Skip to main content

Kewangan

Wakil perdagangan EU dan Amerika adakan panggilan telefon positif, sehari selepas Trump tangguh tarif baharu

Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Maros Sefcovic, berkata pada Isnin (26 Mei) bahawa beliau telah mengadakan "panggilan telefon yang baik" dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, dan akan terus "berhubung secara tetap" dengan rakan sejawatannya itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wakil perdagangan EU dan Amerika adakan panggilan telefon positif, sehari selepas Trump tangguh tarif baharu

Pesuruhjaya Perdagangan Eropah Maros Sefcovic, bercakap kepada media sebaik tiba untuk menghadiri mesyuarat menteri-menteri perdagangan Kesatuan Eropah di Brussels pada 15 Mei 2025. (Gambar: AP/Omar Havana)

WASHINGTON: Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Maros Sefcovic, berkata pada Isnin (26 Mei) bahawa beliau telah mengadakan "panggilan telefon yang baik" dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, dan akan terus "berhubung secara tetap" dengan rakan sejawatannya itu.

Kedua-dua mereka berbual melalui telefon sehari selepas Presiden Amerika, Donald Trump, menangguhkan ancamannya untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas Kesatuan Eropah (EU).

Terdahulu, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata bahawa Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dan Encik Trump telah mengadakan "pertukaran yang baik" pada Ahad, dan beliau berharap kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian bagi kadar tarif yang serendah mungkin.

"Perbincangan sedang berlangsung. Terdapat pertukaran yang baik antara Presiden Trump dan Presiden Von der Leyen, dan saya berharap kita dapat terus berada di landasan ini dan kembali kepada tarif serendah mungkin yang membolehkan pertukaran bermanfaat," kata Encik Macron kepada wartawan semasa lawatannya ke Vietnam.

Encik Trump menarik balik ancaman untuk mengenakan tarif 50 peratus ke atas import dari EU pada bulan depan, dan sebaliknya menetapkan semula tarikh akhir pada 9 Julai bagi membolehkan rundingan antara Washington dan blok 27 negara itu untuk mencapai satu perjanjian.

Presiden Amerika itu berkata bahawa panggilan beliau dengan ketua Suruhanjaya EU adalah "sangat baik", dan penangguhan tarif akan memberi ruang kepada rundingan antara Washington dan blok tersebut untuk mencapai satu perjanjian.

PERUBAHAN SEMULA DASAR PERDAGANGAN

Perubahan semula itu mengingatkan para penggubal dasar dan pelabur tentang betapa pantasnya dasar perdagangan Encik Trump boleh berubah. Namun begitu, ia adalah jelas bagaimana EU akan menyelaraskan usahanya untuk mencapai perjanjian perdagangan yang saling menguntungkan dengan gesaan Amerika untuk mendapatkan konsesi yang besar.

Penganalisis strategi mata wang Commerzbank, Michael Pfister, berkata EU berkemungkinan mencapai perjanjian dengan Amerika Syarikat menjelang 9 Julai, tetapi pengumuman pada Jumaat menunjukkan bahawa kelegaan ini hanya bersifat sementara.

“Masih menjadi persoalan apa yang sebenarnya telah berubah dari segi masalah asasnya hanya selepas satu panggilan telefon,” katanya.

SYARIKAT EU DALAM KEADAAN TEGANG

Beberapa ketua perniagaan menyatakan bahawa ketidaktentuan yang melampau menyukarkan mereka untuk melakukan perancangan.

Gianmarco Giorda, pengarah urusan kumpulan pelobi pengeluar alat ganti kereta Itali, ANFIA, memberitahu Reuters bahawa beliau masih berharap rundingan itu akan berjaya, tetapi merangka strategi kini menjadi lebih rumit:

“Duti Amerika Syarikat merupakan satu lagi sumber kebimbangan dalam senario yang sudah pun mencabar bagi industri automotif Itali.”

Syarikat Jerman milik keluarga, LAPP Group, yang menghasilkan pelbagai produk daripada kabel dan wayar hingga sistem robotik bagi kilang, memberi amaran bahawa sesetengah produk khas mereka masih akan terkesan oleh persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

“Malangnya, dasar semasa Amerika Syarikat dicirikan oleh ketidakbolehjangkaan, kepentingan peribadi dan populisme,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Matthias Lapp, kepada Reuters.

“Hubungan rentas atlantik yang baik antara Jerman dan Amerika Syarikat telah dibina melalui kerja diplomatik dan persefahaman bersama selama berdekad-dekad. Namun begitu, keyakinan terhadap kestabilannya kini sedang mengalami kerosakan besar.”

RUNDINGAN KESATUAN EROPAH-AMERIKA SYARIKAT TERGENDALA

Rundingan antara EU dan Amerika Syarikat sebelum ini tergendala, dengan Washington menuntut konsesi sebelah pihak daripada Brussels untuk membuka pasaran kepada perniagaan Amerika Syarikat, manakala EU pula mahukan perjanjian yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, menurut sumber yang mengetahui akan perbincangan itu.

EU ketika ini sudah dikenakan tarif import Amerika Syarikat sebanyak 25 peratus ke atas keluli, aluminium dan kereta, serta tarif "timbal balik" sebanyak 10 peratus ke atas hampir semua barangan lain, levi yang dijangka meningkat kepada 20 peratus selepas tempoh penangguhan 90 hari oleh Encik Trump berakhir pada Julai.

Kadar itu boleh meningkat sehingga 50 peratus sekiranya tiada perjanjian dicapai, yang berpotensi menaikkan harga pengguna bagi pelbagai barangan, daripada kereta BMW buatan Jerman hingga minyak zaitun Itali serta menjejaskan permintaan terhadap beg tangan mewah Perancis keluaran LVMH.

Namun begitu, tidak jelas sama ada kadar 50 peratus itu akan dikenakan ke atas import yang tidak tertakluk kepada tarif "timbal balik" Amerika Syarikat, seperti keluli, kereta, dan produk lain yang sedang disiasat, termasuk semikonduktor, produk farmaseutikal dan kayu balak.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita