Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Aidilfitri Dengan Budi Berbagi

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Aidilfitri Dengan Budi Berbagi

Suasana Qaryah di kolong blok. (Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Termaklum kita akan makna Hari Raya Aidilfitri sebagai hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Hari Raya juga disebut sebagai Lebaran, yakni membawa maksud keluasan dan kebesaran pada hari mulia ini.

Dalam Bahasa Jawa pula menurut K.H. Hussein Muhammad, Lebaran membawa pengertian “bebas, lepas, usai, selesai.”

Lebaran menandakan kemenangan Syawal, dengan berakhirnya Ramadan.

Jika direnung dari pelbagai segi amalan dan perbuatan, Hari Raya adalah hari kebesaran jiwa. Kebesaran jiwa datang bukan setakat kerana sebuah kejayaan menyempurnakan ibadah puasa, tetapi kebesaran jiwa dalam melaksanakan berbagai amalan mulia dan berguna, sama ada kita sedar mahupun tidak.

Yang dimaksudkan amalan mulia ini adalah sikap dan amalan berbagi. Inilah inti dan semangat Aidilfitri. Sedari kecil di rumah, kita diajar oleh ibu dan bapa agar saling berbagi sesama adik-beradik, entah itu makanan, mainan, hiasan ataupun apa jua kemudahan.

Budi berbagi ini sudah kita mulai dan terapkan sejak bulan Ramadan. Di bulan puasa ini, bubur lambuk dibahagikan kepada masyarakat di sekeliling masjid. Juadah puasa, sama ada dibuat atau dibeli, akan dibahagi-bahagikan dengan jiran dan sahabat. Inilah juga bulan di mana ahli keluarga yang lebih mampu akan memberi wang Raya untuk dibelikan baju dan sepatu, ataupun baju Melayu untuk menyambut hari besar ini.

Agihan bubur Ramadan di Masjid Sultan. (Gambar: Syawal Yusoff)
Di bulan puasa juga diadakan majlis berbuka puasa, baik di masjid mahupun di rumah. Di bulan mulia ini juga persatuan-persatuan kebajikan mula mengumpulkan sumber untuk dibawa menyantuni orang tua, anak yatim dan ibu tunggal. Apabila yang miskin terlantar disantuni, itulah makna meraikan Aidilftri dengan budi berbagi.

Bulan Ramadan dan Syawal adalah hamparan berkat untuk umat Islam berbagi. Nurcholish Madjid dalam siri renungan sepanjang Ramadan, yang termuat dalam buku 30 Sajian Ruhani (1998), menyimpulkan dengan tuntas:

“Ibadah puasa diharapkan akan dapat memelihara dan meningkatkan harkat dan martabat kemanusiaan dengan pencapaian pengalaman batin atau ruhaniah yang berupa tumbuhnya sikap empati (kondisi psikologis dapat menempatkan diri pada posisi orang lain yang dalam kesusahan). Ini berkaitan erat dengan pelajaran mengentaskan kemiskinan sebagai upaya penyucian diri. Menyantuni yatim piatu dan orang miskin dianjurkan tidak hanya sepanjang bulan puasa, tetapi juga terus dapat berkesinambungan sehingga kepekaan batin terus terpelihara.”

Sebelum Syawal menjelang, zakat fitrah dibayar dan ini adalah penyaluran sumber yang sangat bererti untuk membantu mereka yang memerlukan. Belum lagi sedekah yang banyak dihulurkan sepanjang Ramadan.
Sepanjang Ramadan pada dekad-dekad terdahulu, adanya amalan mengirim kad Hari Raya, yang ditujukan kepada keluarga dan taulan sebagai utusan “pengganti diri” dengan pemohonan maaf zahir dan batin.
Seorang wanita menulis kad Hari Raya. (Gambar: BERNAMA)
Dari siaran radio, ada ruangan sampaikan lagu, kepada sanak saudara dan taulan yang berjauhan. Itulah contoh berbagi kasih sayang dari udara.

Di Indonesia, ada tradisi mengirimkan hamper Lebaran (bungkusan hadiah) sebagai tanda kasih berbagi dan menghargai teman atau saudara terdekat. Orang yang mudik pulang ke kampung halaman, pasti sudah membawa persiapan Hari Raya untuk dibahagikan kepada keluarga dan sanak saudara. Berbagi itu menjadi tanda hati.

Di pagi Syawal, juga akan ada dibahagi-bahagikan duit Raya. Kini duit Raya tersedia dalam sampul berwarna hijau, yakni sedekah kepada anak-anak kecil, remaja yang masih bersekolah, orang-orang tua yang sudah tidak bekerja, mahupun mereka yang sakit-sakit.
Sampul duit raya. (Gambar hiasan: Pixabay)
Kuih-muih Raya juga dibahagi-bahagikan. Sudah menjadi amalan, ada keluarga yang akan membuat kuih Raya berlebih sedikit untuk diberikan kepada saudara-mara atau taulan, khasnya mereka yang memerlukan.

Di Singapura, pagi Raya menjadi kebiasaan bagi keluarga Melayu untuk memberikan lauk-pauk, ketupat-rendang dan kuih-muih kepada jiran Cina dan India mereka. Semangat berbagi inilah yang mengekalkan keakraban sesama tetangga. Bukan sahaja pada yang hidup diperkirakan di bulan baik ini. Menziarahi kubur, membersihkannya dan mendoakan mereka yang telah berpergian juga menjadi sebahagian amalan yang terbiasa. Memanjatkan doa kepada yang telah meninggal dunia juga lahir daripada semangat berbagi ini.

Sekiraya Ramadan terpenuh dengan anjuran meningkatkan amal ibadat, Syawal pula dihiasi dengan pelbagai amalan baik. Berbagi juga merangkumi berbagi masa. Itulah yang dapat kita perhatikan sepanjang bulan Raya.

Malah bersilaturahmi adalah kewajipan, bukan setakat anjuran, menurut Quraish Shihab. Anjuran kembali kepada fitrah masing-masing, menggalakkan sikap maaf-memaafi, menjadi peringatan bersama. Yang lepas harus dibaiki, yang baru harus dimulai.

Lagu Raya Menginsafi

Salah satu nilai murni yang dianjurkan ialah sikap berempati. Bahasa Melayu lama kita menyebutnya sebagai bertenggang rasa. Rasa bagaimana orang lain dalam kesakitan, kedukaan, kesusahan dan kesempitan. Dengan itu kita terpanggil meringankan derita dan kesusahan mereka.

Begitulah kalau kita menelusuri beberapa lagu Raya. Sepanjang menyambut Syawal, akan kita diperdengarkan dengan banyak lagu Raya. “Dendang Perantau” oleh P Ramlee, pasti memilu bagi mereka yang merantau jauh meninggalkan kampung halaman.

Lagu bagi mereka yang ayah ibunya sudah berpergian, pasti hiba dengan “Musafir Aidilfitri” oleh S. Jibeng, sedang kerinduan kekasih yang terputus orang yang disayanginya dipaparkan dalam lagu “Pulanglah” oleh Aishah. Hari mulia inilah kita mahu bersama meraikan dengan ibu bapa agar dapat memohon ampun maaf. Itulah terbayang dalam “Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda,” oleh kumpulan nasyid Al-Jawaher asal Singapura. Lagu-lagu ini bergema lagi membekas dalam benak kita.
Gambar fail sebuah keluarga bermaaf-maafan pada pagi Raya. (Gambar: TODAYonline)
Pastinya banyak lagi dalam senarai lagu yang “menginsafkan” sehingga membawa kita menebalkan rasa empati. “Bersabarlah Sayang” nyanyian Sanisah Huri rasanya adalah antara yang paling menyentuh. Lagu ciptaan Kassim Masdor ini, dan liriknya oleh Yusnor EF diterbitkan pada 1972.

Bayangkanlah derita seseorang yang sudah terasing atau tertuduh salah, dan tidak punya apa-apa, pada hari mulia. Mereka yang tidak memahami derita dan pilu seseorang itu, mudah sahaja menuding jari menyalahkan. Namun dampingan teman yang memahami adalah anugerah terbesar. Beginilah lirik lagu mendayu ini:

“Semua insan sedang gembira di hari ini, Sayang
Hari yang mulia, marilah bersama BerHari Raya, hilangkan duka
Lupakan saja kisah yang lalu, gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan, jangan engkau tangiskan
Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu, di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati, biarkan engkau sendiri
Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita dan luka di dada
Hanyaku harapkan kau harus bersabar dan bertenang selalu”


Semangat dari lagu sebegini adalah ayuh kita sedia berdiri dengan mereka terberat oleh duka, tidak punya siapa-siapa, atau langsung tak berpunya.

Indahnya Berbagi Raya

Sebuah cerpen berjudul “Mas Mantri Menjenguk Tuhan,” karya Ahmad Tohari dari Indonesia membingkis peristiwa pagi Raya dengan sejumlah manusia yang berhati mulia.

Mas Mantri keluar rumah untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di masjid. Sewaktu berjalan ke masjid, beliau terdengar Nek Trimo, tetangganya yang terbatuk-batuk. Orang tua itu hidup sebatang kara, tersangat uzur tanpa ubatan dan makanan. Mas Mantri lantas menguruskannya.

Namun teman-teman Mas Mantri yakni Den Basus dan Kang Marto menjadi risau ketidakhadiran Mas Mantri di upacara sembahyang pagi Raya. Mereka ketemukan Mas Mantri dengan nenek tua yang terlantar itu.

Mas Mantri tidak dapat melangsungkan sembahyang sunat Hari Raya kerana wajib di atasnya menguruskan nenek tua yang sakit terlantar itu. Teman-temannya gusar kerana Mas Mantri tidak menunaikan sembahyang Raya. Bagi mereka ini sesuatu yang wajar dijelaskan. Ditukil sedikit dari cerpen ini:

“Karena menemani Nek Trimo sehingga tak bisa pergi sholat Id, apakah saya salah?” tanya Mas Mantri dengan pandangan mata tertuju kepada saya. Den Besus dan Kang Marto Pacul pun berbuat sama sehingga saya merasa jadi pusat perhatian.”

Ternyata perbuatan Mas Matri menginsafkan teman-temannya termasuk “saya” dalam cerpen ini:

“Entahlah, pertanyaan Mas Mantri terasa langsung menusuk dasar iman saya. Ya Tuhan, saya merasa malu karena tiba-tiba saya teringat pernyataan Tuhan sendiri bahwa barang siapa menjenguk si sakit, si haus, dan si lapar, maka berarti dia telah menjenguk Tuhan. Dan ternyata Mas Mantri-lah yg telah melakukan kesalehan tersebut. Saya merasakan adanya ironi yg tajam karena sangat boleh jadi Mas Mantri justru belum tahu akan adanya pernyataan Tuhan itu.”

Watak “saya” ialah antara teman-teman Mas Mantri. Keinsafan beliaulah yang membuatnya akur bahawa: “Mas Mantri telah menunaikan silaturahmi paling hakiki antara sesama manusia, sekali gus menziarahi Tuhan seperti telah dinyatakan dalam sabda Dia sendiri. Silaturahmi macam itu terang lebih maknawi daripada sholat (sunah) Id, serta salam-salaman yg masih bersifat simbolis.”

Mas Mastri telah membuat teman-temannya sedar. Menuntun yang sakit dan terlantar di pagi Raya adalah amalan wajib yang lebih tuntutannya dari sembahyang Adilfitri yang hukumnya sunat.

Inti terpenting dalam cerpen ini adalah kebaktian kepada Tuhan, bukanlah setakat pada ibadat solat, puasa dan haji. Tapi menjaga kebajikan yang miskin, melayani yang terlantar adalah tuntutan Tuhan ke atas hambaNya.

Maka menjenguk yang miskin itu seumpama menjenguk Tuhan. Apalagi yang lebih besar di hari Lebaran, kalau tidak dengan jiwa besar, sanggup berbagi kebaikan untuk yang memerlukan, bukan sahaja sesama Islam, tetapi juga pada umat manusia lainnya.
Agihan bubur kepada pekerja hijrahan. (Gambar ihsan: Zaki Abdul Aziz)
Berbagi kebaikan dalam perbuatan, doa dan harapan adalah nilai kemanusiaan yang diajarkan dalam agama kita. Quraish Shihab pernah menitip agar kita berdoa pada bulan baik ini, yang wajar kita tujukan kepada saudara terdekat, termasuk umat Islam, saudara sebangsa mahupun saudara sekemanusiaan. Menyerulah kita kepada Tuhan:

“Anugerahilah kami pengampunan, dan hindarkanlah dari hati kami segala macam kedengkian. Jadikanlah kami orang-orang yang bersaudara, orang-orang yang saling bantu-membantu, saling tolong-menolong di dalam kebaikan.”

Itulah seharusnya doa kita kepada Ilahi pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Ayuh sama-sama kita berdiri untuk berbagi di Aidilfitri ini. Dengan jiwa besar kita sambutnya.

Selamat Hari Raya kita dahului, Maaf Zahir & Batin kita susuli, semoga Rahmatan Aidilfitri mengabadi.

MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan