Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

1 TAHUN PERANG UKRAINE: Dunia belum terlepas dari kesan Perang Gandum

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Negara-negara Barat telah menuduh Rusia sebagai dalang yang mencetuskan ‘perang gandum’ selepas harga gandum dunia mencecah paras tertinggi, dengan negara-negara pengeluar utama seperti Rusia, Kazakhstan dan India menamatkan eksport mereka.

Selepas New Delhi mengumumkan ia tidak akan mengeksport komoditi itu, harga gandum diperdagangkan enam peratus lebih tinggi kepada AS$12.47 segantang di pasaran Chicago Board of Trade, yang merupakan jumlah tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Selain itu, harga gandum di Eropah turut mencecah rekod tertinggi iaitu kira-kira AS$461 setiap satu tan.

Menurut para pakar, harga gandum meningkat lebih 60 peratus, disebabkan oleh konflik antara Rusia dengan Ukraine.

Kedua-dua negara itu merangkumi hampir sepertiga daripada eksport gandum global.

Bagi musim 2021-2022, para pembekal dari Rusia merangkumi 16 peratus daripada eksport gandum global, manakala pengeluar Ukraine pula terdiri daripada 10 peratus.

Namun, konflik antara kedua-dua negara telah memburukkan lagi keadaan, di mana Mosko menyekat eksport semua jenis bijirin (gandum, rai, barli dan jagung) di luar Kesatuan Eropah (EU) sehingga 30 Jun 2022, manakala Ukraine pula telah menutup satu-satunya pelabuhannya di Odessa.

Sekatan anti-Russia telah memaksa syarikat-syarikat antarabangsa untuk memutuskan hubungan perniagaan yang telah lama dibina dengan Mosko lantas meninggalkan pasaran itu, seterusnya mengakibatkan gangguan pada bekalan global.

Situasi itu diburukkan lagi apabila Kazakhstan juga melakukan sekatan yang sama selain India turut menyekat eksport gandumnya ke negara-negara lain bagi melindungi keselamatan makanan domestik.

(Gambar: Oleksandr Gimanov/AFP)

KRISIS GANDUM MEREBAK KE SELURUH DUNIA

Krisis gandum sudah ‘merebak’ ke seluruh dunia dengan negara-negara Afrika yang paling teruk terjejas, disebabkan oleh kebergantungan kepada Laut Hitam bagi 90 peratus keperluan gandumnya.

Dalam pada itu, menurut akhbar Rusia, Izvestia, Mosko dan Kiev bukanlah satu-satunya pengeksport utama bagi gandum dunia.

Negara-negara pengeksport lain juga boleh menyelamatkan dunia daripada krisis ‘perang gandum’ seperti Amerika Syarikat dan Kanada yang mengeksport 26 juta tan dan 25 juta tan gandum setiap satu.

Ia bersamaan dengan kira-kira 25 peratus daripada eksport global.

Negara pengeluar lain di Barat adalah Perancis dengan 19 juta tan bagi eksport gandum serta Jerman dengan 9.2 juta tan. Namun, para penganalisis berpendapat bahawa negara-negara tersebut berkemungkinan tidak akan berkongsi bekalan gandum mereka dengan negara-negara yang memerlukan kerana mengutamakan keselamatan makanan sendiri.

“Negara-negara tersebut mempunyai kesukaran mereka sendiri, dengan sebahagian besar disebabkan oleh harga tenaga, kos pengeluaran dan inflasi. Justeru, mereka tidak dapat membantu negara-negara terjejas lain yang akan terpaksa berlapar,” menurut pakar kajian strategik dari firma Total Research, Nikolai Vavilov.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Analitik firma penyelidikan NTech, Daria Akimova berkata, negara-negara Barat mungkin mahu menyimpan bahan mentah yang mereka miliki bagi melindungi ekonomi daripada lonjakan inflasi pada masa akan datang.

“Bagi melindungi penduduk sendiri daripada mengalami kebuluran dan mengurangkan kadar inflasi, negara-negara pengeluar gandum ini cuba menyimpan bahan mentah mereka,” kata beliau. 

HARGA GANDUM TERUS MELONJAK

Harga gandum dunia melonjak lebih 5 peratus dengan mencatat paras tertinggi harian dalam tempoh dua minggu kepada AS$8.942 segantang atau AS$0.3312 sekilogram, selepas Rusia menarik diri daripada Perjanjian Laut Hitam.

Tindakan Rusia itu dibuat menyusuli serangan ke atas kapalnya di pelabuhan Sevastopol di Crimea.

Langkah menarik diri daripada perjanjian itu menggugat bekalan bijirin tersebut ke peringkat global, lebih-lebih lagi selepas keselamatan kapal pengangkut sudah tidak lagi terjamin.

Rusia dan Ukraine adalah antara pengeksport gandum terbesar dunia, dengan Perjanjian Laut Hitam yang dimeterai membantu mengurangkan tekanan ke atas harga gandum.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen laluan selamat bagi mengangkut bijirin di Laut Hitam.

Berikutan perjanjian yang dimeterai itu, harga gandum susut daripada paras tertingginya AS$12.80 segantang atau AS$0.47 sekilogram ketika itu.

Peningkatan harga gandum juga memberi impak kepada permintaan bijirin dan mencetuskan kebimbangan ke atas kekurangan bekalan.

Menurut para penganalisis, kos perkapalan dan insurans berkemungkinan meningkat walaupun eksport menerusi laluan laut diteruskan.

PERANAN LAUT HITAM

 

Bagaimanapun, mereka mendedahkan tawaran baru dalam perjanjian yang memberi kesan kepada eksport Ukraine menjelang tarikh akhir untuk memperbaharui perjanjian itu pada 19 November lalu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata penghantaran bijirin dari pelabuhan Laut Hitam menjadi lebih berisiko selepas Rusia menggantung penyertaannya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai syarat yang ditetapkan Mosko untuk menyertai semula perikatan itu.

Rundingan diplomatik masih dijalankan bersama Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ukraine mendakwa Rusia telah melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran di seluruh negara, selepas Kremlin menuduh Kyiv menyerang armadanya di Laut Hitam.

Pasaran bijirin sensitif kepada perkembangan pada pencerobohan Moskow ke atas Ukraine kerana kedua-dua negara adalah antara pembekal gandum terbesar di dunia.

Walaupun Ukraine telah menghantar lebih 9 juta tan barangan sejak koridor berkenaan dibuka termasuk lebih daripada 4 juta tan sejauh ini, masih ada banyak lagi kargo untuk dihantar.

Sebelum ini, di bawah perjanjian bijirin yang diuruskan oleh PBB, Pusat Penyelarasan Bersama (JCC) yang terdiri daripada para pegawai PBB, Turki, Rusia dan Ukraine bersetuju mengenai pergerakan kapal dan tugas memeriksa kapal.

Lebih 9.5 juta tan jagung, gandum, produk bunga matahari, barli, biji sawi dan soya telah dieksport dari Laut Hitam sejauh ini.

Justeru, apabila perang meletus, ia tentu sekali mencetuskan kebimbangan berlaku kekurangan bukan sahaja minyak masak global tetapi juga produk-produk yang berkaitan dengan industri seperti sabun, bahan api bio dan bekalan makanan lain.

Dunia boleh menghadapi kebuluran yang berlarutan selama bertahun-tahun jika eksport Ukraine tidak dikembalikan ke tahap sebelum perang.

(Gambar: Oleksandr Gimanov/AFP)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan