Zuckerberg rugi lebih S$20 bilion akibat kejatuhan harga saham Facebook
Zuckerberg masih memiliki nilai kekayaan sekitar S$91 bilion
Mark Zuckerberg. (Gambar: JUSTIN SULLIVAN/AFP)
NEW YORK: Nilai kekayaan ketua eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg merosot lebih AS$15 bilion (S$20 bilion), hari ini (27 Jul). Ia berikutan syarikat media sosial, itu mengalami kejatuhan harga satu hari terbesarnya dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat. Semalam, pegawai eksekutif syarikat itu meramalkan marjin keuntungan yang lebih rendah dalam tahun-tahun mendatang.
Sekurang-kurangnya 16 firma broker mengurangkan harga sasaran ke atas Facebook selepas Ketua Pegawai Kewangan David Wehner mengejutkan penganalisis dengan berkata syarikat itu berdepan dengan tekanan marjin keuntungan dalam tahun-tahun mendatang.
Harga saham Facebook ditutup pada AS$176.26 (S$240.32),menjunam hampir 19 peratus, menghapuskan lebih AS$120 bilion (S$163 bilion) nilai syarikat atau hampir empat kali ganda keseluruhan permodalan pasaran Twitter.
Kerugian yang dialami Zuckerberg itu menyamai nilai kekayaan orang terkaya nombor 81 di dunia iaitu ahli perniagaan Jepun Takemitsu Takizaki, menurut data Forbes.
Bagaimanapun, menurut Forbes, Zuckerberg masih memiliki nilai kekayaan sekitar AS$67 bilion (S$91 bilion).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.