Klinik mula kenakan bayaran bagi vaksin Sinovac; stok percuma dari pemerintah kehabisan
Beberapa klinik di sini sudah mula mengenakan bayaran bagi suntikan vaksin Sinovac manakala yang lain beralih kepada menyediakan Sinopharm selepas kehabisan bekalan Sinovac.
Vaksin Sinovac. (Gambar: REUTERS)
SINGAPURA: Beberapa klinik di sini sudah mula mengenakan bayaran bagi suntikan vaksin Sinovac manakala yang lain beralih kepada menyediakan Sinopharm selepas kehabisan bekalan Sinovac.
Klinik-klinik itu berbuat demikian setelah Kementeriann Kesihatan (MOH) menyatakan bulan lalu bekalan baru Sinovac, yang tiba di sini pada 20 September lalu, akan dijual.
Pada Jun tahun ini, MOH mengedarkan 170,000 dos vaksin Sinovac keluaran China secara percuma di institusi jagaan kesihatan swasta yang diluluskan. Pada awalnya, ia menyatakan mereka yang memilih untuk mengambil vaksin itu perlu membayar bagi rawatan tersebut.
Vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech atau Comirnaty diluluskan bagi program vaksinasi nasional tetapi tidak bagi Sinovac.
Bagaimanapun, Sinovac disediakan kepada institusi jagaan kesihatan swasta di bawah apa yang dikenali sebagai Laluan Akses Khas. Vaksin yang diperolehi melalui laluan ini tidak diberi subsidi.
Sebanyak 31 institusi jagaan kesihatan privet diluluskan untuk memberi suntikan percuma dos Sinovac, dengan hanya mengenakan bayaran pentadbiran antara S$10 hingga S$25.
Bagaimanapun,pada 13 September, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata dalam satu jawapan bertulis kepada soalan parlimen bahawa bekalan awal vaksin Sinovac sudah kehabisan.
Beliau menambah kementerian itu memudahkan institusi jagaan kesihatan privet untuk membawa masuk bekalan baru vaksin dan ini akan dijual selepas ketibaannya pada 20 Sep.
KLINIK KENAKAN BAYARAN BAGI SINOVAC, TAWARKAN SINOPHARM
Sekurang-kurangnya satu klinik di sini tidak sedar ia tidak akan lagi menerima vaksin Sinovac yang disubsidi.
Satu notis di laman Rophi Clinic yang dilihat pada Khamis menyatakan ia "baru dimaklumkan" oleh Pemerintah bahawa ia tidak akan lagi menerima vaksin Sinovac yang disubsidi.
Klinik itu sebaliknya akan membawa masuk vaksin Sinopharm, juga dari China, dan akan mengenakan bayaran S$53.50 bagi setiap dos.
Sebuah lagi institusi jagaan kesihatan yang dihubungi Mediacorp, StarMed Specialist Centre, juga meyatakan ia kini menawarkan Sinopharm dan bukannya Sinovac.
Dr Louis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif pusat perubatan yang terletak di Farrer Park itu, berkata beliau sedar stok Sinovac akan kehabisan lambat laun kerana MOH sudah memaklumkan ia tidak akan membekalkan lagi dos itu.
Selepas stok Sinovac habis pada separuh pertama September, ia memutuskan untuk membawa masuk sekitar 2,000 dos Sinopharm kerana beberapa pesakit menyatakan minat terhadap vaksin itu.
Pusat perubatan itu sudah memberikan sekitar separuh dos vaksin Sinopharm sejak 17 September.
Ia mengenakan bayaran S$88 bagi dua dos vaksin itu, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sementara itu, klinik-klinik lain terus menyediakan Sinovac tetapi dengan mengenakan bayaran.
Antaranya adalah Chua Medical Clinic and Surgery di Bukit Batok, yang mengenakan bayaran S$75 bagi setiap dos vaksin Sinovac sejak 23 September.
Dr Chua Guan Kiat yang mengendalikan klinik itu berkata harga tersebut meliputi kos vaksin, penghantarannya dan bayaran penyimpanan di tempat sejuk.
Memandangkan jangkitan dalam masyarakat terus meningkat, beliau berkata terdapat permintaan berterusan bagi vaksin Sinovac walaupun ia tidak lagi percuma.
Selain Sinovac, Dr Chua berkata kliniknya juga membawa masuk 500 dos Sinopharm pada Ogos dan menjangkakan ketibaan lagi 2,000 dos bulan ini.
Meskipun kos vaksin Sinovac lebih tinggi berbanding Sinopharm, iaitu S$50 setiap dos, Dr Chua berkata perbezaan harga "bukan satu masalah" bagi pesakit yang mahu mendapatkan vaksin disebabkan meningkatnya kes COVID-19 di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.