WTO turunkan unjuran pertumbuhan perdagangan global 2026 secara ketara kepada 0.5 peratus
Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada Selasa (7 Okt) menurunkan secara ketara unjuran pertumbuhan jumlah perdagangan barangan global 2026 kepada 0.5 peratus, memetik jangkaan impak tertangguh daripada tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Logo Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kelihatan di ibu pejabatnya sebelum sidang media di Geneva, Switzerland, pada 5 Oktober 2022. (Gambar fail: REUTERS/Denis Balibouse)
Ini menandakan semakan ketara yang menurunkan anggaran mereka sebelum ini pada Ogos, iaitu pertumbuhan sebanyak 1.8 peratus.
"Tinjauan untuk tahun hadapan lebih suram... Saya amat bimbang," kata Ketua Pengarah Ngozi Okonjo-Iweala kepada wartawan di Geneva.
SISTEM PERDAGANGAN DUNIA MENUNJUKKAN DAYA TAHAN
Sekalipun demikian, beliau berkata sistem perdagangan dunia menunjukkan daya tahan, dengan sistem berbilang hala berasaskan peraturan memberikan sedikit kestabilan di tengah-tengah kekacauan perdagangan.
Untuk tahun 2025, WTO menaik taraf unjuran pertumbuhan jumlah perdagangan global kepada 2.4 peratus, daripada 0.9 peratus sebelum ini. Ini didorong terutamanya oleh langkah import awal ke Amerika Syarikat menjelang kenaikan tarif dan pertumbuhan dalam perdagangan barangan berkaitan AI. Angka ini masih di bawah pertumbuhan 2.8 peratus yang dicatat pada 2024.
Keputusan tarif Encik Trump sejak beliau menyandang jawatan pada Januari mengejutkan pasaran kewangan dan mencetus gelombang ketidakpastian dalam ekonomi global.
Pada 7 Ogos, Encik Trump mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas import dari berpuluh-puluh negara, menyebabkan rakan dagang utama seperti Switzerland, Brazil, dan India berusaha keras untuk mendapatkan perjanjian yang lebih baik, manakala Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan yang menetapkan duti pada 15 peratus ke atas kebanyakan barangan EU yang diimport ke Amerika Syarikat.
Secara keseluruhan, pertumbuhan jumlah perdagangan barangan dunia dijangka perlahan daripada 2.8 peratus tahun lalu kepada 2.4 peratus tahun ini dan 0.5 peratus tahun hadapan.
WTO juga meramalkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) global akan susut sedikit daripada 2.7 peratus pada 2025 kepada 2.6 peratus pada 2026.
"Langkah-langkah tarif membebani perdagangan, walaupun langkah import awal (front-loading) dan penggantungan banyak kenaikan duti antara April dengan Ogos menolak kesannya ke bahagian akhir tahun ini, dan terutamanya ke tahun hadapan," kata Encik Okonjo-Iweala.
Dalam separuh pertama tahun 2025, jumlah perdagangan barangan dunia, yang diukur oleh purata eksport dan import, meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun, dengan nilai perdagangan meningkat 6 peratus berbanding pertumbuhan 2 peratus pada 2024, menurut laporan WTO.
Oleh itu, ahli ekonomi WTO menaik taraf unjuran pertumbuhan perdagangan mereka untuk tahun ini kepada 2.4 peratus, melebihi ramalan kejatuhan 0.2 peratus pada April.
Laporan itu mendapati bahawa gelombang pengeksport yang menghantar barangan, termasuk jentera, kenderaan bermotor, dan kayu balak ke Amerika Syarikat sebelum kenaikan tarif, di samping lonjakan permintaan untuk produk berkaitan AI, menyumbang kepada pertumbuhan ini.
Perdagangan dalam barangan berkaitan AI seperti semikonduktor dan peralatan telekomunikasi menyumbang hampir separuh daripada pertumbuhan perdagangan keseluruhan, meningkat 20 peratus tahun ke tahun. Prestasi eksport Asia dilaporkan sangat kukuh.
Asia dan Afrika dijangka menyaksikan pertumbuhan jumlah eksport terpantas tahun ini, manakala pertumbuhan eksport Eropah akan perlahan, dan Amerika Utara dijangka merosot. Semua rantau diunjurkan mengalami prestasi import yang lebih lemah pada tahun 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.