Klinik terima ratusan pertanyaan tentang vaksin COVID-19 Sinovac
Beberapa klinik menerima ratusan pertanyaan tentang vaksin COVID-19 Sinovac pada Khamis (17 Jun), sehari selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan senarai klinik yang diluluskan untuk memberi suntikan vaksin tersebut.
Orang ramai beratur di luar klinik di Clementi. (Gambar: Neo Rong Wei)
SINGAPURA: Beberapa klinik menerima ratusan pertanyaan tentang vaksin COVID-19 Sinovac pada Khamis (17 Jun), sehari selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan senarai klinik yang diluluskan untuk memberi suntikan vaksin tersebut.
Ketika Mediacorp mengunjungi Klinik Wee Healthfirst Medical pada sekitar 2.30 petang tadi, sekurang-kurangnya 15 orang berada di sana untuk bertanya tentang vaksin Sinovac.
Orang ramai beratur panjang pada pukul 6.00 petang. (Gambar: Dr Seow Yu Jin)
Kebanyakan mereka kelihatan berusia lebih 50 tahun.
Klinik itu adalah antara 24 klinik yang diluluskan MOH untuk memberi suntikan vaksin keluaran China itu.
Kakitangan klinik juga dilihat membahagi-bahagikan kertas supaya mereka boleh meninggalkan maklumat agar pihak klinik boleh menghubungi mereka sebaik sahaja vaksin tiba. Hampir 1,000 nama diserahkan kepada klinik itu, menurut pengarah klinik Dr Seow Yu Jin.
"Keadaan sibuk sekali... Sesetengah pesakit, malangnya tidak berjaya menelefon kami dan terpaksa datang ke klinik dan beratur panjang di luar. Saya memang tidak menjangkakannya," kata Dr Seow.
Beliau berkata klinik itu sedang menantikan ketibaan bekalan pertama vaksin Sinovac.
"Mudah-mudahan ia akan sampai esok. (Buat sementara ini), kami sedang mempercepatkan proses seperti menyiapkan risalah malam ini dan mudah-mudahan (kami boleh) mula memberi suntikan hujung minggu ini," tambah beliau.
Katanya lagi, pihak klinik merancang membuka klinik di luar waktu operasi biasa untuk memberi suntikan vaksin.
"Misalnya, hujung minggu ini, klinik dibuka dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari tetapi untuk mengatasi permintaan sebegini ramai, kami mungkin harus terus beroperasi selepas 1.00 tengah hari hingga sekitar 6.00 petang hanya untuk memberi suntikan vaksin," terang Dr Seow.
Keadaan sama juga dilihat di Pusat Spesialis StarMed. Klinik di Farrer Park itu, menyaksikan sambutan luar biasa sejak talian telefon dibuka pada pukul 8.00 pagi tadi.
Pusat Spesialis StarMed. (Gambar: Neo Rong Wei)
"Kami sudahpun menerima lebih 400 tempahan bagi suntikan Sinovac dan ... ia tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kami menerima lebih ramai pesakit berusia lebih 40 tahun yang bertanya tentang vaksin," kata pegawai ketua eksekutif pusat tersebut Dr Louis Tan.
Pusat itu sudahpun membuat tempahan bagi 1,000 dos vaksin Sinovac iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan, menurut Dr Tan. Ia akan menerima 200 dos dengan bekalan pertama dijangkakan pada Jumaat (18 Jun).
Untuk menangani permintaan yang besar itu, klinik tersebut merancang untuk mendapatkan lebih ramai jururawat bagi menyokong kakitangan sedia ada, kata beliau. Jika perlu, klinik tersebut mungkin akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasinya.
Pusat Spesialis StarMed yang pernah terlibat dalam operasi vaksinasi bagi pekerja hijrahan di dormitori sebelum ini, menyatakan ia akan melaksanakan langkah berjaga-jaga yang sama ketika memberi suntikan Sinovac.
"Kami akan memeriksa pesakit sekiranya dijangkiti sebarang penyakit baru-baru ini, demam, kemungkinan hamil dan sebagainya. Ini adalah soalan yang kami ajukan kepada pesakit sebelum memberi suntikan," kata Dr Tan.
Beliau menambah bahawa klinik itu sedang menantikan lebih banyak garis panduan dari MOH.
Senarai klinik yang diluluskan untuk memberi suntikan COVID-19. (Sumber: MOH)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.