Skip to main content

Kewangan

ValueMax intai peluang luaskan khidmat pajak gadai Islam

ValueMax Group - syarikat di papan utama Bursa Saham Singapura - mengintai peluang untuk meluaskan lagi khidmat pajak gadai Islam (ar-rahnu) ke lebih banyak cawangannya, jika ada permintaan memberangsangkan daripada masyarakat Muslim tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Aug 2020 12:00AM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 12:13AM

SINGAPURA: ValueMax Group - syarikat di papan utama Bursa Saham Singapura - mengintai peluang untuk meluaskan lagi khidmat pajak gadai Islam (ar-rahnu) ke lebih banyak cawangannya, jika ada permintaan memberangsangkan daripada masyarakat Muslim tempatan.

ValueMax kini mempunyai satu cawangan dengan konsep yang berlandaskan syariah Islam, iaitu ValueMax Ar-Rahnu di Joo Chiat Complex.

Cawangan tersebut sudahpun mula beroperasi dan dijangka dirasmikan pada Sabtu (22 Ogos).

Tidak seperti kedai pajak konvensional, kedai pajak berlandaskan syariah Islam tidak mengenakan faedah ke atas jumlah yang dipinjamkan kepada penggadai.

Sebaliknya, ia mengenakan yuran menyimpan barang yang dicagarkan. Ini selaras dengan konsep kewangan Islam yang mana riba tidak dibenarkan tetapi bayaran boleh dikenakan bagi khidmat yang disediakan.

Related article image

Penasihat Syariah ValueMax Ar-Rahnu, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, sebelum ini menjelaskan perbezaan antara pajak gadai Islam dengan pajak gadai konvensional terletak "pada akad dan perjanjiannya".

MELAYU BENTUK LEBIH 30% PELANGGAN VALUEMAX

Menurut Pengarah Eksekutif ValueMax Group Limited, Cik Yeah Lee Ching, anggota masyarakat Melayu/Islam membentuk lebih 30 peratus pelanggannya.

ValueMax mengorak langkah untuk menawarkan khidmat pajak gadai Islam dalam usahasama bersama syarikat milik Muslim tempatan, Ar-Rahnu Singapore Pte Ltd, kerana melihat "potensi besar dalam pasaran khas yang belum ditembusi sepenuhnya".

Related article image

Pengarah Eksekutif ValueMax Group Limited, Cik Yeah Lee Ching.

"ValueMax juga mempunyai kedudukan yang mantap dalam pasaran. Jadi kami menjangkakan permintaan yang baik bagi khidmat yang memenuhi keperluan para pelanggan Melayu/Islam kita," kata Cik Yeah.

Lantaran itu jugalah, beliau tidak menolak kemungkinan khidmat pajak gadai Islam akan juga ditawarkan di cawangan ValueMax yang lain. ValueMax kini mempunyai 34 kedai pajak konvensional.

BERITAmediacorp difahamkan, ValueMax memegang 70 peratus saham bagi cawangan di Joo Chiat Complex.

Related article image

Pembukaan ValueMax Ar-Rahnu memerlukan pelaburan melebihi S$3 juta. Sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Undang-Undang Singapura, sebarang kedai pajak gadai yang ingin dibuka harus mempunyai modal terkumpul berjumlah tidak kurang S$2 juta dari semua pemegang sahamnya.

SEBAB YURAN HAMPIR SAMA DENGAN KADAR FAEDAH BIASA

Sementara itu, Ustaz Kamal menjelaskan sebab mengapa yuran simpan barang yang dicagarkan hampir sama dengan kadar faedah di kedai pajak gadai konvensional.

Kadar faedah di kedai pajak gadai konvensional lazimnya adalah antara 1 hingga 1.5 peratus atau mengikut keadaan pasaran.

Related article image

"Khidmat konvensional dengan khidmat yang diberikan dalam kewangan Islam sebenarnya lebih kurang sama kerana ia tidak mahu mengencotkan perbezaan harga dalam pasaran," terang Ustaz Kamal.

"Dalam pajakan Islam di Singapura pula, ValueMax adalah pemain utama. Maka itu sebarang perbezaan akan menjejas pasaran."

Sungguhpun demikian, beliau menegaskan pembukaan ValueMax Ar-Rahnu adalah satu permulaan yang baik dalam usaha mendidik masyarakat tentang khidmat kewangan yang dibenarkan Islam.

Beliau juga percaya, ia akan dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

"Pembukaan ar-rahnu ini saya rasa mempunyai keperluan bagi masyarakat kerana bila-bila masa ada yang memerlukan pinjaman ataupun terdesak dalam urusan kewangan mereka. Sama ada dibuka waktu kegawatan ekonomi ataupun ketika ekonomi baik, permintaan akan sentiasa ada."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita