Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

WTO beri amaran ekonomi Amerika Utara akan merosot akibat tarif Trump

Analisis mengikut rantau oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menunjukkan bahawa tarif baharu akan memberi kesan paling besar kepada Amerika Syarikat dan Kanada, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Anggaran Waktu Membaca:
WTO beri amaran ekonomi Amerika Utara akan merosot akibat tarif Trump

Tarif yang dikenakan Presiden Amerika Donald Trump akan memberi kesan terbesar terhadap negaranya dan Kanada. (Gambar: AP)

GENEVA: Analisis mengikut rantau oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menunjukkan bahawa tarif baharu akan memberi kesan paling besar kepada Amerika Syarikat dan Kanada, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Selain penyusutan jumlah dagangan, pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) turut dijangka terjejas. Dalam laporan yang diterbitkan di Geneva pada Rabu (16 Apr), WTO mengunjurkan pertumbuhan GDP bagi rantau Amerika Utara - merangkumi Amerika Syarikat dan Kanada - hanya sebanyak 0.4 peratus tahun ini, jauh merosot berbanding anggaran awal sebanyak dua peratus.

Selain itu, eksport dari Amerika Utara dijangka menyusut sebanyak 12.6 peratus pada 2025, manakala import pula menurun sebanyak 9.6 peratus, menurut WTO.

Sebelum pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Donald Trump, WTO menjangkakan eksport rantau itu meningkat 2.2 peratus dan import naik 2.8 peratus. Eksport China ke Amerika pula kini dijangka merosot sebanyak 77 peratus di bawah senario sekarang ini.

Kesan terhadap Eropah dilaporkan jauh lebih ringan. WTO mengunjurkan eksport Eropah meningkat satu peratus tahun ini (berbanding 1.4 peratus sebelumnya), manakala import dijangka naik 1.9 peratus (sebelum ini 2.1 peratus). Pertumbuhan GDP Eropah kini diunjurkan pada 1.2 peratus, menurun daripada 1.4 peratus.

Analisis WTO tersebut adalah berdasarkan situasi sekarang ini setakat 14 April. Sejak kembali ke Rumah Putih, Encik Trump telah mengumumkan pelbagai tarif baharu ke atas beberapa negara dan sektor, walaupun sebahagiannya telah digantung. China kekal sebagai sasaran utama.

Jika senario sekarang ini berterusan, WTO menjangka jumlah dagangan global akan menyusut sebanyak 0.2 peratus, berbanding unjuran pertumbuhan 2.7 peratus sebelum ini. Jika tarif khusus negara yang digantung itu dikuatkuasakan selepas tempoh bertenang 90 hari yang diumumkan pada 9 April - berserta tindakan balas negara terlibat - jumlah dagangan global boleh merosot sehingga 1.5 peratus.

GDP global kini dijangka berkembang sebanyak 2.2 peratus pada 2025, berbanding unjuran terdahulu WTO sebanyak 2.8 peratus.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan