Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

1 TAHUN PERANG UKRAINE: Perang 'Mother Russia' masih belum jelas kesudahannya

Anggaran Waktu Membaca:
1 TAHUN PERANG UKRAINE: Perang 'Mother Russia' masih belum jelas kesudahannya

Gambar fail: YASUYOSHI CHIBA / AFP

BERITAmediacorp: 24 Februari 2023 merupakan tarikh ulang tahun pertama Perang Ukraine-Rusia. Pada tarikh ini tahun lalu, Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas tanah besar Ukraine.

Selepas setahun, perang itu masih belum berakhir dan seperti yang dikhuatiri umum, masih belum pasti apakah kesudahannya
.

Walaupun di awal perang Rusia yakin ia dapat cepat menakluki ibu kota Ukraine, ternyata belum ada petanda jelas ia akan berlaku dalam jangka masa yang segera.

Rusia masih terkapar-kapar dalam memenuhi aspirasi memulihkan ‘Mother Russia’. Bahkan ada laporan menyebut Rusia kehilangan sepertiga askar yang dikerahkannya ke perang itu. Bahkan sekatan Barat ke atas Rusia telah melemahkan keupayaan operasinya di Ukraine.

Ukraine juga di sebalik laporan semangat askar dan sukarelawannya yang masih tinggi, terus mengeluh atas kerosakan banyak kotanya. Ia masih terkapar-kapar mahu mengekalkan kemerdekaan dan hasrat sebahagian kepimpinannya mahu bersama Eropah Barat.

Kedua-dua Ukraine dan Rusia terus menderita banyak kemusnahan harta benda dan nyawa. Antara lain terdapat perangkaan mencatatkan kemusnahan berikut sepanjang setahun yang berlalu: kematian 42,295, luka tidak membunuh 54,132, askar/rakyat hilang lebih 15,000, bangunan musnah lebih 140,000, harta musnah bernilai AS$350 bilion.
 
Wad bersalin sebuah hospital di bandar Vilnyansk di utara Zaporizhzhia musnah akibat serangan Rusia pada 23 November 2022. (Gambar: Katerina Klochko/AFP)
Perang itu terus menimbulkan ketidakpastian dan kebimbangan bukan sahaja kepada Ukraine dan Rusia sendiri, bahkan juga kepada masyarakat dunia yang tentunya sukar terelak daripada terjejas kepada kesan perang tersebut.

PERANG YANG MENGINSAFKAN

Jadi, ulang tahun ini bukanlah peringatan kepada suatu detik yang menggembirakan. Sebaliknya, ulang tahun ini harus menjadi satu peringatan yang menginsafkan betapa perang, sekecil mana pun skalanya dan untuk tujuan apa pun dilancarkan, mempunya risiko untuk merebak, berpanjangan dan membawa kemusnahan.

Kenyataannya, seperti banyak perang yang lain, perang ini berpotensi mengancam aspirasi bersama untuk mengekalkan perdamaian dunia kerana kerosakan besar yang ditimpakannya bukan sahaja kepada kebinasaan harta benda dan nyawa bahkan kepada ketamadunan dan kemanusiaan.

Sudah ada sentimen Perang Ukraine-Rusia ini mengembalikan kengerian kenangan dahsyatnya kesan perang terbuka terdahulu kepada dunia, terutamanya Perang Dunia II.

Walaupun hakikatnya perang ini hanya membabitkan dua negara yang berkongsi sempadan, pembesaran skalanya yang diramal tidak mustahil boleh berlaku dengan penyertaan negara-negara lain, boleh mengundang kemudaratan lebih besar, bahkan termasuk kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

Perang Ukraine-Rusia ini meletus daripada latar belakang yang sudah lama dikesan.

Sejak runtuhnya Empayar Rusia dan Kesatuan Soviet (Soviet Union) berpecah-pecah, sentimen kepada Rusia yang bersatu tidaklah hilang begitu sahaja.

UKRAINE MASIH SEBAHAGIAN 'MOTHER RUSSIA'

Rusia terus menentang Ukraine yang merdeka disebabkan masih kuatnya sentimen dalam kalangan sebahagian golongan elit Rusia bahawa wilayah lama Empayar Soviet, seperti Ukraine, masih terus dianggap sebagai sebahagian daripada ‘Mother Russia’.

Sebahagian besar kepimpinan Rusia mutakhir yang masih mengongsi sentimen sejarah itu menganggap penting penaklukan Ukraine sebagai usaha pemulihan “Historical Russia’.

Sentimen politik lama itu berterusan lama selepas itu terutama dengan unsur politik dua belahan antara Rusia di satu pihak dengan Ukraine yang dilihat cenderung kepada pihak Barat, terutama Amerika Syarikat dan Eropah Barat.

Kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilihat kepimpinan Rusia sebagai duri dalam daging kepada keselamatan dan kesejahteraan negaranya.
Ibu pejabat NATO di Brussels. (Gambar fail: ludovic MARIN/POOL)
Kepimpinan Rusia melihat kewujudan NATO sebagai helah Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Eropah Barat untuk mengekang kebangkitan Rusia sambil menyifatkannya serupa dengan gagasan Nazi sebelumnya.

Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa Rusia menyerang Ukraine sebagai langkah untuk “denazify Ukraine” walaupun Amerika Syarikat dan Britain menyanggahnya.
Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar fail: Mikhail Metzel/Sputnik/AFP)
Kepimpinan Rusia cuba memberi gambaran menerusi Perang Ukraine-Rusia bahawa Rusia menjadi hanya satu-satunya kuasa yang berjuang mempertahankan Eropah dari Fasisme. Mungkin ini menjadi usaha Rusia ‘merawat rasa sedih perpecahan lama’ penduduk-penduduk di kawasan lamanya yang pernah menjadi sebahagian Empayar Soviet.

KUASA EMPAYAR SOVIET

Sudah tentu Kuasa Barat yang diterajui Amerika Syarikat akan menolak hujah Soviet itu.

Masyarakat dunia melihat bahaya daripada Perang Ukraine-Soviet itu kerana kesan kepelbagaian dimensinya (politik, ekonomi, sentimen bangsa) yang boleh menjejas kepentingan dan kesejahteraan bersama dunia.

Satu sebabnya ialah keterbukaan dunia dalam perhubungan antarabangsa dan dalam urusan ekonomi dan urus niaga.

Ukraine dan Persekutuan Rusia sendiri merupakan antara pengeluar utama makanan dunia. Bersama, mereka digelar ‘bakul roti dunia’ sebagai antara pengeluar utama gandum, barli, jagung, maiza dan minyak sunflower. Rusia juga pengeksport utama gas asli dunia. Bersama jirannya Belarus, Rusia mengeksport 1/5 bekalan baja dunia.

Perang kedua-dua negara itu mengganggu bekalan barangan penting dan memaksa kenaikan harga. Ini menjejas harga pasaran dunia.

Kini dunia sudahpun terasa kesan jelas kenaikan harga makanan dan harga minyak mentah. Paling terjejas adalah negara-negara miskin dan yang bergantung kepada sumber import.

Kenaikan harga barang akibat gangguan bekalan disebabkan oleh perang dan kesan berkaitan dengannya, seperti pengangkutan, menjadi bertambah serius dengan fenomena penularan wabak COVID-19.

KESIMPULANNYA

Keseluruhannya, masalah datang dari gangguan rantai penawaran (bekalan) dan pasaran kewangan dan bayaran pengangkutan. Semua itu saling berkaitan menyebabkan berlakunya inflasi dan tentunya menaikkan beban hutang negara.

Apakah yang patut difahami daripada peringatan setahun berlangsungnya Perang Ukraine-Rusia ini?

Sepanjang setahun berlangsungnya perang ini, ia membenarkan kebimbangan awal sebahagian pihak bahawa ia tidak mungkin berkesudahan pendek dengan penyelesaian muktamad kepada kedua-dua pihak Ukraine dan Rusia. Lumrahnya, apabila perang meletus, sukar untuk dikawal. Situasi menjadi terus bergelora dan kerosakan dan kemusnahan bertambah besar.

Dalam dunia yang semakin terbuka, sukar untuk membataskan perang dengan menghadkan kepada dua pihak yang berperang sahaja. Keterikatan dunia pasti menjejas dan melibatkan kepentingan dan keperluan negara-negara yang hakikatnya tidak berperang atau mengisytiharkan perang. Potensi untuk negara-negara lain turut ikut campur sukar disekat.

Perang dua negara bertambah rumit kerana penyertaan dua kuasa yang masing-masing mempunyai kepentingan sendiri – Rusia dengan sentimen kuasa besar yang pernah dinikmati dahulu di satu pihak dan Amerika Syarikat dan Eropah Barat yang mendakwa mahu mengekalkan pilihan kemerdekaan dan kedaulatan negara masing-masing di satu pihak yang lain.
Orang ramai berjalan di hadapan bangunan yang musnah di Kharkiv pada 18 Februari 2023 di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. (Gambar: SERGEY BOBOK / AFP)

Pertelagahan dua kelompok kuasa yang diwakili dalam perang Ukraine-Rusia ini patut menimbulkan keinsafan bahaya terus berpegang kepada sikap taksub dengan fahaman atau aliran politik sendiri-sendiri.

Sikap dan pegangan keras sebegini akan membelakangkan maslahat umum untuk hidup saling berbaik-baik dan membina kesefahaman demi mencapai perdamaian bersama.

Ulang tahun ini seharusnya lebih menimbulkan kesedaran betapa ketaksuban kepada kepentingan kelompok akan terus mengancam keamanan dunia tanpa pertimbangan muhibah dunia.

MENGENAI PENULIS:


Maarof Salleh adalah mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Zamil Pelawat Kanan ISEAS - Yusof Ishak Institute.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan