Wadah online Indonesia jual barangan dapur, penuhi lonjakan pesanan
Wadah runcit secara elektronik atau e-runcit di Indonesia kini semakin mendapat sambutan.
Seorang lelaki mengambil beras dari mesin pengedar beras automatik di tengah penularan COVID-19 di Jakarta pada 4 Mei 2020. (Gambar: Ajeng Dinar Ulfiana/REUTERS)
JAKARTA: Wadah runcit secara elektronik atau e-runcit di Indonesia kini semakin mendapat sambutan.
Beberapa pusingan sekatan perjalanan yang dikenakan akibat COVID-19 mendorong lebih ramai rakyat Indonesia untuk membeli keperluan asas mereka secara online.
Syarikat-syarikat juga mengambil lebih ramai pekerja bagi memenuhi permintaan yang melonjak, bermula dengan para petani kepada para pekerja yang memproses pesanan.
Semuanya dijalankan di beberapa gudang mikro di merata ibu kota Jakarta.
Syarikat Dropezy, yang dilancarkan pada akhir tahun lalu, pada mulanya beroperasi dengan menggunakan WhatsApp dan menerima sehingga 50 pesanan sehari.
Namun para pelanggan syarikat itu kini membuat pesanan menerusi laman internet yang dilancarkan Ogos lalu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Apabila COVID-19 melanda Indonesia, syarikat tersebut menyaksikan lebih banyak permintaan.
Misalnya, hanya tiga bulan yang lalu sahaja, jumlah pesanan melonjak lebih daripada 400 peratus. Akibatnya, Dropezy mengambil 20 pekerja baru.
Platform runcit secara elektronik HappyFresh turut meningkatkan jumlah kakitangannya apabila ia menyaksikan jumlah pesanan melonjak.
Kakitangan baru HappyFresh termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan akibat sekatan COVID-19 seperti firma-firma khidmat sewa kereta.
HappyFresh, yang bekerjasama dengan lebih dari 150 pasar raya dan kedai khusus di sekitar pulau Jawa, menyaksikan lonjakan perniagaan sejak COVID-19.
Laporan oleh Google dan Temasek membayangkan jumlah nilai ekonomi internet Indonesia akan mencecah sehingga AS$133 bilion (S$180 bilion) menjelang 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.