Skip to main content

Kewangan

Zoom buka pejabat baharu seluas 7,500 kaki persegi di SG; luaskan perniagaan di Asia Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:
Zoom buka pejabat baharu seluas 7,500 kaki persegi di SG; luaskan perniagaan di Asia Pasifik

Zoom membuka pejabat baharunya di Singapura di IOI Central Boulevard pada 21 Ogos, 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 21 Aug 2025 10:51AM Dikemas Kini : 21 Aug 2025 10:52AM
SINGAPURA: Zoom Communications, syarikat di sebalik platform persidangan video yang digunakan secara meluas, membuka pejabat baharunya di Singapura di kawasan Marina Bay pada Khamis (21 Ogos).

Terletak di tingkat 24 IOI Central Boulevard (West Tower), ia akan menggantikan pejabat syarikat sebelum ini, yang terletak di ruang kerja bersama di Asia Square Tower 2.

Pejabat baharu itu berkeluasan 7,500 kaki persegi dan para pekerja boleh menggunakan ruang tersebut mulai Isnin depan (25 Ogos). Zoom juga baru-baru ini membuka pusat data baharu di Singapura.

"(Singapura) begitu mudah untuk dikunjungi, ketersambungannya sangat baik, begitu mesra perniagaan - tidak masuk akal jika kami tidak membuka pejabat di sini," kata Encik Steve Rafferty, ketua EMEA dan APAC di Zoom.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Zoom menggajikan lebih 7,000 pekerja di serata dunia, dan kira-kira separuh daripada jumlah itu berpangkalan di luar Amerika Syarikat.

"(Kami mempunyai) banyak rancangan untuk terus berkembang di peringkat antarabangsa, banyak rancangan untuk mengembangkan APAC (Asia Pasifik) sebagai rantau, sebagai salah satu rantau yang menjadi tumpuan kami."

Encik Lucas Lu, ketua Asia Zoom, berkata Singapura adalah pasaran yang penting, dan bilangan pekerja semakin meningkat, lantaran itu pejabat baharu tersebut akan memberikan pengalaman yang lebih baik untuk mereka.

"Walaupun kami mempunyai kemudahan, ia tidak berada pada tahap yang sama. Ini adalah pejabat Zoom yang sesuai dalam erti kata itu," katanya, sambil menambah pejabat baharu itu menunjukkan komitmennya kepada Singapura, yang merupakan lokasi strategik untuk Zoom mempertingkatkan dan memperluaskan kerjasama.

Apabila ditanya sama ada syarikat itu merancang untuk menggajikan lebih ramai pekerja di Singapura, Encik Lu berkata Zoom akan membina sebuah pasukan di Singapura selaras dengan keperluan perniagaan dan keutamaan serantau.

Kemudahan baharu itu juga memperuntukkan 2,000 kaki persegi bagi Hab Pengalaman Zoom untuk para pelanggan meninjau-ninjau produk-produk yang diperibadikan. Ruang itu lebih dua kali ganda lebih besar daripada versi sebelumnya di pejabat kerja bersama dan lebih bersifat imersif.

"Pada asasnya, yang terakhir merupakan sebuah bilik sahaja. Ini adalah ruang yang sangat fleksibel yang boleh kami sesuaikan dan peribadikan, bergantung kepada apa yang kami cuba lakukan," katanya.
 
Ketua Asia Zoom Lucas Lu di ruang pejabat baharu syarikat tersebut pada 20 Ogos 2025. (Foto: CNA/Wallace Woon)
Peranti yang dipamerkan di Hab Pengalaman Zoom di pejabat baharu Zoom pada 20 Ogos 2025. (Foto: CNA/Wallace Woon)
Semasa pratonton media padai Rabu (20 Ogos), para wakil Zoom mempamerkan rakan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu, yang mempunyai keupayaan bersifat 'agentic; yang dilancarkan tahun ini.

Pembantu AI itu boleh menjadualkan semula janji temu, meringkaskan sembang, membandingkan dokumen dan menggunakan nota daripada mesyuarat sebelumnya untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat terkini.

Zoom juga mempamerkan produk-produknya untuk pekerja barisan hadapan yang mungkin tidak berkomunikasi dengan majikan mereka melalui emel.

Para kakitangan boleh melaporkan diri di tempat kerja atau keluar dari pejabat, menyemak tugas mereka dan menandakannya sebagai lengkap pada aplikasi tersebut. Mesej yang dihantar melalui aplikasi itu juga boleh diterjemahkan ke dalam bahasa pilihan pengguna.

Produk terakhir yang dipamerkan ialah Ejen Maya Zoom (Zoom Virtual Agent), yang boleh menjawab panggilan yang dibuat kepada perkhidmatan pelanggan tanpa menggunakan jawapan yang telah dirakamkan.

Sebaliknya, ejen AI dilatih untuk menguruskan sesuatu situasi, seperti pelanggan yang tidak dapat mengakses gimnya walaupun mempunyai keahlian yang aktif.

Ejen AI kemudian boleh menyalurkan panggilan tersebut kepada pegawai perkhidmatan pelanggan manusia jika perlu.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita