2 TAHUN PERANG ISRAEL-HAMAS: Konflik Yang Merubah Dinamik Timur Tengah
Dua tahun telah berlalu sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 menggegarkan dunia sehingga ke hari ini.
Sepanjang tempoh tersebut, banyak lakaran sejarah telah berlaku sehingga kadangkala sukar untuk kita memahami bahawa semua ini bermula hanya dua tahun yang lalu.
Apa yang pada mulanya kelihatan sebagai konflik tempatan antara Israel dan Hamas di Gaza telah berkembang menjadi konfrontasi serantau yang melibatkan pelbagai pihak – dari Hezbollah di Lubnan hingga ke pelbagai kumpulan proksi Iran di Iraq dan Yaman, dan akhirnya Iran sendiri.
Peningkatan ini telah membuka mata kita kepada hakikat bahawa dinamik keselamatan yang mungkin belum pernah didedahkan sepenuhnya sebelum ini, termasuk kekuatan dan kelemahan setiap pihak yang terlibat.
Kekuatan dan Kelemahan Israel
Konflik dua tahun ini telah membuktikan satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, iaitu bahawa Israel memiliki salah satu perkhidmatan perisikan yang paling digeruni seluruh dunia.
Serangan menggunakan alat kelui (pager) terhadap anggota Hezbollah pada September 2024 telah mengejutkan para peneliti ketenteraan, termasuk para penganalisis yang sejak sekian lama memperhatikan operasi unit-unit risikan Israel.
Operasi alat kelui tersebut, yang melibatkan beribu-ribu alat komunikasi milik anggota Hezbollah meletup secara serentak, bukan sahaja membunuh dan mencederakan ratusan anggota kumpulan tersebut, tetapi juga menghancurkan rangkaian komunikasi dan menggoyahkan keyakinan mereka.
Kejayaan Israel dalam membunuh beberapa pemimpin kanan Hezbollah, termasuk Hassan Nasrallah sendiri, telah meningkatkan keyakinan dan semangat pasukan keselamatan Israel untuk meneruskan kempen ketenteraan mereka terhadap Hamas.
Walaupun sistem pertahanan udara Israel seperti Iron Dome, David's Sling, dan Arrow telah terbukti berkesan dalam menangkis roket dan peluru berpandu konvensional, pemintasan peluru berpandu hipersonik memerlukan tahap teknologi dan kemahiran yang belum lagi dicapai oleh para saintis Israel mahupun Amerika Syarikat.
Peluru berpandu hipersonik seperti Fattah 1 yang telah dilancarkan oleh tentera Iran, mampu merentasi udara pada kelajuan lebih daripada lima kali ganda kelajuan bunyi (speed of sound) dan mampu mengubah cara ia menghampiri sasarannya pada saat-saat akhir.
Lantaran itu, peluru berpandu hipersonik sangat sukar untuk dikesan dan dipintas.
Beberapa rakaman video yang telah tersebar di Internet dalam masa beberapa hari selepas tercetusnya peperangan antara Israel dan Iran jelas menunjukkan bahawa beberapa peluru berpandu hipersonik Iran telah berjaya menembusi sistem pertahanan Iron Dome dan merempuh lokasi-lokasi dan kemudahan-kemudahan yang disasarkannya.
Serangan-serangan Iran ini pastinya telah menimbulkan kebimbangan dan besar kemungkinan telah mendorong perubahan pada perancangan pertahanan Israel.
Kekuatan dan Kelemahan Tentera Timur Tengah
Di sebalik pencapaian Iran dalam teknologi peluru berpandu hipersonik, konflik ini telah mendedahkan satu kelemahan genting pada keupayaan pertahanan udara negara tersebut.
Serangan-serangan udara Israel ke atas wilayah-wilayah di Iran telah berjaya dilakukan dengan kehilangan yang minimal, membuktikan bahawa sistem pertahanan udara Iran – walaupun terdiri daripada gabungan teknologi China, Rusia dan sistem tempatan – masih jauh ketinggalan berbanding dengan keupayaan ofensif Israel.
Yang lebih mengejutkan ialah kelemahan negara-negara Arab dalam mengesan dan menangkis pesawat tempur Israel.
Qatar, sebagai contoh, dilaporkan sama sekali tidak dapat mengesan pesawat Israel yang melalui ruang udaranya dalam beberapa serangan ke atas sasaran di negara tersebut.
Perkembangan-perkembangan ini besar kemungkinan telah mencetuskan penilaian semula yang mendalam terhadap doktrin ketenteraan di seluruh Timur Tengah.
Israel pasti kini sedang mengutamakan pembangunan sistem pertahanan anti-hipersonik generasi baharu dan sedang berkerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mempercepatkan pembangunan teknologi laser bertenaga tinggi yang boleh memintas senjata-senjata hipersonik.
Iran pula sudah menyedari bahawa teknologi peluru berpandu hipersoniknya, walaupun efektif, tidak mencukupi tanpa sistem pertahanan udara yang kukuh.
Lebih penting lagi, Iran dipercayai sedang menyusun semula doktrin ketenteraannya supaya tidak lagi bergantung kepada pencegahan melalui kumpulan proksi dan sedang berupaya untuk meningkatkan lagi sistem-sistem peperangan asimetri, seperti dron Shahed 136, yang telah terbukti berkesan dalam peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Negara-negara Arab pula, terutamanya negara-negara Teluk, kini menghadapi dilema strategik.
Berlatarbelakangkan “kekalahan” yang ditanggung oleh Iran dan Qatar dalam pertembungan mereka dengan tentera udara Israel pada Jun dan September lalu, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar semuanya telah melancarkan program pengupayaan ketenteraan yang besar, dan sebahagian besar anggaran ini telah disalurkan kepada radar generasi baharu dan sistem pertahanan udara berlapis.
Lebih ketara lagi, negara-negara ini juga dipercayai sudah mula membangunkan keupayaan perisikan mereka sendiri, menyedari bahawa kekuatan tentera sebenar kadangkala memerlukan kesedaran situasi yang mungkin hanya boleh dicungkil melalui pasukan perisik yang mampan.
Sokongan Amerika Terhadap Israel
Namun, di tengah-tengah semua perubahan dan penyesuaian doktrin ketenteraan di rantau Timur Tengah ini, satu perkara kekal tidak berubah, iatu sokongan teguh Amerika Syarikat terhadap Israel.
Dalam tempoh dua tahun ini, Amerika Syarikat telah berkali-kali menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang resolusi yang mengkritik atau mengenakan sekatan terhadap Israel.
Amerika Syarikat juga telah melancarkan operasi ketenteraannya sendiri untuk membantu mempertahankan Israel daripada serangan Iran, termasuk menembak jatuh peluru berpandu dan dron.
Kedudukan dan pendirian Amerika Syarikat yang tidak berbelah bahagi ini, tanpa mengira tindakan yang telah dilakukan
oleh Israel selama dua tahun ini, semakin mempolarisasikan dunia.
Di satu pihak, sekutu tradisional Barat sebahagian besarnya menyokong pendirian Amerika Syarikat, walaupun dengan tahap keraguan yang semakin meningkat.
Polarisasi ini mempunyai implikasi yang melangkaui Timur Tengah. Ia memperkukuhkan persepsi bahawa tatanan (peraturan) dunia yang didominasi Barat sedang terhakis, dan sudah tiba masanya untuk negara-negara mencari aturan keselamatan alternatif.
Maka dua tahun selepas 7 Oktober, peperangan antara Hamas dan Israel telah mengubah bukan sahaja landskap strategik di Timur Tengah, tetapi juga landskap strategik seluruh dunia.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.