Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Usul dasar bakat asing PSP boleh jejas daya saing S'pura; naikkan kos, kata ahli ekonomi & SME

Saranan Parti Kemajuan Singapura (PSP) berhubung dasar bakat asing dan cara untuk mengurangkan persaingan bagi pekerjaan boleh menjejas daya saing negara selain meningkatkan kos buat firma-firma. Demikian menurut syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), persatuan perniagaan serta ahli ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Usul dasar bakat asing PSP boleh jejas daya saing S'pura; naikkan kos, kata ahli ekonomi & SME

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Diane Leow)

Diterbitkan : 19 Sep 2021 10:26PM Dikemas Kini : 19 Sep 2021 10:30PM

SINGAPURA: Saranan-saranan Parti Kemajuan Singapura (PSP) berhubung dasar bakat asing dan cara untuk mengurangkan persaingan bagi pekerjaan boleh menjejas daya saing negara selain meningkatkan kos buat firma-firma. Demikian menurut syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), persatuan perniagaan serta ahli ekonomi.

Usul itu, yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa (14 Sep), adalah gaji kelayakan lebih tinggi bagi para pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S, cukai dan kuota ke atas pengambilan pekerja hijrahan serta had 10 peratus ke atas kewarganegaraan dalam mana-mana syarikat.

Dalam perbahasan yang bertukar sengit dan berlarutan sehingga selepas tengah malam itu, para Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai serta Hazel Poa berhujah bahawa dasar bakat asing terbuka Pemerintah menyebabkan ramai pekerja rakyat Singapura kehilangan pekerjaan.

EP diberikan kepada karyawan asing yang perlu menerima pendapatan sekurang-kurangnya S$4,500 sebulan dan mempunyai kelayakan pendidikan yang diiktiraf. Sementara itu, pemegang Pas S adalah pekerja berkemahiran pertengahan yang perlu mendapat gaji sekurang-kurangnya S$2,500 sebulan.

Encik Leong juga berkata gaji kelayakan minimum sebanyak S$2,500 dan S$4,500 sebulan masing-masing bagi pemegang Pas S dan EP adalah agak rendah.

PSP mengusulkan gaji masing-masing dinaikkan kepada S$4,500 dan S$10,000.

PANDANGAN SME, PERSATUAN

Encik Leong Chee Tung, pengasas bersama penyedia teknologi sumber manusia EngageRocket, berkata usul tersebut "tidak praktikal dan bertentangan" dengan tujuan PSP untuk mencapai semula "keseimbangan" dalam pasaran pekerjaan.

Pendapatan kelayakan lebih tinggi akan meningkatkan kos gaji berbanding norma sejagat, kata Encik Leong, manakala mengenakan had kewarganegaraan pula akan membataskan keupayaan sesebuah syarikat untuk mengambil pekerja secara terbuka tanpa berat sebelah.

Syarikat beliau kini menggajikan 27 kakitangan di Singapura dengan sekitar 20 peratus daripadanya adalah pekerja hijrahan.

“Lazimnya, terutama dalam sektor teknologi, bakat asing membawa masuk kemahiran yang belum lagi dibangunkan secara meluas di peringkat tempatan disebabkan oleh tahap kematangan ekosistem bakat kita - mereka menyumbang besar bukan sahaja dalam mewujudkan pekerjaan baru tetapi juga dalam menyampaikan pengetahuan tersirat serta kemahiran kepada rakyat Singapura," tambah beliau.

Encik Leong menyarankan untuk memperkukuhkan bekalan bakat Singapura untuk menampung negara dengan baik pada jangka panjang.

Encik Nick Lee, Ketua Pegawai Eksekutif firma teknologi dan perkhidmatan sokongan AIT Technologies, menarik perhatian gaji kelayakan EP sedia ada sudah tinggi. Beliau berkata sektor itu bahkan tidak dapat menarik karyawan asing dengan gaji bulanan minimum sebanyak S$4,500.

Beliau berkata dengan menaikkan gaji kepada S$10,000, syarikat Singapura mungkin beralih ke luar negara dan ini akan "sekali lagi secara tidak langsung menjejas mata pencarian tempatan".

Encik Sim Gim Guan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), berkata sebarang penyesuaian seharusnya dilakukan secara beransur-ansur. Beliau berkata SME akan lebih teruk terjejas oleh had ketat kewarganegaraan tunggal kerana sumber tenaga buruh mereka biasanya daripada ekonomi-ekonomi berhampiran.

Beliau menarik perhatian Kementerian Tenaga Manusia (MOM) secara berkala menyesuaikan gaji kelayakan pemegang EP bagi memastikan majikan mengambil karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) asing yang mempunyai mutu yang betul.

“Jika kenaikan dari S$4,500 ke S$10,000 adalah satu langkah, majikan sama ada akan terlebih bayar PME asing mereka atau tidak akan beroperasi di Singapura kerana mereka tidak boleh mengakses tenaga kerja yang diperlukan," jelas Encik Sim.

Encik Kurt Wee, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, menyifatkan usul itu sebagai "tidak munasabah", sambil berkata ia hanya akan memacu kos secara buatan bagi perniagaan dan menjadikannya "bahkan kurang berdaya saing".

Di peringkat lain pula, Encik Sim menambah, ia akan menjadi sukar untuk menentukan apakah bilangan tepat bagi bakat-bakat asing dan tempatan bagi syarikat berbilang negara (MNC).

Berhubung gesaan PSP untuk mempunyai cukai bulanan standard sebanyak S$1,200 segera dikenakan ke atas semua EP, Encik Leong daripada EngageRocket berkata ini akan menambah "cukai tambahan" kepada kos operasi. Beliau menjelaskan lanjut ini mungkin juga menyebabkan firma untuk mengurangkan gaji bagi kesemua pekerja atau mengurangkan kenaikan gaji pada masa hadapan.

APA KATA AHLI EKONOMI

Cik Selena Ling, Ketua Perbendaharaan Kajian dan Strategi OCBC Bank, berkata pendekatan secara luas mungkin"bercanggah dengan jangkaan" kerana sektor-sektor berbeza mungkin mempunyai keperluan kemahiran yang berbeza, yang mungkin tidak segera dipenuhi oleh pekerja tempatan.

Beliau menukil industri binaan sebagai contoh dengan menarik perhatian beberapa kelengahan projek akibat penutupan sempadan yang menyekat aliran tenaga asing. Beliau menambah pekerja tempatan pula berat hati untuk mengambil pekerjaan tersebut.

Sementara itu, Encik Song Seng Wun daripada CIMB Private Banking berkata pada jangka masa pertengahan hingga panjang, "kos lebih tinggi yang ketara" untuk berurus niaga di Singapura mungkin menjejas kerelevenannya sebagai sebuah hab perniagaan untuk banyak jenis barangan serta perkhidmatan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan