Virus korona baru: Bantuan bagi pekerja penghantar makanan yang dikuarantin
Para pekerja penghantaran makanan yang dikenakan perintah kuarantin disebabkan virus korona baru (2019-nCoV) akan menerima pakej penjagaan yang bertujuan untuk meringankan kerugian akibat tidak dapat bekerja.

(Gambar: Grab)
SINGAPURA: Para pekerja penghantaran makanan yang dikenakan perintah kuarantin disebabkan virus korona baru (2019-nCoV) akan menerima pakej penjagaan yang bertujuan untuk meringankan kerugian akibat tidak dapat bekerja.
Pemerintah akan menyediakan elaun S$100 setiap hari sepanjang tempoh 14 hari mereka tidak dapat bekerja.
Sementara itu, para penghantar yang merupakan anggota Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) layak mendapat elaun sekali saja bernilai S$200.
Syarikat Grab juga akan menawarkan bayaran sekali bernilai antara S$100 hingga S$200 bagi pekerja GrabFood sekiranya mereka dikuarantin atau dimasukkan ke hospital semasa tempoh penularan virus korona sekarang.
Langkah-langkah tersebut diumumkan pada Khamis (6 Februari) semasa sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan Grab bagi para pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran makanannya di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Ini menyusuli langkah bantuan kewangan serupa yang diumumkan bagi para pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang dikenakan arahan kuarantin pada 1 Feb.
Lebih 28,000 orang di seluruh dunia dijangkiti virus korona baru, dengan angka korban melebihi 560 .
Di Singapura, terdapat 28 kes jangkitan disahkan. Virus itu dipercayai berasal dari bandar Wuhan di wilayah Hubei.
Berucap semasa majlis tersebut, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Janil Puthucheary berkata langkah Grab itu adalah sebahagian daripada "pendekatan menyeluruh" bagi para pemandu dan pekerja penghantarannya. Beliau menggalak syarikat-syarikat lain untuk mengikuti contoh Grab.
"Kami juga berusaha keras untuk mengorak langkah seterusnya untuk menyediakan sokongan khusus bagi industri kereta sewa privet dan teksi, yang mungkin terjejas," kata Dr Janil, yang juga penasihat bagi Unit Pekerja Bebas dan Pekerja Sendiri.
Mediacorp sudah menghubungi dua lagi syarikat besar penghantaran makanan, Deliveroo dan Foodpanda, sama ada pihak mereka juga akan mengumumkan langkah yang sama bagi pekerja mereka.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.