Skip to main content

Kewangan

Vietnam pergiat rundingan dengan Amerika Syarikat bagi kurangkan tarif

Vietnam dan Amerika Syarikat mengadakan rundingan secara langsung yang pertama pada peringkat kementerian pada Jumaat (16 Mei) di tengah-tengah ketegangan berkaitan tarif sebanyak 46 peratus yang dikenakan Amerika ke atas import dari negara Asia Tenggara itu, yang berpotensi memberi kesan besar terhadap pertumbuhannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Vietnam pergiat rundingan dengan Amerika Syarikat bagi kurangkan tarif

Sebuah kapal kontena kelihatan berhampiran Terminal Kontena Antarabangsa Hai Phong, Vietnam, pada 16 April 2025. (Gambar fail: REUTERS/Athit Perawongmetha)

HANOI: Vietnam dan Amerika Syarikat mengadakan rundingan secara langsung yang pertama pada peringkat kementerian pada Jumaat (16 Mei) di tengah-tengah ketegangan berkaitan tarif sebanyak 46 peratus yang dikenakan Amerika ke atas import dari negara Asia Tenggara itu, yang berpotensi memberi kesan besar terhadap pertumbuhannya.

Kementerian Perdagangan Vietnam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu menyatakan mesyuarat tersebut, yang berlangsung di Jeju, Korea Selatan, menyusuli Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC ke-31, melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk memupuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang stabil.

Perbincangan tersebut menyusuli panggilan telefon pada bulan lalu antara Menteri Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien, dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer, yang secara rasmi memulakan rundingan antara kedua-dua negara.

“USTR Greer bersetuju dengan pendekatan dan cadangan semasa Vietnam,” menurut kenyataan kementerian tersebut. “Amerika Syarikat berharap usaha bersama ini akan membuahkan hasil yang positif dalam rundingan pada peringkat teknikal pada hari-hari mendatang.”

Amerika Syarikat telah menangguhkan pelaksanaan tarif sebanyak 46 peratus terhadap Vietnam sehingga Julai. Jika dikuatkuasakan, levi tersebut boleh menjejas pertumbuhan ekonomi Vietnam, yang amat bergantung pada jualan ke Amerika Syarikat, iaitu pasaran eksport terbesarnya, yang juga membentuk sebahagian besar daripada pelaburan asing bagi pengeluaran barangan eksport negara itu.

Vietnam mencatat lebihan dagangan keempat terbesar dalam kalangan semua rakan dagang Amerika Syarikat, dengan jumlah sebanyak AS$123.5 bilion (S$160.6 bilion) tahun lalu.

Bagi mengurangkan lebihan dagangan itu, Hanoi baru-baru ini melaksanakan beberapa langkah, termasuk mengurangkan tarif ke atas pelbagai barangan yang dihantar ke Amerika dan mempertingkat usaha untuk membendung penghantaran barangan buatan China ke Amerika melalui wilayahnya.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita