas sektor (kehutanan dan pertanian) dalam memetakan tanggungjawab penegakan hukum terhadap pelaku kebakaran.

BERDIKARI

Masuk tiga dekad, saiz karhutla didapati antara 1 hingga 1.5 juta hektar (saiz Singapura hanya 734 hektar). Kos kerugian sudah puluhan bilion dolar, belum ternilai pula kos kesihatan dan maut ke atas manusia dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan.
Related article image
Seorang anggota penyelamat dan doktor haiwan mengangkat seekor orang utan yang dipindahkan dari sebuah kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia. (Gambar: REUTERS)
Karhutla 2026 berlaku seawal 1 Januari. Keadaan diperburuk oleh suasana yang sangat kering akibat gelombang haba Super El Niño yang berlaku pada Mac dan dijangka berakhir pada November ini.

Antara yang awal menghulurkan bantuan kepada Indonesia ialah pemerintah Jepun yang menghulurkan tiga buah helikopter Chinook, perlengkapan serta ratusan kakitangan - bermula pertengahan September hingga 29 September 2026 di Kalimantan Barat, Pontianak, dan Ketapang. Namun misi ini dihentikan kerana pemerintah Indonesia berasa mampu mandiri (berdikari atau mengatasinya sendiri). Kakitangan tentera Jepun telah dikurniai Satyalancana Dharma Samudera demi mengenang bakti mereka.
Related article image
Kakitangan tentera Jepun dikurniai Satyalancana Dharma Samudera. (Gambar: kemhan.go.id)
Hakikatnya, jiran-jiran Indonesia juga sedia dan sanggup menghulurkan bantuan. Namun laporan media menggambarkan semacam ‘gayung tidak bersambut’. Mengapa? Sesetengah pengamat berkata, Indonesia pimpinan Presiden Prabowo Subianto, tampak bersikap nasionalistik.
Related article image
Presiden Indonesia Prabowo Subianto mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan usaha menangani kebakaran hutan dan tanah dari Istana Merdeka, Jakarta, pada 12 Oktober 2026. (Gambar: Instagram/sekretariat.kabinet)
Dek jerebu yang kian tebal dan menjejaskan jiran-jiran Indonesia, meluap cetusan kemarahan jiran. Ini terpapar di media perdana dan media sosial. Pihak berkepentingan di Indonesia, dari menteri sehingga mantan menteri pula, telah memberikan reaksi sindiran keras seperti “selama sembilan bulan Indonesia membekalkan oksigen” kepada jiran serantau.
Hakikatnya, ramai rakyat Indonesia sendiri yang amat terjejas. Kaum Dayak di Kalimantan, misalnya, telah mengemukakan saman ke atas pemerintahnya. Bahkan ada Bupati (pegawai daerah) Siak, Dr. Afni Zulkifli, menerusi media sosial, dikatakan telah mengkritik habis-habisan. Pendakwah terkenal Riau, Ustaz Abdussamad (Ustaz Abdul Somad Batubara), telah menyifatkan para pelaku karhutla sebagai bakal “penghuni neraka”.

SIKAP JIRAN

Laporan media menyebut bahawa firma-firma yang terlibat dalam karhutla berdaftar di Singapura dan Malaysia. Antara lain, pemerintah Singapura telah melancarkan tindakan guaman menerusi Akta Jerebu Rentas Sempadan, jika terbukti kesalahan, ke atas firma-firma terbabit. Misalnya, permohonan firma Asia Pulp & Paper Company dan anak syarikatnya bagi sijil ‘hijau’ (mesra alam) telah ditunda.
Related article image
Produk kertas tisu Paseo yang diperakui di bawah Skim Pelabelan Hijau Singapura yang dipertingkat. (Gambar: Laman web Skim Pelabelan Hijau Singapura)
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebagai jiran, tentu kita amat bertenggang rasa (empati) akan kesukaran hidup rakyat Indonesia, terutama di kawasan karhutla.
Related article image
Pak Tenas Effendy. (Gambar: YouTube/Gahara)
Budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (Teuku Nasaruddin Said Effendy) (1936 - 2015) telah mewariskan ribuan ungkapan ‘Tunjuk Ajar Melayu’ demi menegaskan betapa amat penting memelihara alam, antara lain:
 
  • “Tanda orang memegang amanah, pantang merosak hutan dan tanah.”
  • “Tanda orang berfikiran panjang, merosak alam dia berpantang.”

Dari segi kos kerosakan ke atas alam sehingga pelancongan, kesan jerebu memang sudah dimaklumkan. Namun sejauh ini, seperti pernah diucapkan Duta Kelana Singapura, Prof Tommy Koh, diplomasi serantau yang berteraskan budi Melayu, telah menenangkan keadaan.
Related article image
Diplomat veteran Profesor Tommy Koh. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Sesungguhnya, melalui prinsip kepedulian kejiranan rumpun Melayu-Islam, bantuan kepada Indonesia untuk menangani karhutla perlu digerakkan berasaskan konsep ta’awun (tolong-menolong), ukhuwah Islamiyah (persaudaraan), dan semangat serumpun yang berakar umbi di rantau Asia Tenggara (khususnya antara Malaysia, Brunei, dan Indonesia).

Negara-negara jiran boleh menghulurkan bantuan melalui beberapa pendekatan strategik dari segi bantuan kemanusiaan (derma wang sehingga keperluan asas), memperkuat ikatan kerjasama badan bukan pemerintah yang cenderung memelihara alam semula jadi, sehingga perkongsian teknologi dan kepakaran.

ASEAN sudah mempunyai Dana Bencana dan Kecemasan (Admer) dan ia boleh diperbesar menerusi pungutan derma kilat warga ASEAN. Ia wajar digunakan untuk meringankan beban Indonesia, selain membiayai usaha memantau dan menyedia prasarana asas bagi membentengi karhutla.

Ketika makalah ini diketik, langit kembali membiru di Singapura - hasil tiupan monsun dan hujan. Diharapkan ini berlaku juga di Sumatra dan Kalimantan.
Related article image
Mutu udara Singapura bertambah baik pada 27 Oktober 2026. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Yang utama, kita perlu memberikan isyarat jelas kepada jiran, terutama yang besar seperti Indonesia seluas 1.9 juta km persegi dengan lebih 17,000 pulau, bahawa kita sama-sama sanggup membantu secepat terdaya demi membina kejiranan rantau yang aman lagi harmoni.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS, 1924 – 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ketika menyusun buku peribahasanya, ‘Mutiara Bijaksana’ (ASAS’50, 2011), Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad sering mengingatkan saya jika “alam tidak dipelihara, manusia sendiri akan binasa”.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita