Skip to main content

Klinik swasta tawar vaksin COVID-19 Sinopharm di S'pura di bawah laluan akses khas

Vaksin COVID-19 buatan China, Sinopharm boleh diberikan di Singapura selepas sekurang-kurangnya sebuah syarikat penyedia jagaan kesihatan menerima kelulusan di bawah laluan akses khas negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Klinik swasta tawar vaksin COVID-19 Sinopharm di S'pura di bawah laluan akses khas

Vaksin Sinopharm. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 28 Jul 2021 05:53PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 05:58PM

SINGAPURA: Vaksin COVID-19 buatan China, Sinopharm boleh diberikan di Singapura selepas sekurang-kurangnya sebuah syarikat penyedia jagaan kesihatan menerima kelulusan di bawah laluan akses khas negara.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, IHH Healthcare Singapore pada Rabu (28 Jul) menyatakan bahawa ia sudah mendapatkan kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk membawa masuk vaksin itu menerusi laluan akses khas.

"Ini akan memberi penduduk di Singapura akses kepada pilihan vaksin alternatif yang lain," kata Dr Noel Yeo, ketua pegawai operasi syarikat berkenaan.

"Perinciannya sedang disiapkan buat masa ini. Kami akan membuat pengumuman rasmi apabila ada lebih banyak maklumat kelak."

Laluan akses khas membolehkan institusi-institusi jagaan kesihatan swasta membawa masuk vaksin COVID-19 yang belum diluluskan oleh HSA.

Vaksin-vaksin itu harus disertakan dalam senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mana Sinopharm dimasukkan pada 7 Mei.

Satu lagi vaksin buatan China yang dikeluarkan Sinovac sebelum ini diluluskan di bawah laluan akses khas itu pada Jun.

Sekurang-kurangnya lagi dua institusi jagaan kesihatan swasta juga sedang merancang untuk mengimport vaksin Sinopharm.

Raffles Medical Group mengajak orang ramai mendaftarkan minat mereka untuk mendapatkan vaksin Sinopharm dalam satu catatan Facebook pada Isnin (26 Jul).

Bulan lalu, Pusat Spesialis StarMed memberitahu Mediacorp bahawa ia sedang bekerjasama dengan sebuah lagi klinik untuk membawa masuk jenama vaksin lain seperti Sinopharm.

VAKSIN VIRUS YANG TIDAK DIAKTIFKAN

Vaksin Sinopharm memanfaatkan sejenis koronavirus yang tidak diaktifkan, serupa dengan suntikan vaksin Sinovac.

WHO menyatakan bahawa vaksin tersebut 79 peratus berkesan dalam menentang gejala jangkitan COVID-19 selain pesakit dimasukkan ke hospital angkara penyakit itu, menurut dapatan ujian fasa ketiga berbilang negara.

Vaksin itu terdiri daripada dua dos suntikan dengan jarak tiga hingga empat minggu dan disarankan bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Negara-negara lain yang meluluskan kegunaan vaksin Sinopharm termasuk China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Ia dihasilkan oleh Institut Bio Beijing bagi Produk Biologi, anak syarikat China National Biotech Group.

Singapura meluluskan dua vaksin COVID-19 iaitu Pfizer-BioNTech/Comirnaty and Moderna, kedua-duanya menggunakan teknologi mRNA, untuk digunakan dalam program vaksinasi negara.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita