Varian Omicron COVID-19 boleh perlahankan pertumbuhan global: Ketua IMF
Varian baru COVID-19, Omicron, boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global, sepertimana yang dicetuskan varian Delta, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Jumaat (3 Dis).
Ketua Pengarah IMF, Kristalina Georgieva (Gambar fail: AFP/Daniel LEAL)
WASHINGTON: Varian baru COVID-19, Omicron, boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global, sepertimana yang dicetuskan varian Delta, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Jumaat (3 Dis).
"Varian baru yang mungkin menular dengan amat pantas boleh menjejas keyakinan dan dalam erti kata itu, kami mungkin melihat beberapa unjuran Oktober bagi pertumbuhan global diturunkan," katanya pada satu acara Reuters.
Dalam tinjauan terbarunya, IMF meramalkan pertumbuhan global 5.9 peratus tahun ini dan 4.9 peratus pada 2022, bagaimanapun Amerika Syarikat dan ekonomi-ekonomi utama lain menurunkan secara mendadak unjuran pertumbuhan ekonomi selepas penularan varian Delta "menyebabkan sedikit kegenjotan", kata Cik Georgieva.
"Malah sebelum kemunculan varian baru ini, kami bimbang rentak pemulihan mungkin hilang momentumnya," kata ketua IMF itu sambil menambah bahawa penggubal dasar kini bergelut dengan isu baru seperti inflasi.
Ramalan terbaru IMF menimbulkan kebimbangan bahawa isu rantaian bekalan global dan pengedaran vaksin yang tidak setara telah memperlahankan kebangkitan semula ekonomi dan menyebabkan beberapa negara ketinggalan di belakang.
Lonjakan permintaan di banyak ekonomi maju ditambah dengan kekurangan komponen utama seperti semikonduktor telah mendorong gelombang kenaikan harga.
Kurang dua bulan lalu, Cik Georgieva menyuarakan keyakinan bahawa inflasi tidak akan "berterusan di luar kawalan" tetapi pada Jumaat beliau berkata Bank Simpanan Federal AS perlu meningkatkan kadar faedah pada 2022, berbanding pada 2023 seperti yang diramalkan oleh IMF sebelum ini.
Omicron sudah merebak pantas ke sekurang-kurangnya 40 negara sejak ia pertama kali dikenal pasti di Afrika Selatan minggu lalu, kata para pegawai, dan banyak pemerintah telah mengetatkan peraturan perjalanan untuk cuba mengekangnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.